Sampai bila kita nak jadi manusia penakut? – Mat Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menjelaskan tindakan beliau membaling mikrofon kerana sudah bosan dengan sikap penakut rakyat Malaysia berbanding rakyat negara jiran yang sudah maju ke depan.
“Rakyat negara jiran sudah jauh maju ke depan, kita masih jadi manusia penakut. Sampai bila?
“Itu aku baling mikrofon tu,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam satu ceramah di Kelantan malam tadi.
Mat Sabu bertindak membaling mikrofon ke dinding pentas selepas berucap di perkarangan Penjara Sungai Buloh beberapa hari lepas sempena genap setahun pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mat Sabu, negara-negara jiran Malaysia sudah berjaya menukar pemimpin masing-masing yang korup melalui tindakan rakyat.
Namun, walaupun sebesar mana korupsi dilakukan pemimpin negara ini, apabila tiba pilihan raya, Barisan Nasional (BN) akan terus menang kerana rakyat takut.
“Mula-mula skandal BMF (Bumiputera Malaysia Finance) sehingga Jalil Ibrahim mati dibunuh.
“Lepas itu Perwaja, kemudian mari pula skandal PKFZ (Port Klang Trade Zone). Kemudian mari pula skandal lembu dalam kondo.
“Sekarang, mari pula skandal pembelian tanah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) oleh Tabung Haji dan terbaru surat Gabenor Bank Negara kepada Tabung Haji.
“Tetapi apabila datang pilihan raya, BN masih menang,” kata Mat Sabu dengan nada kesal.