Tanah Runtuh : 500 Sertai Solat Jenazah


KUALA LUMPUR 22 MEI : Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, waris dan penduduk setempat hadir di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, pekan Batu 14, Hulu Langat bagi menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat.

Ketujuh-tujuh jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid berkenaan.

Masjid berkenaan mulai dipenuhi jemaah sejak pukul 10 pagi tadi untuk menunaikan solat jenazah bagi mangsa-mangsa terbabit.

Tujuh jenazah itu ialah Dzahir Haziq M.Muin (18 tahun), Mohd Azret Azahari (lapan), Wan Ahmad Hasrim Hazim (11), Mohd Mustakim Mamat (12), Mohd Zaid Azahari (14), Mohd Imal Fahad (sembilan) dan Mohd Hazim Sapri (10).

Kesemua mereka akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14, Hulu Langat.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Semua mayat mangsa yang terkorban di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kesemua jenazah selesai dituntut ahli keluarga dan waris pada kira-kira 12.05 tengah hari tadi.

Jenazah mangsa yang lain akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu tiga di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Dengkil (dua) dan masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan.-BERNAMA

No comments: