Chegubard pula ‘dedah’ isu video lucah KJ, isteri pemimpin



KUALA LUMPUR, 7 April — Sementara negara masih berhadapan polemik video seks didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin pula muncul dengan “pendedahan” rakaman aksi seks Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar).

Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata beliau pernah didampingi seseorang yang membekalkan rakaman adegan seks yang dikatakan melibatkan Ketua Pemuda BN itu.

“Ketika kempen pilihan raya umum 2008 juga pasukan kempen saya telah didekati dengan orang tidak dikenali dipercayai orang Umno yang memberikan video lucah, yang kononnya Khairy Jamaluddin, tanpa pengetahuan saya ada video ini telah tersebar, namun sebaik sahaja saya mengetahuinya saya telah mengarahkan semua dikutip dan dibakar,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Badrul Hisham berkata lebih 2,000 keping video telah dibakar.

“Kini terbaru pula ada pihak yang menghubungi SAMM mengenai kewujudan video seks yang kononnya merakamkan aksi seks seorang isteri pimpinan tertinggi negara.

“Namun SAMM mengajak semua politik selak kain ini dihentikan segera jangan kerana kuasa sanggup lakukan apa saja,” katanya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, rakyat menolak politik sensasi selak kain dengan menolak ahli-ahli politik yang kelihatan seronok memperbodohkan rakyat menggunakan politik lucah seperti apa berlaku sekarang.

“Media yang menjurus kepada perkara yang sama juga harus dijauhkan,” katanya lagi.

Lebih dua minggu negara dikejutkan pendedahan rakaman video seks, didakwa melibatkan aksi seks Anwar yang juga Ketua Umum PKR, oleh “Datuk T”.

Awal minggu ini, klip sedutan pendedahan itu disebarkan menerusi dunia siber khususnya oleh blog-blog pro-Umno.

Dalam kenyataannya, Badrul Hisham juga berkata, menyerang dari segi politik tidak salah, termasuk menggunakan aspek mobilisasi rakyat sebagai penunjuk kekuatan tetapi ia seharusnya berlandaskan pertembungan idea bukan aspek tidak bernilai seperti politik selak kain.

“Ketika media dunia membincangkan perbagai perkara penting seperti krisis radiasi (impak tsunami Jepun), kebangkitan rakyat di Timur Tengah hingga Afrika, krisis yang menyerlahkan kegagalan sistem ekonomi “kapitalis” sehingga menyeret ada negara menjadi muflis.... namun dalam negara ini media lebih seronok memainkan “politik” berasaskan tuduhan seks dan video lucah,” katanya.

“Tidak tahu di mana salahnya, adakah salah media arus perdana yang dikuasai pihak tertentu atau pemain-pemain utama politik negara yang sanggup bertindak ala “desparado”,” katanya.

Malah tambah beliau, ketika dunia sedang beralih kepada politik baru berasaskan nilai, rekod dan idea, Malaysia seolah mundur ke belakang dengan politik selak kain yang sebenarnya lansung tidak memajukan pemikiran rakyat.

“Menteri seperti YB (Datuk Seri) Nazri Aziz pula sentiasa terlalu mengeluarkan kenyataan politik dari menghalalkan tanyangan video lucah, malah yang terbaru beliau kelihatan begitu meraban apabila menyatakan (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) isteri Anwar sendiri tidak layak menilai adakah lelaki dalam video tersebut ialah Anwar Ibrahim. Kalau bukan isteri siapa lagi yang layak menilai?” kata Badrul Hisham yang bertanding melawan Khairy di kerusi Parlimen Rembau pada 2008.

“SAMM dengan ini bagi pihak anak muda Malaysia merakamkan rasa kesal dengan politik “kotor” dan tidak mendidik ini.