Anwar tidak tolak kemungkinan Wan Azizah jadi MB Selangor
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak menolak kemungkinan berlakunya perbincangan di peringkat pimpinan parti untuk melantik Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Walaupun tidak menyatakan secara langsung tetapi beliau mengakui perbincangan untuk peralihan tampuk kerajaan negeri itu akan diadakan kelak.
"Hal itu mereka akan bincangkan melalui pimpinan negeri.
"Program Wan Azizah hari ini masih di Kajang. Langkah Kajang masih
diteruskan yang mana Wan Azizah sekarang sudah menang di sana," katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Kemenangan itu sekaligus menguatkan spekulasi akan berlakunya perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri sepertimana dicanangkan selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya pada Januari.
Pada masa sama beliau mengulas mengenai kemenangan PKR dalam PRK Kajang dan menolak kekurangan sokongan undi kaum Cina sebagai amaran kepada parti itu.
Beliau menyifatkan sekalipun dalam PRK Kajang MCA masih dilihat sebagai malapetaka dan memerlukan abad akan datang untuk membuat kemunculan semula.
"Peningkatan itu bukan satu amaran. Kami mempertaruhkan calon Melayu, yang memakai tudung dan masih menang dengan undi popular bagi semua kaum.
"Sekiranya mereka (MCA) mahu membandingkan dengan 7% kenaikan undi kaum Cina sebagai tanda positif maka mereka perlu menunggu abad akan datang untuk membuat kemunculan semula," katanya.
Anwar bagaimanapun mengakui bahawa jumlah pengundi yang keluar untuk mengundi semalam adalah lebih jauh rendah daripada apa yang dijangkakan.
Akan tetapi menurut Anwar, PKR tetap menang meraih undi popular.
"Dalam negara demokrasi, undi melebihi 60 % adalah menakjubkan," katanya. – 24 Mac, 2014.