Sejarah Bukti Daim Khianati Orang Melayu, Kata Yusmadi







SHAH ALAM 27 MAC : Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengkhianati orang Melayu kerana melaksanakan program yang hanya menguntungkan kroni, kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Akibatnya masyarakat Melayu hari ini masih terpaksa memperjuangkan benda-benda sama seperti 50 tahun lalu, kata beliau ketika mengulas wawancara Daim dalam
akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Kenyataan Daim kononnya Pakatan Rakyat hanya satu "konspirasi politik” menunjukkan beliau ketinggalan zaman dan tidak seiring dengan realiti politik semasa, tambah Yusmadi.

Beliau menyifatkan wawancara Daim dengan Mingguan Malaysia hari ini sebagai cubaan terdesak Umno mengitar semula pemimpin lama untuk menghembus nafas baru dalam parti itu yang semakin ditolak oleh rakyat.

"Apa yang dikatakan oleh Daim ini jelas satu percubaan Umno-BN mengguna kembali pemimpin-pemimpin lama untuk membantu Umno terutamanya kerana mereka semakin hari semakin dipinggirkan dan ditolak oleh rakyat,"kata Yusmadi.

Daim dikenali sebagai seorang yang jarang memberikan wawancara, walaupun kepada media kawalan Umno.

Namun beliau menggunakan Utusan untuk membidas musuh politik Umno iaitu Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Yusmadi menyifatkan kritikan Daim itu sebagai tuduhan liar yang bertujuan menutup penyelewengan bekas menteri kewangan itu sendiri.

"Ini adalah contoh pemimpin yang masih lagi dengan mimpi-mimpi lama yang tidak melihat kepada perkembangan realiti politik terbaru Malaysia. Pandangnya itu juga mengambarkan UMNO tidak pernah berubah, walaupun rakyat telah berubah dan pemimpin yang tidak mampu menerima Malaysia kini bukan lagi Malaysia dahulu," kata beliau.

Dalam wawancara itu Daim mengulangi propaganda Umno kononnya kedudukan Raja-Raja Melayu akan tergugat sekiranya orang Melayu menyokong Pakatan.

"Itu adalah satu fitnah terbesar. Apa yang diperjuangankan oleh Anwar adalah satu perkara yang telah disepakati, yang mana tidak pernah sekali-kali menolak kerangka pelembagaan yang memberi pengiktirafan kepada hak-hak Raja Melayu dan orang Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan," kata Yusmadi.

Dalam wawancara itu, Daim tidak menyentuh atau ditanya mengenai pandangan Tun Mahathir Mohamad bahawa bekas Menteri Kewangan itu dicemari dengan pelbagai
dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa.

Yusmadi berkata rekod Anwar adalah jauh lebih bersih berbanding dengan Daim.

"Bagi saya Anwar adalah lambang 'keadilan' dan ketidakadilan yang dilakukan katas Anwar itu yang menjadi motivasi kepada rakyat untuk berjuang terus mempertahankan keadilan di Malaysia," kata Yusmadi.

"Daim pula adalah lambang dasar ekonomi yang hanya menguntungkan kelompok tertentu sahaja, Daim bukan lambang ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat jelata, sebab itu sehingga hari ini orang Melayu masih berjuang isu yang sama selama 50 tahun" tambah beliau.

Tun Mahathir melantik Anwar menjadi Menteri Kewangan selepas Daim melepaskan jawatan itu pada 1991 setelah diselubungi pelbagai dakwaan.

Daim dikatakan seorang daripada perancang utama dalam fitnah yang menyaksikan Anwar dihumban dalam penjara selama enam tahun atas tuduhan liwat dan rasuah pada tahun 1998.

No comments: