PENGUNDI PAS UNDI DACING?



Melalui khabar yang dibawa oleh Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, Pas dilaporkan setuju untuk tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Sungai Kandis yang ditetapkan 4 Ogos depan.

Persetujuan itu dengan maksud untuk memberi laluan kepada UMNO untuk berhadapan satu lawan satu dengan PKR dalam pilihanraya tersebut.

Perkara itu kemudian disahkan oleh Pas Selangor yang menyatakan pertembungan satu lawan satu antara BN dengan PH akan memberi peluang yang lebih baik kepada pembangkang.

Jarang benar Pas berpendirian tidak meletakkan calon sebagaimana pendiriannya di Sungai Kandis kali ini. 

Ketika Pas sama-sama sebagai pembangkang dengan Pakatan Harapan sebelum ini, seperti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar misalnya, parti tetap berkeras untuk meletakkan calon atas keyakinan mereka adalah parti Islam yang banyak sokongan, lebih berpeluang mencapai kemenangan, selain dakwaan memperjuangkan kebenaran serta berkewajipan menyertai pilihanraya sebagai satu cara untuk berdakwah dan berjihad.

Pas juga selama ini tidak kisah dengan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru sekali pun, malah mengatakan kemenangan di akhirat jauh lebih penting berbanding kejayaan di dunia.

Tetapi, sejak Pas dan UMNO sama-sama bergelar pembangkang sekarang ini, perubahan sikap dan pendirian Pas nampak begitu ketara sekali.

Mereka kini setuju tidak bertanding semata-mata untuk memberi laluan kepada UMNO berhadapan satu lawan satu dengan calon PH daripada PKR.

Makanya, dalam kempen pilihanraya nanti, apakah Pas akan turut berkempen untuk UMNO?

Apakah buat pertama kalinya juga kita akan menyaksikan Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan lain-lain pemimpin Pas duduk sepentas dengan Zahid Hamidi dan Annuar Musa?

Bagaimana pula dengan ahli dan penyokong Pas di Sungai Kandis?

Sediakah mereka memangkah dacingkali ini? (ShahbudinHusin 19/07/2018)