PH P. Pinang tawar 68 Akujanji kepada rakyat
Pakatan Harapan Pulau Pinang melancarkan 68 janji manifesto PRU14 yang menggariskan 11 teras utama bertemakan ‘Saya Sayang Pulau Pinang’.
Malis pelancaran itu disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang semalam.
Manifesto PRU14 Pakatan Harapan Pulau Pinang terbahagi kepada dua bahagian iaitu pencapaian kerajaan negeri selama 10 tahun dan janji kepada rakyat Pulau Pinang sekiranya diberi mandat untuk penggal ketiga.
Pelancaran manifesto itu merupakan sasaran bagi tempoh lima tahun akan datang untuk memastikan pencapaian lebih tinggi dengan pelbagai janji.
11 terus yang diberi keutamaan itu adalah pentadbiran yang cekap, akautabiliti, telus (CAT); perumahan untuk semua; negeri keusahawanan; meningkatkan kemudahan asas dan negeri maju.
Selain itu, ia juga menumpukan kepada pembangunan, pendidikan dan kemahiran; pelancongan, kebudayaan, kesenian, warisan dan sukan; negeri berkebajikan; memartabatkan Islam; masyarakat majmuk yang harmonis serta hak negeri Pulau Pinang.
Guan Eng dalam ucapannya berkata, semua janji itu adalah aspirasi untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri keusahawanan dan berkebajikan.
“68 janji Pakatan Harapan membolehkan Pulau Pinang mencapai visi ke arah menjadi sebuah bandar antarabangsa yang bersih, hijau, selamat dan sihat.
“Kami juga berjaya memulihkan bandar yang pernah menjadi negeri paling kotor di Malaysia menjadi satu negeri yang paling bersih di Malaysia,” katanya.
Jelasnya, Manifesto Pakatan Harapan adalah jauh lebih baik berbanding Manifesto BN yang menjanjikan untuk membatalkan projek terowong dasar laut dan LRT.
“Saya tahu BN sasar sekurang-kurangnya 8 kerusi Dun yang mereka rasa boleh ‘makan’ daripada Pakatan Harapan.
“Kami akan mempertahankannya dengan seberapa yang boleh dan kita sasarkan lima kerusi Dun dan tiga kerusi parlimen BN. Kita kena kerja keras untuk menang,” katanya.
MANIFESTO PRU14 PAKATAN HARAPAN PULAU PINANG
1-Mempertingkatkan syiar Islam.
2-Jawatan Ketua Menteri dihadkan dua penggal.
3-Projek infrastruktur lebuh raya, terowong bawah dasar laut, tebatan banjir, pasar dan dewan orang ramai diteruskan.
4-Projek pengangkutan awam negeri termasuk LRT dan bas percuma di pulau dan Seberang Perai.
5-Bina 75,361 unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik menjelang 2025.
6-RM300 setahun untuk program Penang Sihat bagi isi rumah berpendapatan kurang RM5,000.
7-Bantuan kos sara hidup RM1,000 setahun untuk kaum wanita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
8-Membina kompleks sukan, badminton, velodrom, bola keranjang, futsal, arena e-games dan litar perlumbaan.
9-Memperbanyakkan perpustakaan digital, kelas coding percuma dan pusat tuisyen rakyat.
10-Negeri hijau pertama di Malaysia.
11-Ke arah negeri yang berkebajikan.
12-Negeri keusahawanan menerusi pertumbuhan ekonomi yang mapan.
13-Mengiktiraf status agama selain Islam.
14-Terus menjaga sekolah agama rakyat dan ibunda.
15-RM200 setahun untuk warga emas dan OKU.
16-Berikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukan warga asing.