Rafizi mungkin kalah di P Pinang, laluan sukar
Usai pengundian pemilihan PKR di Pulau Pinang semalam menyaksikan keputusan yang di luar jangka. Menurut sumber, kiraan tidak rasmi Timbalan Presiden Azmin Ali mengalahkan Rafizi dengan beza undi kira-kira 10%.
Pulau Pinang adalah kubu kuat bakal presiden PKR Anwar Ibrahim. Misi Rafizi yang didendangkan dalam ceramah dan kempen pemilihan pasukannya tidak lain bagi memastikan Anwar menjadi perdana menteri (PM). Dalam erti kata lain, Rafizi dan pasukannya mendakwa andainya mereka dikalahkan maka Anwar tidak selamat sebagai calon PM. Boleh jadi ada perjanjian sulit untuk meletakkan selain Anwar sebagai PM ke – 8.
Ahli tidak peduli Anwar
Oleh kerana Pulau Pinang merupakan kubu Anwar maka ahli PKR di sana sepatutnya menyedari ancaman ke atas pemimpin kesayangan mereka. Kekalahan Rafizi boleh ditafsir bahawa ahli PKR Pulau Pinang tidak peduli sama ada Anwar menjadi PM atau tidak. Mungkin bagi mereka Anwar telah tua dan Azmin lebih layak untuk diangkat sebagai PM.
Ahli PKR Pulau Pinang bukan tidak faham ‘hint’ Anwar tidak bertanding di parlimen Permatang Pauh atau Pandan. Boleh sahaja Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi beliau dan Anwar memenangi Pandan untuk dilantik timbalan PM (TPM) secara automatik.
Namun itu hanyalah di atas kertas. Tempoh pengosongan kerusi Pandan dan hari mengundi pilihan raya kecil (PRK) adalah 2 bulan. Maka dalam tempoh 2 – 3 bulan itu dikhuatiri kerusi TPM telah pun diisi oleh seorang pimpinan PKR.
Teori tersebut bukan tidak berasas. Langkah Kajang menjadi bukti nyata berlaku rundingan tertentu dengan pihak istana Selangor bagi meletakkan selain Dr Wan Azizah yang diputuskan sebagai calon tunggal Pakatan Rakyat (PR) ketika itu untuk jawatan menteri besar (MB), sebaik sahaja Tan Sri Khalid Ibrahim hilang majoriti Dewan Undangan Negeri.
Surat rasmi daripada presiden-presiden PR dihantar kepada Sultan Selangor yang menamakan Wan Azizah sebagai menteri besar (kecuali presiden Pas menamakan Azmin dan Wan Azizah). Namun terdapat pula usaha daripada PKR Selangor mengumpul tandatangan pemimpin untuk menyokong perlantikan Azmin. Hal ini didedahkan oleh ahli Majlis Pimpinan Pusat G. Mannivanan dalam salah satu kempen pemilihan PKR kali ini.
Sailang calon MB Selangor
Hal yang sama berlaku lagi selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) dan lebih buruk apabila Pakatan Harapan (PH) sebulat suara menamakan Dr Idris Ahmad, ADUN Ijok sebagai calon MB Selangor yang baharu selepas Azmin diangkat sebagai Menteri Ekonomi. Surat tersebut diabaikan oleh Sultan Selangor dan individu yang berada dalam kem Azmin, Amiruddin Shari diangkat sebagai MB. Sultan pasti mengetahui PH tidak akan menentang langkah beliau memilih Amiruddin. Ternyata kemudiannya keputusan itu tidak ditentang oleh sesiapa pun, termasuk pengerusi PH Tun Mahathir.
Jika hal ini berlaku di peringkat persekutuan dan Anwar ditolak sebagai calon PM maka tidak mustahil pemimpin Bersatu, DAP dan Amanah akan mendiamkan diri. Sebabnya mereka tahu dan amat pasti siapakah yang benar-benar berkuasa di dalam PKR.
Kekalahan Rafizi di Pulau Pinang merupakan isyarat jelas ke seluruh negara bahawa Anwar semakin kurang relevan dalam PKR. Rafizi mengharapkan kemenangan di Pulau Pinang, Kedah dan Johor. Manakala Azmin dijangka akan menang besar di Selangor, Sabah, Sarawak dan Melaka.
Tidak hirau siapa berjasa
Isyarat awal ini membuktikan ahli PKR tidak peduli siapa dan pihak mana yang membawa kemenangan kepada parti mereka. Sekiranya bukan Rafizi menubuhkan NGO Invoke dan menghabiskan RM1 juta duit simpanan peribadi, kerajaan persekutuan tidak mungkin dibentuk. PKR mempunyai 50 kerusi parlimen dan hampir 40 daripadanya disumbangkan oleh calon tajaan Invoke. NGO ini menaja bahan kempen, kewangan calon sehinggalah lori kempen Rafizi pada hampir setiap hari di kawasan-kawasan terlibat.
Adakah Azmin melakukan hal sedemikian rupa? Strategi Azmin hanyalah mempertahankan Selangor. Azmin sendiri tidak menjangka PH akan mengambil alih Putrajaya. Hanya Rafizi yang berkempen di kerusi-kerusi marginal di seluruh Malaysia.
Rafizi tubuh PH
Selebihnya adalah sejarah. Tidak perlulah diceritakan siapakah yang tidak bersetuju dengan penubuhan PH. Tanpa desakan Rafizi, presiden PKR Dr Wan Azizah tidak akan bersetuju untuk bersama DAP dan Amanah menubuhkan gabungan baharu. Azmin ketika itu berkeras mahukan Pas sebagai sekutu. Malah pada peringkat awal penubuhan PH beliau sukar mengiktiraf Amanah di Selangor. Pas masih diberi kelebihan dan jawatan PBT serta ketua kampung kekal dikuasai parti itu. Amanah sukar menggunakan dewan orang ramai untuk menganjurkan ceramah kerana banyak kawasan didominasi Pas sebagai kepala kampung, ahli majlis dan sebagainya.
Kartel juga kurang senang kemasukan Bersatu ke dalam PH kerana mengenepikan Pas. Rafizi adalah individu yang beruding dengan Tun Mahathir dan pemimpin kanan Bersatu untuk menyertai gabungan PH. Juga tidak perlu disurahkan bagaimanakah penolakan pasukan kartel terhadap Tun Mahathir yang diuar-uar sebagai calon PM PH bagi PRU 14.
Pemimpin kartel malah memberi alternatif untuk mengangkat Azmin sebagai PM dan timbalannya Mukhriz Mahathir. Hanya pasukan Rafizi yang bersungguh-sungguh mahukan Mahathir sebagai PM kerana nama Azmin tidak laku dijual di kawasan luar bandar dan Felda. Jelas pasukan kartel tidak mempunyai team yang membuat kajian sokongan menjelang PRU lalu.
Tidak keterlaluan dikatakan jika Rafizi tidak menyertai pergulatan politik PKR, hanya bergiat sebagai ahli biasa dan meneruskan kerjaya sebagai akauntan di Petronas maka Najib kekal berkuasa selepas PRU 14. Tun Mahathir akan mati dengan namanya dibusuk dan dicemarkan oleh Najib. Anwar akan keluar penjara pada Jun 2018 dan dihalang terlibat dalam politik sehingga 2023. Ketika itu kerjasama Umno dan Pas telah pun menguasai politik Malaysia. Azmin mungkin menggantikan Anwar sebagai presiden parti. Atau Anwar sebagai presiden dan pembangkang akan kekal menguasai 80 ke 90 kerusi parlimen dalam PRU 15 atau 16.
Tanpa Rafizi BN abadi
Dengan wujudnya Rafizi rakyat Malaysia berjaya mengubah pemerintah. Namun bagi ahli PKR, Rafizi tidak bermakna. Hanya Azmin yang menguasai semua situasi. Dan Azmin adalah bakal PM dari PKR.
Namun sekiranya kabinet Malaysia tidak melaksanakan janji-janji PRU dan rakyat bosan maka dengan Rafizi yang tidak lagi meneruskan Invoke kerana kekurangan dana maka PH bolehlah mengucapkan selamat tinggal kepada Putrajaya. Rafizi hanya akan meneruskan Invoke jika beliau memiliki kedudukan dalam PKR dan penyumbang dana akan yakin dengan NGO itu.
Masih berbaki beberapa minggu untuk ahli PKR membuat perhitungan. Namun dengan keputusan di Pulau Pinang agak mustahil Rafizi menang. Mungkin inilah masalah ahli PKR, mereka lebih senang menjadi pembangkang dan berdemonstrasi di jalan raya berbanding memerintah. Maka selepas PRU 15 mereka bolehlah mengecapi keseronokan itu semula.
____________________________________________________________________________
Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi WRLR