Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dilihat tidak akan mempunyai keberanian membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini ekoran situasi ekonomi negara yang tidak menentu, kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara, Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, Najib perlu berfikir banyak kali untuk tujuan tersebut bagi menyelamatkan diri, parti serta barisan kepimpinan yang diketuainya.
“Seorang perdana menteri tidak akan melakukan kejutan dengan menamatkan pemerintahannya melalui pilihanraya mengejut atau ‘snap election’ ketika keadaan ekonomi melembap dan negara dalam pelbagai keberantakan.
“Tambahan jika semua angkara itu ada hubungkait dengan diri perdana menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengimbas Belanjawan Pakatan Harapan 2016 dengan tema 'Mengelak Krisis' atau 'Averting A Crisis' yang meramalkan kegawatan ekonomi akan bermula suku ketiga tahun ini, beliau berkata, jangkaan tersebut menyamai Laporan Unjuran Ekonomi oleh Bank Negara Malaysia yang diumumkan semalam.
“Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang selalu optimis atau bullish, kali ini mengakui akan hakikat senario suram yang mungkin menjadi lebih gawat lagi ke hujung tahun ini.
“Laporan Unjuran (Outlook) Bank Negara semalam meramalkan pertumbuhan akan 'perlahan' ke paras 4.0 hingga 4.5 peratus untuk tahun 2016,” jelasnya.
Mengulas pertumbuhan tahun 2105 ialah 5.0 peratus yang dipacu oleh permintaan domestik dan merupakan tahun kedua penurunan pertumbuhan berturut-turut, beliau berpendapat implikasi tersebut pastinya besar buat sebuah negara.
“Faktor-faktor utama penyebab ini dikaitkan dengan kelemahan harga LNG - Liquefied Natural Gas (Malaysia adalah negara kedua terbesar pengekspot LNG), nilai ringgit yang lemah, penurunan pertumbuhan perbelanjaan isi rumah dan pengurangan pertumbuhan pelaburan swasta serta risiko akibat hutang 1MDB,” ujarnya.
Selain itu, ujarnya, cabaran ekonomi negara juga dapat dilihat pada jangkaan lonjakan inflasi antara 2.5 peratus ke 3.5 peratus berbanding inflasi 2.1 peratus pada 2015 serta kadar pengangguran pada paras 3.3 peratus pada Disember tahun lalu.
“Semua cabaran ini perlu didepani disamping gangguan atau lebih tepat lagi gugatan dari skandal 1MDB, melibatkan dana melebihi AS$11 bilion dan perihal 'derma' AS$700 ke dalam akaun Najib, yang belum terungkai, mengikut laporan Reuters itu Berani Najib membubar Parlimen terdekat ini?” soal Dr Dzulkefly lagi.
Dalam hal berkaitan, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebelum ini dilaporkan berharap siasatan berhubung 1MDB dapat dilengkapkan sebelum beliau mengakhiri perkhidmatannya April ini.