Aktivis pro Harapan desak MB tiada lagi hubungan dengan Pas
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mendesak kepimpinan Pakatan Harapan bermula peringkat tertinggi supaya memutuskan sebarang bentuk hubungan dengan mana-mana parti di luar gabungan keempat-empat parti itu.
Jurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, hubungan rasmi atau tidak rasmi tanpa mendapat persetujuan Majlis Presiden itu tidak harus wujud memandangkan Pas telah memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 diikuti PKR pada tahun ini.
“Pakatan Rakyat (PR) telah pun terkubur. Tidak ada lagi kondisi bersetuju untuk tidak bersetuju di dalam Pakatan Harapan.
“Maka semua pimpinan termasuklah Menter Besar atau Ketua Menteri harus patuh kepada keputusan konsensus Pakatan Harapan,” tegasnya pada sidang media di Restoran Amjal berdekatan Universiti Malaya (UM) malam tadi.
Menurutnya, etika Menteri Besar mahupun Ketua Menteri harus tidak mendahului keputusan parti dan Majlis Pakatan Harapan.
“Sebarang persembahan bagi urusan pentadbiran dalam hal-hal mempunyai kepentingan terhadap Harapan kepada DYMM Sultan Negeri-negeri atau Tuan Yang Terutama Negeri haruslah diiringi oleh Presiden dan Timbalan-timbalan Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Etika Menteri Besar mahupun Ketua Menteri yang membelakangi keputusan Majlis Presiden Harapan harus dikenakan tindakan di dalam parti masing-masing dengan segera,” katanya.
Sehubungan itu, GAH menggesa penubuhan serta-merta Sekretariat Harapan dengan mengadakan mesyuarat bulanannya secara kerap bagi menyelaraskan tindakan dan gerak kerja parti komponen Harapan di semua peringkat perhubungan negeri.
“Segala gerak kerja parti-parti komponen dan program hendaklah dilakukan secara sama serta membawa semangat Pakatan Harapan kepada rakyat.
“Semua parti komponen harus diberikan dan membekalkan kepentingan yang strategik di dalam negeri dan kawasan yang dikuasai oleh pakatan Harapan,” jelasnya.
Pada masa sama, GAH, tegasnya mengingatkan Naib-naib Presiden dalam Amanah, PKR, DAP dan PPBM tidak boleh di dalam parti masing-masing menentukan calon selepas dimuktamadkan kerusi yang mahu ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.
“Oleh yang demikian, watikah calon bagi mewakili parti hanya boleh ditandatangani oleh Presiden Pakatan Harapan dan Timbalan Presiden (jika Pakatan Harapan wujud sebagai parti di dalam ROS, SPR); atau melalui konsensus Presiden dan Timbalan-timbalan Presiden Pakatan Harapan (jika Pakatan Harapan masih belum diluluskan),” ujarnya.
Menyokong penuh pelantikan kepimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan, Zanirun mewakili akar umbi penyokong dan aktivis memberi amaran tentang bahayanya kewujudan kelompok ‘kartel’ yang dianggap parasit dalam salah satu komponen Pakatan Harapan.
“GAH sekarang ini mengambil tindakan diplomasi terlebih dahulu kepada pemimpinan HARAPAN terhadap beberapa kerisauan masyarakat,” kata Zanirun.
Justeru, tambahnya lagi, GAH akan menggerakkan siri jelajah ke seluruh negara serta mengambil pendekatan bertemu dan mengadakan forum atau dialog dengan beberapa pimpinan HARAPAN.