Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mengkritik tindakan partinya yang tidak menghantar wakil ke majlis perasmian Bersatu di Stadium Malawati, pada Sabtu lalu.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan, tindakan partinya itu seolah-olah memberi gambaran enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diinginkan rakyat.
“Tidak wajar Pas tidak menghantar wakil mereka pada majlis pelancaran ini kerana masyarakat akan melihat seolah-olah Pas mahu memencilkan diri daripada satu kelompok ‘grand coalition’ dalam kalangan parti pembangkang yang ada ini.
“Tidak menghantar wakil kepimpinan tertinggi parti adalah langkah yang silap. Saya tidak tahu ketidaksediaan Pas untuk menjalin apa-apa kerjasama Pakatan Harapan atau dengan Bersatu,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Mahfuz satu-satunya pemimpin Pas yang hadir, meskipun Bersatu dilihat menyediakan beberapa kerusi untuk pemimpin Pas.
Mahfuz berkata, kehadirannya kerana mendapat jemputan daripada pihak Bersatu.
"Namun, saya tidak maklumkan kehadiran saya kepada kepimpinan Pas dan tindakan saya adalah atas kapasiti peribadi,” katanya.
Menurutnya, tidak menjadi kesalahan untuknya menghadiri apa juga program anjuran Pakatan Harapan kerana berasakan kehadiran itu atas kapasiti rakyat Malaysia.