Pemilihan PKR akan tetap diteruskan

Pemilihan PKR akan tetap diteruskan

Posted by admin on November 9th, 2010

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan peratusan keluar mengundi yang rendah bagi pemilihan pucuk pimpinan PKR dikatakan berpunca daripada kenyataan dan tulisan oleh calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini. Saifuddin juga mendakwa Zaid memperolehi undi yang semakin berkurangan kerana beliau telah dinilai oleh ahli parti yang membaca kenyataan beliau sendiri jika dibandingkan semasa dipilih oleh cabang sebagai calon dan jumlah yang keluar mengundi.

Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa tidak sewajarnya dipersalahkan atau menjadi kambing hitam hanya kerana Zaid mendapat sedikit undi. Yang menghairankan Saifuddin bahawa setakat 87 cabang yang sudah keluar mengundi, sebanyak 38 cabang telah memberi kelebihan undi majoriti kepada Zaid.

Ini kerana jumlah itu dilihat besar dan mendahului pencabar utamanya, Azmin Ali yang menerima kelebihan majoriti di 37 cabang. Sementara itu, seorang lagi calon Mustafa Kamil Ayub memperolehi kelebihan undi di 11 cabang. Walaupun begitu, dari segi jumlah undi, Zaid ketinggalan di belakang Azmin.Setakat ini seramai 11,670 anggota PKR sudah keluar mengundi di 87 cabang setakat Ahad lepas.

Oleh sebab yang demikian, Saifuddin menyanggah Datuk Zaid yang menuduh banyak masalah yang timbul dalam pemilihan kali ini kerana sekiranya itu yang berlaku walhal Zaid masih menang di banyak cabang.

Saifuddin juga berkata, jawatankuasa pemilihan pusat akan bermesyuarat secepat mungkin untuk menentukan sama ada kenyataan Zaid di blog boleh digunakan sebagai dokumen rasmi untuk menarik diri. Sementara itu, mereka juga masih belum menerima notis tarik diri rasmi daripada Zaid. Mereka juga belum menerima apa-apa notis daripada Mustaffa yang menyarankan penggantungan pemilihan.

Pihaknya perlu membuat keputusan mengenai status ini sebelum bermulanya separuh masa kedua pengundian bermula pada Jumaat ini kerana adalah perlu untuk mereka mencetak kertas undi. Masih ada lebih 130 cabang lagi yang akan mengadakan pengundian masing-masing.

Tambah Saifuddin lagi,setakat ini hanya enam aduan rasmi diterima berhubung perjalanan pemilihan pimpinan tertinggi PKR. Beliau menyisihkan dakwaan dua calon timbalan presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub sebelum ini yang mendakwa banyak aduan dibuat terhadap perjalanan pemilihan PKR.

Walaubagaimanapun, pemilihan PKR akan tetap diteruskan walaupun menghadapi risiko besar kepada parti di dalam menghadapi masalah yang ditimbulkan Zaid dan Mustafa. –KLToday.com

No comments: