Batalkan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh! – Amanah
Kerajaan BN dikecam kerana masih mahu membawa masuk 1.5 juta tenaga kerja dari luar negara sedangkan keadaan ekonomi Malaysia semakin lembab dan rakyat tempatan semakin kekurangan pekerjaan.
Ketua Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad berkata, tindakan kerajaan BN itu seolah-olah mengkhianati rakyat negara ini susulan banyak syarikat besar dan GLC yang menghentikan pengambilan pekerja baharu sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi suasana ketidak tentuan ekonomi pada 2016.
“Tak perlu ambil buruh asing untuk kerja di restoran, pasaraya dan hotel. Kerja-kerja di premis perniagaan tersebut sepatutnya diberikan kepada rakyat Malaysia supaya setiap rakyat ada kerja, pihak berkuasa harus pantau keadaan ini
“Pada pendapat saya pelan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini wajib dibatalkan serta-merta,” tegas Khalid.
Terkini, dalam ruangan surat-menyurat dan pesanan teks ringkas dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, orang ramai mula membantah pengambilan seramai 1.5 juta pekerja warga Bangladesh yang dijangka dibawa masuk sepanjang tahun 2016.
Kehadiran terlalu ramai pekerja asing di Malaysia dijangka akan mewujudkan masalah sosial sekiranya para pekerja asing itu sendiri kehilangan kerja kelak.
Pembaca yang menghantar emel dan SMS dalam ruangan surat-menyurat mengemukakan pendapat yang sama iaitu pekerja asing patut dikurangkan dan tidak patut diambil bekerja di pasaraya, restoran, kedai makan dan hotel.
Menurut rekod rasmi di Malaysia terdapat sekurang-kurangnya 5 juta pekerja asing sama ada berdaftar atau tidak. Kemasukan pekerja Bangladesh itu akan menambah jumlah mereka kepada 6.5 juta.