KOMPONEN BN DAH SIAP HADAPI PILIHANRAYA


Ahli MIC beri tumpuan PRU-13

02/10/2010 2:55pm

MELAKA 2 Okt. - Ahli dan pemimipin MIC diminta bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bagi memastikan kejayaan parti itu dan mengenepikan isu-isu lain, kata Naib Presiden parti, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, yang mustahak adalah bagi semua ahli dan pemimpin memberi tumpuan pada pilihan raya umum akan datang untuk merebut semula kerusi yang MIC tewas pada pilihan raya umum lepas.

"Sekiranya pada pilihan raya umum akan datang, jika MIC tidak berjaya merebut kerusi yang kita hilang ataupun kalah pada pilihan raya umum 2008 maka ini akan menjadi masalah kepada kita (MIC)," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, keputusan Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu, 74, untuk meletakkan jawatan sebagai presiden pada Januari depan setelah 31 tahun memimpin parti itu, adalah berdasarkan keputusan beliau sendiri dan bukan atas desakan pihak lain sebagaimana yang didakwa.

"Ini satu kehilangan kepada parti kerana beliau (Samy) mempunyai pengalaman yang banyak dan telah berjaya menyatupadukan parti ini.

"Pada satu ketika, apa yang berlaku di MIC seperti apa yang berlaku di Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, orang gaduh dan tumbuk (semasa mesyuarat)," katanya. - Bernama