Sejak menjadi Menteri Besar Selangor, inilah kali pertama Khalid hadir di majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh parti dan pihak yang bermusuh dengannya.
Walaupun ada yang berhujah bahawa kehadiran itu adalah perkara biasa, mungkin kerana adanya jemputan daripada Majlis Tindakan Negeri Selangor yang diketuai oleh Datuk Seri Noh Omar atau daripada Najib sendiri.
Malah dikatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah minum teh tarik bersama Perdana Menteri sebelum ini, tetapi kehadiran Khalid ini tentulah berbeza sama-sekali.
Apakah Khalid sekarang ingin menunjukkan beliau sudah ada tauke baru sebagai tempat pergantungannya? Apakah Khalid begitu terdesak untuk menyelamatkan kedudukannya?
Di sisi yang lain, Umno memang mengetahui kedudukan Khalid sedang terancam sejak wujudnya apa yang dipanggil “Kajang Move” lagi.
Dengan serangan, kecaman dan desakan bertali arus agar Khalid segera diundurkan serta Khalid pula enggan mengalah, mungkinkah Umno sekarang cuba menunjuk baik dengan menghukurkan dahan untuk bergantung kepadanya?
Sekali imbas, kehadiran Khalid di majlis berbuka puasa itu sambil bergurau senda dan gelak ketawa dengan lain-lain para pemimpin Umno yang tahun-tahun sebelumnya mengutuk dan mencercanya, manakala pemimpin Umno yang berada di situ juga seakan terlupa mereka pernah mengata macam-macam kepadanya, ianya seolah-olah mereka sama-sama mendapat manfaat daripadanya.
Mungkin dengan berbaik dengan Umno, Khalid dapat bertahan lebih lama lagi di kerusi empuk Menteri Besarnya.
Khalid juga mungkin beranggapan dengan menunjuk beliau boleh berbaik-baik dengan Umno dan Najib, serangan dan kecaman terhadapnya bakal berkurangan kerana ia memberi gambaran jika beliau ditukarkan, tentulah beliau akan bekerjasama dengan Umno dan menelanjangkan semua kepincangan PR selama ini.
Kiranya PR bimbang dengan kemungkinan itu, tidak mustahil Khalid akan dikekalkan sehingga pilihan raya akan datang.
Dan jika itu yang berkaku, maka tercapailah hasrat Khalid untuk kekal menjadi Menteri Besar sehingga habis penggal ini sebagaimana yang selalu disebutnya selama ini.
Selain itu, hubungan Khalid dengan Sultan Selangor juga secara tidak langsung menjadi lebih kukuh apabila beliau mula berbaik-baik dengan Umno dan Najib.
Ada kemungkinan juga akhirnya Sultan Selangor akan menolak sebarang pertukaran jawatan Menteri Besar yang mahu dicadangkan oleh PR, sebaliknya mahukan Khalid terus kekal sehingga akhir penggalnya.
Umno pula, dengan hanya 12 kerusi yang dimilikinya, ia tentulah sedar peralihan Menteri Besar daripada PR kepada BN mustahil boleh berlaku.
Walaupun PKR mempunyai 14 kerusi, tetapi berapa sangatlah yang boleh ditarik oleh Khalid jika beliau memutuskan untuk menjadi Bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN) kerana kuasa politik parti itu di Selangor lebih ditentukan oleh pengaruh Anwar dan Azmin Ali selaku Pengerusi PKR negeri.
Untuk menukar Menteri Besar pula, kerusi PAS dan DAP yang berjumlah 30 adalah halangan paling besar.
Oleh itu, berbaik-baik dengan Khalid yang hatinya sudah tiada lagi dengan PR, adalah satu-satunya jalan yang menguntungkannya Umno. Bagi Umno, biarlah Khalid terus kekal asalkan hatinya sudah berada dalam genggaman Putrajaya.
Melalui berbaik-baik dengan Khalid, Umno dapatlah menunjukkan kepada rakyat Selangor bahawa mereka adalah parti yang baik dan budiman serta sedia berbaik dengan sesiapa saja, tidak seperti PR yang sentiasa bergolak dan berbalah.
Jika pengundi Selangor melihat ini sebagai suatu kelebihan, ia mungkin memberi lebih peluang kepada BN untuk menawan kembali negeri itu dalam pilihan raya akan datang.
Tetapi dengan berjaya Khalid kekal sehingga habis penggal ini, yang pasti untung ialah Umno dan kerajaan pusat.
Jika sebelum ini ia sudah pun berjaya memujuk Khalid untuk bersetuju dslam isu air dan peneruskan projek Langat 2 serta pembinaan Lebuh Raya Kidex yang dianggap projek kepada kroni Umno, dengan kekalnya lebih lama Khalid sebagai Menteri Besar tentulah lebih banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh Umno dan kerajaan pusat.
Sebab itu, tidak menghairankan apabila Najib sendiri dilihat amat berbesar hati dengan kehadiran Khalid di majlis berbuka puasa semalam dah mengatakan, walaupun mereka berbeza dari segi politik tetapi boleh menjalinkan kerjasama dalam banyak segi.
Tidak mustahil selepas ini, dengan hubungan Khalid yang semakin renggang dengan rakan-rakan dalam PR sendiri, beliau akan terus dipergunakan, bukan saja untuk melaksanakan beberapa projek yang memberi keuntungan dan nilai tambah kepada Umno tetapi juga untuk memberi gambaran bahawa PR bukanlah sebuah parti yang boleh mentadbir negeri dan negara dengan sebaik-baiknya.
Jika pun Umno terdesak untuk berbaik-baik dengan Khalid, hanya itulah tujuannya.
Dengan Khalid sudah menunjukkan secara terbuka warna dirinya sekarang ini, jalan terbaik bagi PR ialah segera menukarkan beliau tetapi mestilah dengan cara yang paling berhemah dan berhati-hati.
Menyimpan Khalid lebih lama mendatangkan lebih bahaya kepada cita-cita untuk kekal di Selangor dan juga membawa perubahan kepada negara. – shahbudindotcom.blogspot.com, 12 Julai, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.