Adenan demam, helikopter hilang ‘alamat buruk’ buat BN?
Kesihatan Ketua Menteri Sarawak dan kehilangan helikopter yang membawa pemimpin BN dijadikan bahan ramalan oleh penggamat politik Sarawak.
Ada yang meramalkan prestasi BN bakal terjejas dan mungkin kehilangan banyak kerusi. Petanda awal adalah kesihatan Ketua Menteri. Peristiwa itu disamakan dengan keadaan PM Dr Mahathir Mohammad yang demam menjelang pilihan raya umum (PRU) 1990, ketika dicabar hebat parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. BN kehilangan Kelantan dan Sabah dalam PRU itu.
Semalam, jadual yang terlalu padat sejak tiga minggu lalu menyebabkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengalami demam dan sakit kepala.
Justeru itu Adenan berkata, beliau terpaksa membatalkan semua programnya pada 5 Mei selepas mendapat nasihat doktor.
“Sejak tiga minggu ini jadual saya sangat padat. Malam tadi saya mengalami pening kepala dan demam.
“Doktor menasihati untuk saya berehat sehari dan petang ini saya berjumpa dengan anda semua,” kata beliau kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia.
Sementara itu, sebuah helikopter dinaiki enam orang, termasuk seorang timbalan menteri, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching, semalam.
Borneo Post melaporkan, salah seorang penumpang ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Noriah adalah anggota parlimen Sungai Besar manakala Wan Mohammad Khair-il Anuar anggota parlimen Kuala Kangsar.
Turut berada dalam pesawat sama ialah Ketua Pengarah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.
Helikopter itu dipandu Kapten Rudolf Rex Raga.
Menurut Harian Metro, menara kawalan dan helikopter berkenaan terputus hubungan selama tiga jam.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pula mengesahkan operasi mencari operasi menyelamat telah dilancarkan.
Bernama menyatakan helikopter berkenaan berlepas dari Betong pada jam 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching kira-kira jam 5 petang.
Helikopter Eurocopter AS350 itu dikendalikan sebuah syarikat tempatan.
Polis di Kuching dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai kejadian itu malam ini.
Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata unit khas penyelamat taktikal jabatan itu sedang menunggu pengesahan mengenai lokasi pesawat udara itu hilang.