KUALA LUMPUR 18 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Papa Gomo kerana bertindak menyiarkan satu lagi sedutan klip video fitnah yang menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing.
Timbalan ketua penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.00 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurut Rozan, pihaknya juga mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar tampil membuat satu kenyataan rasmi bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam menyiarkan satu lagi sedutan klip video itu yang jelas merupakan tindakan terdesak Umno-BN terus-terusan untuk menghancurkan karier politik ketua pembangkang itu.
"Kami ingin seberapa segera Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dari mana Papa Gomo mendapat rakaman ini, sebab itu kami tampil membuat laporan, agar kes ini disiasat segera kerana ia mengancam ketua pembangkang Malaysia," katanya ketika ditemui di luar perkarangan IPD Dang Wangi, petang tadi.
Semalam, negara sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan terbaru keratan video menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di media arus perdana setelah di muat-naik (upload) dalam blog pro-umno, Papa Gomo.
Penulis blog Papa Gomo menyiarkan rakaman bertarikh 13 Januari 2011 yang disebutnya sebagai rakaman "eksklusif", menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.
Menerusi blog tersebut, klip rakaman itu seakan disunting untuk menunjukkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa selari dengan urutan tanda masa peristiwa tersebut.
Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan keraguan apabila pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan
dalam video seks berkenaan.
Dalam CCTV itu juga, lelaki yang dikatakan Eskay memakai pakaian yang berwarna gelap, manakala dalam video seks, lelaki yang ditunjukkan, berbaju dan berseluar cerah.
Rakaman CCTV itu sebelumnya disebut dalam fakta kes apabila Eskay dan dua orang lagi anggota trio 'Datuk T' dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menyiarkan video lucah itu Jun lalu.
Sementara lelaki yang didakwa mirip Anwar itu pula berseluar gelap dalam rakaman CCTV itu, tetapi seluar dalam video seks itu kelihatan cerah.
Sehubungan itu, Rozan mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, namun menjelaskan bahawa rakyat kini sudah bijak menilai kerja-kerja jahat para blogger pro Umno yang secara terbuka mengaibkan Anwar.
"Kami AMK bertindak untuk tidak mahu memberi sebarang penjelasan berhubung isu teknikal, sama ada kesahihan video ini. Isu pakaian sama atau tidak, kerana kami yakin orang ramai bijak untuk menilai sendiri, dan yakin ia adalah usaha blogger seperti Papa Gomo untuk kembali menyerang secara peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.
Selain itu, AMK dalam laporan polisnya hari ini turut menuntut Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim agar memberi penjelasan segera berhubung perkembangan terkini siasatan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap beberapa pihak yang didakwa terlibat menyebarkan satu video seks di Internet, pada 5 April lalu.
Video seks berkenaan dipercayai merupakan sedutan daripada video lucah yang ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.
Laporan itu antara lainnya menamakan laman papagomo.com, pisau.net dan juga gerakanantipkr.blogspot.com sebagai pihak yang perlu disiasat berhubung penyebaran video berkenaan.