KEADILAN lancar kempen “Percaya Pada Perubahan”, pendaftaran talian

KEADILAN lancar kempen “Percaya Pada Perubahan”, pendaftaran talian

KUALA LUMPUR 1 OGOS: KEADILAN hari ini melancarkan kempen pendaftaran anggota di bawah kempen “Demi Malaysia Yang Lebih Baik”.
Kempen ini mempunyai dua fasa utama iaitu, fasa Kempen Dalam Talian yang bermula hari ini, dan fasa Jelajah Perubahan Rakyat yang akan bermula pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Menurut Pengarah Biro Pemantapan dan Penambahan Ahli, Nurul Izzah Anwar, bagi Kempen Dalam Talian, borang permohonan keanggotaan boleh diisi secara atas talian di laman sesawang KEADILAN, DI SINI.
keadilanPemohon perlu menyediakan salinan kad pengenalan (depan dan belakang) untuk di muat-naik semasa mengisi borang atas talian tersebut. Yuran keanggotaan boleh dibayar atas talian dengan menggunakan kad kredit, paypal ataupun pemindahan dana dari akaun bank pemohon.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden menjelaskan, Jelajah Perubahan Rakyat akan merangkumi satu “roadshow” bersama pimpinan KEADILAN dan akan diadakan di setiap negeri bagi menerangkan prinsip-prinsip dan perjuangan parti kepada rakyat.
“Tarikh dan tempat untuk setiap roadshow ini akan diumumkan dari  masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, Kempen “Demi Malaysia Yang Lebih Baik” ini selari dengan kepercayaan bahawa rakyat Malaysia dahagakan sebuah Malaysia yang lebih dinamik, aman dan makmur.
“Sokongan daripada rakyat amat diperlukan untuk mencapai visi KEADILAN bagi meletakkan Malaysia sebagai negara yang disegani, baik dari aspek ekonomi, politik dan sosial.
“Kempen ini akan memerkasakan KEADILAN lagi sebagai sebuah kuasa politik yang akan terus mampu mengorak arus perubahan bagi negara ini, InsyaAllah,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

No comments: