Belum reda krisis Selangor, MB umum rombakan anak syarikat kerajaan negeri


Pengumuman ini dijangka mencetuskan sekali lagi kontroversi dalaman PKR pada ketika kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor ditolak oleh sesetengah pihak dalam PKR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Julai, 2014.  

Pengumuman ini dijangka mencetuskan sekali lagi kontroversi dalaman PKR pada ketika kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor ditolak oleh sesetengah pihak dalam PKR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Julai, 2014.

 Krisis politik Selangor semakin hebat apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kemungkinan merombak ahli lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri, satu langkah yang dilihat untuk melemahkan pengaruh seteru politiknya yang juga Pengerusi PKR negeri, Mohamed Azmin Ali.

Pertembungan dalaman di antara pemimpin parti yang memperjuangkan reformasi itu menyebabkan khabar angin tersebar semalam mengatakan Khalid akan meletakkan jawatan sehingga menyebabkan ramai wartawan berkumpul di Istana Selangor walaupun ia tidak berlaku.

Kelemahan PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah dengan langkah terbaru Selangor ini walaupun Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) mengatakan rombakan ahli lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri bertujuan untuk penambahbaikan.


"MBI akan melakukan kajian dan meneliti tahap pencapaian anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu dengan tujuan membuat penambahbaikan," kata Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dalam satu kenyataan hari ini.
  Pengumuman ini dijangka mencetuskan sekali lagi kontroversi dalaman PKR pada ketika kedudukan Khalid sebagai menteri besar Selangor ditolak oleh sesetengah pihak dalam PKR.
Menurut Faekah, kedudukan pengerusi syarikat dan ahli lembaga pengarah akan dikaji semula.
"Ini termasuk mengkaji semula kedudukan pengerusi syarikat dan ahli lembaga pengarah serta pengurusan tertinggi," katanya.
Pelaksanaan tersebut akan bermula dengan dua anak syarikat iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). Terdapat 12 anak syarikat MBI.
Menurut Faekah langkah tersebut selari dengan prinsip pentadbiran telus dan bertanggungjawab yang diamalkan Selangor sejak 2008.
"Langkah ini memperlihatkan kerajaan negeri berupaya meningkatkan tahap kecekapan dalam aspek perbelanjaan dan pengurusan," katanya.
Sumber dalaman Pejabat Menteri Besar Selangor memberitahu The Malaysian Insider, kebanyakan pemimpin PKR yang memegang jawatan dalam anak syarikat Selangor terdiri daripada sekutu Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Dipercayai apabila rombakan ini dilakukan, kebanyakan pemimpin PKR pro Azmin yang memegang jawatan akan disingkir dan digantikan dengan golongan lebih neutral.

Rombakan ini bukan kali pertama berlaku di negeri terkaya itu, pada Februari lalu beberapa kakitangan PKNS termasuk Azmin disingkirkan daripada anak syarikat negeri.

Kontroversi pemecatan tersebut berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Khalid dan Azmin.


Isu pemecatan tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk khususnya pemimpin PKR sendiri.
Khalid dan Azmin juga ketika ini bersaing antara satu sama lain dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR yang dijangka akan diketahui keputusannya pada Ogos. – 8 Julai, 2014.