PH akan ambil alih kerajaan secara aman – Mat Sabu
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu memberi jaminan gabungan empat parti itu akan menggantikan BN di Putrajaya secara aman mengikut lunas undang-undang.
Sehubungan itu, proses demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, tegasnya, perlu dihormati semua pegawai tinggi kerajaan.
“Saya harap Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera, dan seluruh pegawai tinggi kerajaan terima keputusan rakyat, hormati demokrasi.
“Kami akan ambil alih pemerintahan secara demokrasi mengikut Perlembagaan, tidak berlaku huru-hara,” katanya pada ceramah mega Malam Semarak Tsunami Rakyat di Hulu Klang malam tadi.
Tapak padang bola sepak AU2, Taman Keramat dilihat melimpah dihadiri lebih 50,000 penyokong PH dengan turut menyaksikan penampilan bekas menteri Tun Daim Zainuddin dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Tanpa dicampak ‘dedak’, pelbagai kaum terus bertahan mengikuti ceramah ketika hari berkempen berbaki dua hari lagi.
Selanjutnya, Mohamad berkata, siri Jelajah PH di seluruh Semenanjung sebelum ini memperlihatkan sokongan ribuan segenap lapisan rakyat yang mahukan perubahan dengan menolak Umno-BN.
“Kita pergi ke Melaka 3,000 orang hadir. Kita pergi ke Seremban 6,000 hadir. Di Perak kehadiran lebih 10,000 dan lebih 20,000 hadir di Kedah.
“Pada 2 Mei yang lalu di Kuantan kehadiran lebih 40,000 orang,” katanya disambut tepukan gemuruh walaupun hujan agak lebat ketika itu.
Beliau menyifatkan hasrat rakyat untuk melihat perubahan di Putrajaya itu lebih melonjak dengan sokongan terbuka Tun Daim dan pemimpin-pemimpin besar Umno lain.
“Rakyat sudah mula berubah. Datuk Rais Yatim isytihar menyokong PH. Musuh politik lama saya, Ketua Wanita Umno yang lantang dan paling lama mengisytihar dan menyokong PH, Tan Sri Rafidah Aziz.
“Umno sedang runtuh macam ais cair serkarang ini. Ketua-ketua cawangan mereka sudah mula meninggalkan Umno dan menjadi petugas PH di seluruh Malaysia.
“Kemudian Jelajah Harapan patah balik ke Melaka dua malam lepas himpunan dihadiri lautan manusia,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH menyeru agar rakyat yang tinggal di Selangor tetapi mengundi di negeri masing-masing agar berkempen mengundi PH.
“Himpunan malam ini bertujuan untuk rakyat yang duduk di sini (Selangor) tetapi balik mengundi di tempat mereka di seluruh negara.
“Balik dua hari lagi. Kempen ibu bapa, rakan dan teman, saudara-mara. Undi Pakatan Harapan,” seru calon PH di Parlimen P111 Kota Raja itu lagi.
Pemimpin lain yang turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – MD