Di negara lain rakyat sanggup mati untuk negara – Tun M
Rakyat tidak perlu berkorban nyawa untuk membolehkan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya perlu mengundi blok pembangkang bagi membolehkan perkara itu menjadi kenyataan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi PPBM dan PH itu berkata sekiranya rakyat memberikan mandat kepada mereka, pembangkang berupaya memulihkan negara daripada “kerosakan” yang dilakukan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Kami dalam PPBM dan PH tidak menuntut apa-apa untuk diri kami dari rakyat.
“Di negara lain, rakyat sanggup mati untuk negara, yang kami pohon hanyalah undi bagi kami pada pilihan raya umum (PRU) ke-14,” katanya berucap di majlis sambutan ulangtahun pertama PPBM di Bakri, malam tadi.
Bekas perdana menteri itu berkata negara akan dijajah semula dan Malaysia akan hilang dari muka bumi jika Najib menang PRU ke-14 dan kekal sebagai perdana menteri.
“Mungkin perdana menteri boneka yang bergerak dan bertutur kata mengikut kehendak dalangnya,” katanya, di hadapan 5,000 penyokong dan ahli PPBM seluruh negara yang berkumpul di Dewan Y Square Connexion di sini.
Dr Mahathir mengakui PPBM ada kelemahan tetapi yakin ia dapat diatasi.
“Ya. Memang PPBM menghadapi masalah. Tetapi hampir semua masalah ini telah dan akan diselesaikan.
“PPBM yakin akan kekuatannya dan keupayaannya memainkan peranan penting dalam gabungan parti lawan, Pakatan Harapan,” katanya.
Dr Mahathir juga menolak dakwaan DAP akan mendominasi gabungan PH, dan berkata wakil rakyat DAP lebih sedikit berbanding wakil rakyat Melayu.
“Demikian juga kawasan dan wakil rakyat bukan Melayu tidak melebihi Melayu.
“Tiga buah parti Melayu dalam PH jauh lebih ramai tetapi PH tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan keadilan terhadap bukan Melayu, layanan terhadap mereka akan menjadi sebahagian dari dasar kami,” katanya, di sebalik kenyataan beberapa pemimpin Umno termasuk setiausaha akhbar perdana menteri yang berkata PH dikuasai oleh DAP walaupun tidak ditonjolkan pada barisan kepimpinan gabungan itu.
Dr Mahathir membuat perbandingan dengan kerjasama dalam BN yang pernah dipimpinnya.
“Seperti mana Umno tidak didominasi MCA dan MIC, demikian jugalah parti Melayu dalam gabungan PH tidak akan didominasi oleh DAP,” katanya.
Tambahnya, PPBM tidak akan bersaing dengan rakan komponen dalam PH dan ia yakin sikap sama diamalkan rakannya.
“Tetapi kita perlu perkukuh dan perbesarkan PPBM supaya sokongan kita kepada PH akan menghasilkan kejayaan.
“Inilah tujuan kita, kepentingan peribadi tidak ada tempat dalam perjuangan kita, hanya kepentingan negara, bangsa dan agama yang menjadi matlamat perjuangan rakyat dan kita,” kata Dr Mahathir.