Kes liwat Anwar: Pendedahan WikiLeaks ‘sub judice’, kata peguam bela
Peguam Sankara Nair berkata, beliau dan peguam utama pasukan pembela Karpal Singh telah mengadakan perbincangan awal berhubung pendedahan WikiLeaks berhubung maklumat ejen-ejen risikan yang mempercayai bahawa kejadian melibatkan Anwar adalah sesuatu yang “diperangkap”, tetapi Ketua Pembangkang itu telah “memasuki” perangkap tersebut.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan saya Karpal Singh berhubung perkara ini. Satu perkara, kami merasakan bahawa sebenarnya adalah ‘sub judice’ jika membawa berita-berita (seperti) ini kerana ia boleh memberi kesan ke atas integriti perbicaraan.
“Jika anda melihat dengan betul-betul, berita itu diterbitkan menerusi pihak ketiga. Dalam bidang perundangan, ia hanya cakap-cakap melainkan ia dibuktikan sebaliknya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.
Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.
Sankara berkata, beliau perlu berunding dengan Anwar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Pagi semalam, sebaik sahaja berita mengenainya disiarkan, Anwar menggunakan Twitter untuk mengetepikan pendedahan WikiLeaks bahawa perisikan Australia percaya beliau terlibat dalam kes liwat keduanya, dengan mengatakan sumbernya sudah pasti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia.
Ketua Pembangkang ini tidak membalas panggilan telefon The Malaysian Insider untuk mengulas laporan akhbar Australia, The Sun-Herald tetapi memberikan respons menerusi akaun Twitter apabila ditanya oleh beberapa pengikutnya.
“Sumber? Polis SB Malaysia. Bukti tak ada,” kata Anwar.
Dalam respons terdahulu, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, “sumber? SB Malaysia ha ha.”
Pendedahan WikiLeaks mendominasi aliran mesej Twitter di Malaysia hari ini dengan ahli-ahli politik dari Barisan Nasional (BN) dan pengikutnya memberikan respons ke atas pendedahan terbaru ini.
Sankra juga berkata, kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang tidak standard kerana laporan risikan tidak boleh digunakan sebagai asas berita atau maklumat, malah fakta-fakta dalam laporan ini lazimnya boleh mengelirukan atau tidak benar sama sekali.
“Saya sebahagian daripada (pernah berada dalam) cawangan itu (khas polis), saya tahu mengenainya. Perkara terakhir anda lakukan ialah percaya pada laporan risikan, anda tidak boleh membuat dakwaan begitu sahaja, melakukan sedemikian satu tindakan meneka dan cakap-cakap sahaja,” kata Sankara.
“Seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah,” tambah Sankara.
Peguam itu berkata, hakim perbicaraan kes liwat kedua ini Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mempunyai kuasa untuk memanggil pertubuhan berita tempatan yang melaporkan pendedahan itu dan memberikan mereka surat tunjuk sebab.
“Hakim boleh memanggil akhbar-akhbar (media terbabit) dan boleh meminta mereka menjelaskan mengapa mereka menulis berita itu, dan di mana buktinya. “Situasti di sini sama seperti kes Utusan di peringkat perbicaraan,” kata beliau.
“Kami mahu mengelakkan perkara-perkara tidak berasas terhadap anak guaman kami ketika perbicaraan ini. Ia menjejaskan isu,” kata Sankara.
Lewat petang semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat didedahkan WikiLeaks mengenai komen-komen bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes liwat Anwar.
Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.
“WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.
“Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.
“Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu,” katanya.
The Sun-Herald dalam laporannya kelmarin berkata, pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu - tindakan yang beliau menafikan sama sekali.
“Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuakn itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar,” lapor akhbar itu, yang merupakan sebahagian daripada produk kumpulan Sydney Morning Herald.
Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.
Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.
Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa “Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten.”
Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.
Ia menyebut, “Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang.”
Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.
“ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat,” kata kabel itu.