NAMPAKNYA PROJEK PERTAMA PAKATAN HARAPAN IALAH MEMBESARKAN LAGI PENJARA SUNGAI BULOH....



Dalam misi untuk menyelamatkan negara dan membongkar skandal 1MDB, Perdana Menteri,  Tun Mahathir Mohamad membayangkan beberapa ketua jabatan kerajaan yang dipercayai bersekongkol, melindungi dan menyembunyikan kesalahan Najib Razak akan disiasat dan didakwa di mahkamah.

Sehingga ini beberapa nama telah disebut secara jelas untuk diambil oleh Tun Mahathir, antaranya Peguam Negara, Apandi Ali, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Pengerusi SPR, Hashim Mohamad, meskipun Perdana Menteri belum lagi memasuki pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Apandi didakwa melindungi fakta mengenai kesalahan Najib berkaitan 1MDB dan kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, manakala Dzulkifli dipercayai melengah-lengahkan siasatan berhubung perkara yang sama.

Selain itu, Dzulkifli juga boleh disiasat semula berkaitan skandalnya yang dikatakan mempunyai hubungan terlarang dengan seorang wanita yang sudah bersuami sebelum ini.

Beliau difahamkan sudah pun menjadikan wanita berkenaan sebagai isteri keduanya.

Hashim pula mungkin ada kesalahan berkaitan dengan beberapa tindakannya sebelum dan sewaktu pilihanraya baru-baru ini yang dilihat cuba memberi kelebihan kepada Najib untuk mengekalkan kuasa.

Dalam hal 1MDB,  sudah tentu bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar yang sepanjang mengetuai pasukan polis sebelum ini dilihat begitu condong melindungi Najib, akan turut berdepan penyiasatan yang sama.

Selepas mereka, Najib, Rosmah Mansor, Riza Aziz, Jho Low, bekas CEO 1MDB, Shahrul Azral Halmi, dua bekas eksekutif SRC International, anak syarikat 1MDB yang melarikan diri ke luar negara, Nik Faisal Arif Kamil dan Suboh Md Yassin serta banyak lagi nama adalah antara yang paling berpotensi untuk disiasat dan seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Najib dan Rosmah yang merancang untuk berlepas ke Indonesia hari ini, mungkin untuk terus melarikan, telah pun disekat dan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Begitu juga dengan Pengerusi dan CEO 1MDB sekarang, Irwan Siregar dan Arul Kanda Kandasamy, menyiasat dan mendapatkan maklumat daripada mereka adalah cukup penting untuk membongkar kebenaran.

Berhubung wang RM2,600 juta, bekas TPM, Zahid Hamidi, seharusnya perlu disiasat juga untuk mengetahui sama ada beliau bercakap benar atau tidak berhubung kenyataannya telah menemui waris keluarga diraja Arab Saudi yang didakwa sebagai perderma kepada Najib itu.

Zahid Hamidi mesti membuktikan beliau bercakap benar dan tidak mereka-reka cerita semata-mata untuk melindungi Najib.

Dalam waktu yang sama, Zahid Hamidi dipercayai ada kes lama atas dakwaan memukul seorang pemuda sehingga pecah mukanya dan mengalami cacat kekal sehingga ke hari ini.

Semua kes itu mesti dibuka semula dan disiasat dengan seadil-adilnya.

Berkaitan skandal 1MDB yang daripadanya mengalir wang RM2,600 juta ke akaun peribadi Najib, hampir semua pemimpin UMNO yang pernah menerima tunai sama ada RM1 juta, RM2 juta atau sebagainya daripada Najib,  semestinya wajib dipanggil untuk disiasat.

Adalah penting untuk mengetahui sama ada wang yang diterima daripada Najib itu berpunca daripada 1MDB atau tidak dan jika terbukti ianya wang curi, penjara kerana bersubahat adalah selayaknya bagi semua mereka.

Begitu juga dengan bekas pemimpin Pas, Nasharuddin Mat Isa yang pernah didedahkan oleh Rafizi Ramli telah menerima wang tunai berjuta-juta daripada Najib yang dipercayai untuk dberikan kepada pemimpin-pemimpin Pas, beliau mesti dan wajib dipanggil untuk disiasat juga.

Harus diketahui untuk tujuan apa wang itu diberikan kepadanya dan kepada pemimpin Pas mana beliau pernah mengagih-agihkan wang tersebut.

Bagi para pemimpin UMNO yang menjadi menteri, timbalan menteri atau mengetuai mana-mana agensi kerajaan di era Najib, inilah juga masanya untuk Tun Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan menyiasat, mendakwa dan seterusnya menghukum mereka jika didapati ada melakukan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Terlalu banyak skandal dan ketirisan berlaku di semua kementerian dan agensi kerajaan di waktu Najib menjadi Perdana Menteri sehingga bukan saja para menteri yang hidup kaya raya, bahkan pegawai dan anak isteri mereka juga hidup mewah seolah-olah datuk nenek mereka adalah berasal daripada keluarga berada.

Lebih-lebih lagi bagi kes yang sudah menjadi perhatian media sebelum ini seperti Felda, MARA, Felcra, Tabung Haji dan banyak bagi yang pernah disiasat SPRM tetapi kesnya senyap begitu saja, fail-failnya wajib dibuka semula.

Para pegawai di Pejabat Perdana Menteri yang antara peranan mereka melindungi salah laku dan kejahatan Najib serta Rosmah,  tidak seharusnya terkecuali untuk disiasat dan didakwa, tambahan lagi jika mereka mengamalkan gaya kehidupan mewah yang melampau-lampau selama ini.

Daripada semasa ke semasa, senarai mereka yang perlu disiasat, dibawa ke muka pengadilan dan seterusnya akan dihukum penjara, pasti sentiasa bertambah panjang.

Dalam misi untuk menyelamatkan negara sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan, pembasmian secara menyeluruh dan habis-habisan terhadap segala salah laku di era kleptokrasi Najib, bukan saja tidak dapat dielakkan, tetapi itulah kehendak rakyat sebenarnya.

Maka, jika berterusan ada tangkapan, siasatan, pendakwaan dan pemenjaraan terhadap pendurjana harta negara itu, muatkah penjara sedia ada untuk menempatkan mereka?

Untuk itu, barangkali projek pertama yang harus dimulakan segera oleh kerajaan baru ini ialah membesarkan lagi Penjara Sungai Buloh yang ada sekarang. (ShahbudinHusin 12/05/2018)