Tun M janji Anwar akan jadi PM
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi ikrarnya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikannya ketika Umno menyatakan hasrat untuk memeterai pakatan dengan Pakatan Harapan.
“Itu janji saya,” kata Dr Mahathir yang dipetik akhbar the New Straits Times semasa menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg di New York, semalam yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria.
“Rakyat mahu perdana menteri baru, bukan perdana menteri lama ini, tetapi pada masa itu (sebelum pilihan raya umum ke-14) mereka tiada pilihan kerana pemimpin lain berada dalam penjara dan beliau pun tak boleh menerajui parti.
“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau tidak akan lama memegang jawatan perdana menteri dan turut menceritakan bagaimana komponen Pakatan Harapan dapat melupakan perbalahan mereka dan bekerjasama.
“Saya berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang.
“Apa yang penting ialah kita mempunyai kerja sama empat parti. Beberapa sejarah lalu kami tidak menyumbang kepada kerja sama itu.
“Justeru, kami perlu melupakan perkara lalu dan menumpukan kepada isu penting yang pada masa itu ialah untuk menumbangkan perdana menteri sebelum ini. Untuk itu kami sedia melupakan perbalahan lalu,” katanya.
Umno baru-baru ini mengakui bahawa ia adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk “kerajaan perpaduan” dengan mana-mana parti HARAPAN.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka dengan kerjasama itu samada sebelum mahupun selepas Anwar menjadi perdana menteri.
Tidak ada garis masa tetap untuk peralihan pentadbiran Mahathir-Anwar, tetapi ketua umum PKR itu sebelum ini berkata dirinya tidak tergesa-gesa untuk menjadi perdana menteri.
Anwar juga menggesa orang ramai supaya tidak melaga-lagakan dirinya dengan Mahathir, dan mendakwa beliau telah melupakan segala perbalahan lama mereka.
Anwar akan cuba untuk kembali ke Parlimen melalui pilihan raya kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.