NFC: Mengapa Muhyiddin Takut Pada Suruhanjaya Diraja

ULASAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Januari lalu mengeluarkan kenyataan bahawa langkah menubuhkan suruhanjaya diraja tidak perlu bagi menyiasat penyelewengan projek Fidlot Nasional (NFC).


Katanya, penjelasan Jabatan Audit negara serta siasatan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malysia (SPRM) memadai.

Selain itu katanya kerajaan juga turut melantik firma perunding perakaunan bagi menjalankan proses penilaian bagi melihat status kewangan syarikat yang mengurus projek tersebut.

Kenyataan Muhyiddin tersebut ekoran gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya dilantik suruhanjaya diraja bagi menyiasat NFC.

Isu NFC secara tersuratnya melibatkan dua faktor utama. Pertamanya sebagimana dipapar di dada media berhubung penyelewengan dan salah urus oleh NFC melibatkan pinjaman dari dana rakyat bernilai RM250 juta.

Keduanya, berhubung tender terhad yang membolehkan projek tersebut diberikan kepada suami seorang menteri. Manakala Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani ketika tender tersebut diberikan kepada suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul adalah Muhyiddin.

Dari sudut politiknya, isu penyelewengan dan salah urus oleh syarikat-syarikat yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno adalah perkara biasa berlaku.
Tetapi isunya adalah dana rakyat yang sebegitu besar diberikan kepada syarikat yang tidak ada pengalaman langsung dalam industri ternakan lembu.

Maka disinilah letaknya kesalahan Muhyiddin. Persoalannya mengapakah Muhyiddin sanggup memperjudikan RM250 juta wang rakyat untuk diberikan kepada syarikat kroni yang tidak mempunyai pengalaman.

Suapan politik

Begitu juga persoalannya mengapa Muhyiddin memberikan projek tersebut kepada suami Shahrizat sedangkan terdapat enam syarikat yang terlibat dalam permohonan untuk projek tersebut.

Dari sudut persepsinya menggambarkan tindakan Muhyiddin tersebut merupakan 'suapan' politik terhadap Shahrizat bagi mendapatkan sokongan wanita terhadap beliau menentang Najib.

Apatah lagi ketika era Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin diletakkan sebagai 'check and ballence' untuk mengimbangi pengaruh Najib.

Shahrizat juga bersalah kerana sebagai seorang menteri yang hidup dalam gelombang politik tentunya menyedari risiko sekiranya orang ramai mengetahui projek tersebut diberikan kepada syarikat suami beliau.

Atau Shahrizat dijanjikan 'perlindungan' oleh Muhyiddin supaya rahsia projek tersebut tidak akan bocor kepengetahuan rakyat atau orang politik.

Ketika itu pula Muhyiddin adalah orang Abdullah. Maka jaminan perlindungan tersebut menjadikan Shahrizat mempunyai keyakinan bahawa 'rahsia' tersebut tidak akan bocor.

Bagi Muhyiddin pula, sokongan dari wanita Umno amat diperlukan setelah merasa selamat dan selesa dengan kedudukan Pemuda Umno yang diterajui menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin.

Kambing hitam

Paling lucu dan memualkan apabila entah dari mana datangnya angin, tiba-tiba seorang ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail ditangkap dan dijadikan kambing hitam.

Beliau didakwa dengan dua pertuduhan menipu Pengerusi Perbadanan Fidlot kebangsaan, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail iaitu suami Shahrizat sebanyak RM1.755 juta.

Tidak sampai 45 minit didakwa di mahkamah Klang berhubung NFC Shamsubahrin juga didakwa atas pertuduhan menipu seorang majistret.

Demikianlah bagaimana 'licik' polis serta 'auta' pemimpin-pemimpin Umno-BN dalam menutup penyelewengan NFC.

Fakta asas untuk pelajar yang akan memasuki sekolah menengah pun tahu 'makhluk' pertama yang harus disiasat atau diadili adalah mereka yang bertanggungjawab mengurus tadbir NFC iaitu suami dan anak-anak Shahrizat.

Bukan mencari kambing hitam sebagaimana kes pembunuhan warga Monggolia, Altantuya Shariibuu dulu. Malah sehingga ke saat ini misteri pembunuhan tersebut tidak diketahui walaupun pembicaraan dijalankan bertahun-tahun.

Muhyiddin punca kemelut NFC

Muhyiddin juga tahu sekiranya siatan diraja dijalankan maka orang pertama yang akan disiasat adalah beliau selaku Menteri yang meluluskan pemberian projek

kepada suami Shahrizat.

Fakta pertama yang akan dipersoalkan oleh jawatankuasa siasatan tersebut adalah bagaimana beliau memberikan projek RM250 juta tersebut kepada suami seorang menteri kabinet yang tidak berpengalaman.

Penjelasan Muhyiddin kepada jawatankuasa siasatan tersebut akan menyerlahkan lagi betapa amalan kronisme berleluasa berlaku dalam pentadbiran Umno-BN.

Namun lebih membimbangkan Muhyiddin adalah terbongkarnya agenda sulit beliau dan Shahrizat menumbangkan bosnya sekarang, Najib Razak.

Najib juga menyedari Muhyiddin bersama team beliau mengintai pelbagai sudut untuk menyingkirkan beliau. Namun kesahihan belum dapat dibuktikan. Lantaran itu Najib tidak mahu mengadakan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno selama tiga tahun berturut-turut.

Muhyiddin juga sedar, Najib juga telah berjaya menghidu kelibat beliau bersama teamnya.

Memang agak menghairankan mengapa selepas lebih tiga tahun projek Fidlot yang merupakan salah satu dari pelbagai projek lagi didedahkan oleh Ketua Audit negara. Sedangkan progres projek-projek yang diberkan kerajaan kepada 'kroni-kroni' lain tidak didedahkan.

Apakah pendedahan penyelewengan NFC mempunyai kaitan dengan arahan dari Najib untuk menyingkirkan Muhyiddin?.

Berdasarkan fakta asas, sesiapa sahaja termasuk orang-orang Umno akan melihat punca kepada masalah NFC bermula dari 'anugerah' projek oleh Muhyiddin kepada suami kepada Ketua Wanita Umno.

Pendedahan demi pendedahan berhubung penyelewengan tersebut telah meletakkan Umno berada dalam keadaan paling tertekan. Sehingga Umno disamakan dengan lembu.

Saat menghadapi PRU13 turut meningkatkan darjah kemarahan ahli-ahli dan pemimpin Umno kepada Shahrizat dan Muhyiddin.

Lalu usaha menolak untuk diadakan siasatan diraja dilihat Muhyiddin sebagai jalan paling selamat untuk menutup agenda tersembunyi beliau.