Khalid digesa berundur dengan terhormat
Pemimpin akar umbi tersebut turut menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada presiden parti, yang juga ADUN Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dianggap paling layak menjadi menteri besar.
Empat ketua cabang itu ialah R Sivarasa (Subang), William Leong (Selayang), Yew Boon Lye (Klang) dan David Cheong (Kuala Langat).
Para pemimpin cabang itu turut meminta anggota PKR menyokong keputusan Majlis Pimpinan Pusat pada 21 Julai lalu yang menamakan Wan Azizah sebagai calon untuk jawatan itu.
“Akar umbi berpendapat peralihan kuasa perlu dibuat secara tertib, baik, dan bermaruah. Oleh yang demikian, ingin kami menasihatkan Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim menghormati keputusan parti dan melepaskan jawatan dengan baik dan penuh rela hati,” kenyataan itu dipetik.
Menurut para pemimpin cabang tersebut, Khalid perlu berbuat demikian demi kepentingan pentadbiran negeri Selangor dan rakyatnya.
“Tan Sri Khalid perlu ingat, jika beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut, ini hanya akan merosakkan imej beliau.
“Akar umbi akan mempersoalkan apakah motif sebenar beliau mengambil sikap sedemikian yang hanya boleh menguntungkan musuh politik Pakatan Rakyat.
“Akar umbi masih menaruh harapan yang cukup besar ke atas Pakatan Rakyat untuk membawa reformasi dan perubahan yang lebih baik di negeri Selangor,” kenyataan itu dipetik.
Leong pada pagi ini turut mengadakan sidang media bagi mengulangi seruan tersebut dan turut mendakwa Khalid gagal mentadbir Selangor berdasarkan manifesto Pakatan.