Mahkamah Tinggi London semalam menetapkan 1 hingga 12 April 2019 bagi perbicaraan penuh saman Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report.
Mahkamah semalam menolak permohonan dalam permohonan (Interlokutori) dari Sarawak Report (SR) untuk mengenepikan saman itu dengan menetapkan perbicaraan penuh.
Ekoran itu, mahkamah memerintahkan Sarawak Report membayar kos sebanyak RM156,000 (£28,900) selepas menolak permohonan itu.
Dengan arahan ini, sehingga kini SR telah membayar kos sebanyak RM1.078 juta (£200,000).
Peguam Carter Rock pula memberitahu mahkamah, sehingga kini Abdul Hadi telah membayar RM1.646 juta (£305,250) sebelum perbicaraan bermula.
Hakim Dingemans berkata, terlalu banyak isu yang berkaitan dan bertindih dalam kes ini yang memerlukan perbicaraan penuh.
Antaranya isu kepentingan awam berkaitan dengan laporan SR, hak untuk melaporkan isu politik yang menentukan samada Abdul Hadi berhak atau tidak menyaman SR.
Di England, sebuah parti politik tidak boleh menyaman.
Ekoran itu SR telah membuat petisyen bagi momohon satu perbicaraan awal untuk menentukan apakah Abdul Hadi atau Pas sebagai sebuah parti politik yang cuba menutup mulut SR dari melaporkan pengaliran wang dari Umno kepada parti politik lain.
Ia bertujuan untuk menjimatkan kos perbicaraan yang akan melibatkan beberapa juta ringgit kerana kos saman sivil di England sangat mahal.
Namun Hadi membantahnya dan hakim pula bersetuju bahawa tuntutan balas SR atas gangguan yang dibuat oleh Pas juga rumit untuk dibicarakan dengan cepat.
Antaranya termasuklah permohonan SR untuk menyekat pihak yang berkaitan dengan Hadi dari mengugut saksi di Malaysia.
Ekoran itu, mahkamah telah menetapkan perbicaraan penuh untuk kes ini April tahun 2019, iaitu setahun dari sekarang dan memerintah SR membayar kos permohonan interlokotori itu.
Peguam SR telah memaklumkan, antara bahan bukti yang akan dikemukakan ke mahkamah adalah audio yang dikatakan suara Nik Mohamad Abduh yang mengaku pemimpin Pas termasuk beliau dan Hadi telah menerima duit dari Umno.
Audio itu kini sedang dalam proses akhir untuk ditentukan kesahihannya.
Pas telah mengambil Carter Ruck’s, antara syarikat guaman yang termahal di London untuk mewakili Hadi dalam tindakan saman ini.