Nasib Pemandu Teksi Selangor, Kuala Lumpur Bakal Terbela



KLANG 10 SEPT: Keperitan hidup yang dialami pemandu-pemandu teksi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang terbeban sejak sekian lama akibat eksploitasi golongan yang tidak bertanggungjawab bakal menemui titik noktah apabila Pakatan Rakyat akan membawakan suara mereka ke parlimen bulan hadapan.

Lanjutan daripada Forum Teksi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan pada penghujung Julai lalu di Dewan Sivik MBPJ, hari ini mereka berkumpul dengan penuh semangat untuk memperjuang kebajikan mereka.

Menurut Exco Selangor, Ronnie Liu, parlimen adalah medium paling tepat untuk pemandu-pemandu teksi menyuarakan kegusaran dan segala masalah yang dihadapi mereka selama ini.

"Saya bercadang agar persatuan pemandu teksi di bawah penasihat dan pengerusinya untuk membuat satu memorandum lengkap dengan 10 resolusi ke parlimen agar ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat boleh membawa suara anda ke palimen,"kata Ronnie.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur di Berkeley Corner Restaurant, Klang hari ini.

Forum Teksi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Selangor dan Kuala Lumpur yang diadakan pada 31 Julai 2011 yang lalu di Dewan Sivik MBPJ adalah untuk mengenalpasti masalah-masalah yang sudah lama dihadapi oleh kebanyakan pemandu teksi di Malaysia serta sebarang eksploitasi terhadap mereka.

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri forum tersebut komited untuk membawa 10 resolusi penyelesaian masalah para pemandu teksi yang telahpun didrafkan oleh persatuan tersebut.

Antaranya adalah peruntukan PERKESO serta faedah Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk pemandu-pemandu teksi yang selama ini tidak pernah diusulkan,
pengkajian semula perjanjian 'hire-purchase' serta isu pemberian permit teksi kepada pemandu-pemandu teksi dan bukan melalui syarikat teksi yang kebiasaannya akan memonopoli pemberian permit tersebut.

Anwar yang juga Penasihat PKR ketika menghadiri forum tersebut turut berkata, pemandu teksi merupakan suatu 'campaigning force' kerana mereka merupakan
golongan yang kerap berinteraksi dengan masyarakat sejagat.

Mengulas lanjut, Ronnie turut berkata bahawa kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat akan berjuang mendepani masalah kebajikan para pemandu teksi yang selama ini tidak terbela.

"Kita tidak boleh lakukan banyak perubahan kerana kita masih kerajaan negeri, tetapi sekiranya kami berjaya ke Putrajaya, semua ini akan terjawab dan tertunai"katanya sambil menerima tepukan para pemandu teksi yang hadir.

Sekurang-kurangnya 100 pemandu teksi turut hadir pada sidang media petang ini.

Hadir sama ialah Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, R.Kengadharan dan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, S. Manuharan.

Dalam perkembangan yang sama, Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Nadi Negara, R.Kengadharan menggesa agar kerajaan pusat menghentikan sistem pemberian permit secara longgok kerana amalan tersebut menekan kehidupan pemandu-pemandu teksi sejak sekian lama.

"Saya ingin tekankan, bahawa pemberian permit secara longgok kepada syarikat-syarikat wajib diberhentikan serta merta oleh kerajaan, syarikat-syarikat ini bermaharajalela sedangkan ia memberi rasa tidak senang kepada para pemandu teksi,"ujar beliau.

TvSelangor difahamkan, amalan pemberian permit secara longgok, menguntungkan syarikat teksi yang hanya bertindak mengaut keuntungan sebagai orang tengah sedangkan pemandu teksi yang bertungkus lumus mencari rezeki terus hidup terbeban.

Senario ini jelas tergambar apabila sekurang-kurangnya 45 ribu pemandu teksi sekitar Selangor-Kuala Lumpur terpaksa membayar purata RM45 sehari untuk permit dan sewa kenderaan sedangkan mereka terpaksa menanggung sendiri risiko kesihatan, cuaca serta kos penyeleggaraan kenderaan sendiri.

"Kalau kita mahu tranformasikan negara, mahu melihat transfromasi masyarakat, kenapa kebajikan pemandu teksi terus terbiar, adakah salah buat kerajaan untuk melihat serius perkara ini?,"soal beliau.