APAKAH TERCAPAINYA MATLAMAT MENAWAN PUTRAJAYA?ATAU SEBUAH MIMPI......


 OLEH: RONASINA



Sudah tiga minggu perhimpunan BERSIH 3.0 berlalu, sebuah perhimpunan yang menuntut agar Pilihanraya Umum dijalankan dengan bersih dan telus.  Ketakutan pemerintah dengan kebangkitan hampir 300 ribu rakyat memenuhi jalan-jalan dan lorong di ibu kota daripada diketahui umum khususnya pengundi atas pagar segera ditangkis dengan mengalih isu kepada keganasan demonstran yang mencetuskan ketegangan awam.  Media dan segala jentera digunakan bagi menggambarkan betapa jahatnya perhimpunan ini yang kemudiannya dikaitkan pula semua ini adalah agenda rakus Pakatan Rakyat.

Tidak cukup itu, cubaan memperkakaskan Majlis Fatwa pula dilakukan dengan menjatuhkan hukum haram menyertai perhimpunan sebegini.  Heboh-heboh perdebatan di antara pemerintah yang menuduh Pakatan Rakyat cuba menggulingkan kerajaan dengan cara rusuhan dan Pakatan Rakyat pula membalas hujah tersebut berlarutan lamanya.  Paling celaka apabila Anwar Ibrahim dan Azmin Ali tiba-tiba menjadi panas namanya kerana kononnya merekalah penganjur segala bentuk keganasan pada hari itu.  Jawatankuasa penganjur seperti Ambiga pula terus diburukkan imejnya sehingga hari ini dan terus diganggu keselesaan hidup sehingga sampai ke halaman rumahnya.

Saya bukan hendak mengulas tentang kisah semua ini akan tetapi saya berasa gusar apabila semua heboh-heboh ini telah menyebabkan matlamat perjuangan lapan tuntutan BERSIH 3.0 ditunaikan telah tersasar.  Pakatan Rakyat telah membuang masa yang sangat berharga dek kerana sibuk melayan kerenah badut-badut upahan yang membuat cerita lucah, menonggeng dan menfitnah.  Sepatutnya perjuangan menuntut lapan perkara yang digariskan di dalam BERSIH 3.0 ini diteruskan dengan konsisten.  Ditambah pula lagi baru-baru ini tersebar berita yang Pilihanraya Umum akan diadakan pada bulan Jun.

Maka dengarnya parti-parti Pakatan Rakyat sudah mula bermesyuarat untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya tersebut.  Inilah persoalan yang bermain di minda rakyat.  Bagaimana dengan perjuangan BERSIH 3.0?  Mengapa tiba-tiba hendak menyertai PRU sedangkan kerajaan Barisan Nasional dilihat tidak berminat untuk menunaikan lapan tuntutan tersebut?  Apakah Pakatan Rakyat mahu ditipu lagi dan apakah rakyat mahu juga mengundi dalam keadaan sudah terjamin kalah akibat penipuan yang dirancang rapi seperti apa yang telah berlaku pada pilihanraya sebelum ini?  Seriuskah sebenarnya Pakatan Rakyat hendak menakluki Putrajaya sedangkan perjuangan untuk memastikan pilihanraya adil dan telus pun hangat-hangat tahi ayam?  Itu belum lagi perjuangan yang lain seperti Mansuhkan ISA, perjuangan menentang PPSMI yang sepatutnya dimansuhkan tahun ini tetapi kerana protes yang lesu maka kerajaan masih boleh terus bernafas lega dan menyorokkan masalah ini di bawah karpet.
Yang dipukul teruk dalam perhimpunan BERSIH 3.0 adalah rakyat marhaen, yang ditangkap ISA sekarang juga marhaen yang tidak popular, apakah mereka ini terus dibiarkan?  Ada sesetengah pemerhati politik berpendapat perjuangan politikus hanyalah untuk menjadi Yang Berhormat sebenarnya dan bukanlah hendak memerintah sangat.  Asalkan kedudukan mereka selamat dan boleh cari makan.  Ini tanggapan yang tidak boleh diketepikan dengan begitu mudah kerana inilah yang disangkakan oleh rakyat pada hari ini.

Anak-anak muda dalam parti politik Pakatan Rakyat juga sepatutnya harus terus turun mendekati rakan sebaya mereka menerangkan risalah perjuangan, bukannya berpolitik dan melobi menjadi calon.  Agak mengecewakan juga apabila perjuangan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sebagai protes menentang PTPTN disambut dingin oleh anak-anak muda parti politik disebabkan tidak sebulu.  Kata anak-anak muda parti, mahasiswa ini berlagak dan mengkritik parti.  Seharusnya mereka mencari titik persamaan apatah lagi isu PTPTN ini isu anak muda.  Jika isu anak muda gagal disahut sendiri oleh anak-anak muda di dalam parti politik yang bercita-cita untuk memerintah, makanya apa sebenarnya obor perjuangan anak muda di dalam parti politik?


(NAK MELAWAN APA RONASINA...YANG DAH PINJAM DAN TENGAH BAYAR SEDANG MENGIRA JUMLAH YANG DIBAYAR.BAIK JAGA PERUT DAN BAWAH PERUT DARI MEMBERIKAN SOKONGAN KEPADA TUNTUTAN MEMBAYAR PTPTN...KATA MEREKA,..... GOLONGAN INI.....HANGPA PI LA KEDEPAN...KAMI SOKONG DARI JAUH...MALUNYA AKU JADI ANAK MUDA SEPERTI INI....SEDANGKAN PUNYA BERLAMBAK YANG TELAH BERUSIA HADIR BAGI MENUNTUT PEMERINTAHAN YANG BARU DAN ANAK MUDA PULA HANYA MELIHAT DARI JAUH. .. DAN YANG PALING SYAHDU PULA AKAN MENGATAKAN...KAMI SOKONG..KAMI SOKONG ..KAMI  SOKONG....DAN TAK  SEMESTINYA KAMI TURUT HADIR...UMPAMA MENANGGUK DI AIR KERUH, TIDAK MAHU BERUSAHA DAN MERASA MALU MENDAPAT FAEDAH DARI KEPERITAN ORANG LAIN.JIKA BEGINILAH ANAK MUDA...MAKA HILANGLAH APA YANG PERNAH DIUNGKAPKAN OLEH ALLAYARHAM SUKARNO......ANAK MUDA HARUS BERJUANG..BERANI MENGAMBIL RISIKO KERANA KEHORMATAN SEBAGAI MANUSIA)WRLR

Itu belum lagi golongan pencinta bahasa, budayawan dan golongan sebagainya yang terawang-awang berjuang dan masih gagal melihat "musuh" sebenar dalam kemelut ini.  Mereka lantang apabila isu bahasa dipinggirkan malah sekumpulan seniman juga pernah membuat persembahan protes menentang rampasan tanah kampung tradisional untuk tujuan pembinaan projek tetapi itu kerana salah seorang daripada seniman tersebut adalah penduduk asal kampung tersebut.  Dalam isu lain mereka membisu pula walhal mereka seharusnya sedar segala mehnah yang timbul pada hari ini baik isu bahasa, pencerobohan tanah, rasuah mahu pun penyelewengan kuasa atau segala bapa kejahatan di atas bumi Malaysia pada hari ini datangnya dari satu musuh sahaja iaitu sebuah kerajaan yang zalim.

Perjuangan mestilah berstrategi dan strategi mestilah ampuh mengepung dari semua sudut agar musuh bersama jenteranya dapat dilumpuhkan.  Strategi juga mestilah bijak dan kreatif.  Kalau kita hayati salah satu tuntutan tersebut ialah mahukan akses media yang bebas dan adil tetapi apa yang kita lihat media tetap terus menfitnah peserta perhimpunan dengan memberikan imej ganas dan jahat.  Jika akhbar dan stesen televisyen kroni percuma itu memanglah tidak dapat dinafikan tapi mengapa membiarkan stesen televisyen berbayar turut juga terlibat menfitnah?
Saya percaya sekurang-kurangnya 10% daripada 300 ribu orang peserta demonstran adalah pelanggan sebuah stesen televisyen berbayar.  Hari ini mereka terus membayar stesen itu untuk terus menfitnah mereka sendiri.  Bayangkan 10% daripada peserta perhimpunan BERSIH 3.0 ini (mungkin lebih daripada itu) memboikot dan menghentikan langganan apakah stesen televisyen berbayar ini tidak rasa tergugat dan akan berfikir lebih daripada sekali untuk melaporkan fakta yang salah pada lain kalinya?  Mengapa ini pun tidak mampu dilakukan?  Apakah susah untuk melakukan ini?  Apa kata buat sahaja yang ini dahulu sebelum melangkah berteriak dengan kuat.  Tidak ketinggalan zaman kita rasanya jika tiada benda-benda seperti itu.  Jangan biarkan musuh ada di dalam rumah kita sendiri.

Semua rakyat Malaysia, seniman dan budayawan, ahli politik, anak muda tidak kira di dalam atau di luar parti jika mahu melihat kerajaan yang zalim ini tumbang haruslah duduk bersama mencari titik persamaan agar Malaysia baru dapat ditegakkan.  Percayalah jika kita bersatu meneriakkan slogan "tunaikan lapan tuntutan" dengan lantang dan konsisten tanpa henti-henti segala tonggeng punggung, jual burger depan rumah orang, mengheret ibu ahli politik masuk televisyen akan gugur dengan sendirinya dan mimpi menakluki Putrajaya akan jelas dan memang nyata akan menjadi realiti!
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.