• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1
PETALING JAYA - Majlis Setiausaha Agung PR yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang kian bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan hal itu dan ia hanya boleh diputuskan oleh majlis Presiden PR yang akan bersidang sebelum hujung bulan ini.

"Kita ada majlis presiden kerana isu MB Selangor itu melibatkan pimpinan tertinggi dalam parti.

"Kita jangka mesyuarat Majlis Presiden itu akan diadakan sebelum raya bagi membincangkan banyak isu termasuk kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Semalam, Mustafa menegaskan pertemuan yang berlangsung lewat malam tadi bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Abdul Khalid hanyalah perjumpaan biasa yang diadakan pada bulan Ramadan.

Tegasnya, ketiga-tiga pemimpin itu langsung tidak menyentuh berkenaan isu politik atau parti masing-masing di sepanjang pertemuan tersebut itu berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau juga enggan meletakkan sebarang tempoh tertentu mengenai mesyuarat Majlis Presiden PR itu akan bersidang sebelum hari raya.

Malah katanya lagi, pendirian Pas berhubung isu MB Selangor itu tetap tidak berubah dan keputusan itu mesti dibuat secara bersama dan melalui majlis Presiden PR.