Isu Lynas: Debat Fuziah - Adnan Yaakob Pada Februari

SHAH ALAM, 18 JAN - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersedia untuk berdebat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu kilang Lynas yang mendapat perhatian umum khususnya masyarakat di Kuantan, Pahang.


Ketika dihubungi TVSelangor hari ini, Fuziah berkata, beliau sememangnya bersetuju dan menyambut baik saranan Adnan untuk bersemuka dalam satu sesi perbincangan atau debat secara ilmiah berhubung perkara itu.

Menurutnya, pasti ia adalah medan terbaik bagi orang ramai membuat pernilaian terhadap persoalan Lynas tersebut.

Katanya, pihaknya kini menunggu kata putus dari Kerajaan Negeri Pahang berhubung perkara itu.

"Saya menyatakan persetujuan untuk berdebat apabila diajukan Sinar Harian dan menyambut baik persetujuan Adnan dalam perkara ini. Sinar Harian yang mempunyai pengalaman dalam mengadakan sesi perbahasan seperti Wacana Sinar Harian juga bersetuju untuk bertindak sebagai penganjur.

"Program ini dijangka diadakan di Kuantan pada minggu pertama atau kedua Februari ini," katanya.

Difahamkan sesi perdebatan itu akan menyentuh mengenai soal sama ada wajar atau tidak Lynas diberikan kelulusan untuk memulakan operasinya di Kuantan.

Fuziah berkata, program tersebut akan mempertemukan dua pihak iaitu pihak yang bersetuju serta menentang dan pihaknya akan mengemukakan hujah selain fakta termasuk bukti kukuh yang disokong pakar luar.

"Perdebatan itu juga akan memberi kesempatan kepada rakyat Kuantan untuk memahami isu Lynas dengan lebih lanjut.

"Apa yang kita perkatakan selama ini adalah untuk kebaikan rakyat Kuantan," ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang tidak melanjutkan tempoh meneliti dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai tidak relevan.

Tegasnya, dokumen lebih 100 muka surat yang penuh aspek teknikal itu perlu dikaji secara teliti dan tidak boleh semudahnya diputuskan dalam tempoh singkat.