Anwar seru kerjasama sarjana Islam dengan Oxford, Cambridge

Anwar seru kerjasama sarjana Islam dengan Oxford, Cambridge

dsai_oxbridge_talkKUALA LUMPUR 9 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru sarjana Islam bekerjasama lebih erat dengan universiti Oxford dan Cambridge demi kemanusiaan sejagat.

Kata Anwar, tidak ada percanggahan di antara intelektual barat dengan pemikiran tamadun Islam, bahkan masing-masing berperanan mengangkat martabat kemanusiaan melalui tradisi keilmuan.
“Sebab itu antara perhatian saya kepada sarjana Islam adalah keperluan melakukan reformasi pendidikan tinggi.
“Universiti Oxford dan Cambridge antara pusat keilmuan yang berperanan menyumbang kepada idea dan intelektuali. Tidak ada percanggahan nilai.

“Melalui pendidikan, orang Islam dan bukan Islam dapat meningkatkan kefahaman demi kemanusiaan sejagat,” kata Anwar dalam pertemuan bersama ahli Oxford & Cambridge Society Malaysia di Bankers Club, malam tadi.

Dalam program tersebut, Anwar diperkenalkan sebagai pensyarah tamu yang pernah mengajar di St Antony’s College, Universiti Oxford diantara tahun 2005 hingga 2006.

Dalam sesi dialog tersebut, Anwar turut mengulas pengalaman negara-negara Asia berhadapan isu rasuah, tatakelola kerajaan dan usaha-usaha pendemokrasian di kalangan negara-negara membangun.
“Ya, kita mengakui ada beberapa kelemahan. Terutamanya berkaitan dengan isu rasuah, ketelusan dan tatakelola kerajaan. Berbanding di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang telah wujud dan kuat institusi ketelusan dan akauntabilitinya,” kata Anwar.

Beliau turut mengupas kandungan bukunya, The Asian Renaissance (Gelombang Kebangkitan Asia) yang menekankan tentang nilai Asia dan persediaannya berhadapan dengan etika barat.

“Justeru, sekarang adalah masanya untuk kita (masyarakat Timur) menyatakan pendrian tentang usaha pendemokrasian. Dan hal ini juga adalah perkara-perkara asas mengenai kebebasan,” kata Anwar.