Bahasa Inggeris bukan bahasa sains dan matematik dunia |
Shirzad Lifeboat |
Pemimpin Umno/BN terdahulu memutuskan pengajaran sains dan matematik dilaksanakan bahasa Inggeris disebabkan kononnya bahasa Malaysia tidak sesuai. Di sebalik bantahan ramai pihak, termasuk dari kaum bukan Melayu sendiri, pemimpin Umno-BN mempertahankan kononnya inilah sahaja satu-satu cara anak Melayu dan generasi muda Malaysia boleh memperbaiki dan seterusnya menguasai bahasa Inggeris.
Mungkin kerajaan mahu ada orang Melayu nanti yang boleh menulis mungkin seperti William Shakespeare atau bertutur mungkin seperti watak Profesor Henry Higgins (dalam filem My Fair Lady, dari drama Pygmalion karya George Bernard Shaw).
Melihat dari keputusan yang tergesa-gesa ini, timbul persoalan apakah pihak yang membuat keputusan dalam Umno-BN ketika itu dan pemimpin-pemimpin Umno termasuk Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut yang rata-rata merupakan yesmen faham tentang peranan, selok belok, dan impak jangka panjang bahasa terhadap negara. Mengapa tidak ada kajian terperinci sebelum dilaksanakan? Atau memang sudah jadi amalan pemimpin Umno-BN yang suka membuat keputusan ad hod bagi mematuhi dasar pragmatik parti?
Untuk memahami persoalan aplikasi bahasa dan impaknya kepada negara dan masyarakat kita perlu melihat pengalaman orang lain. Misalnya kita mungkin mahu meneliti kembali apa yang dikatakan oleh ahli falsafah dan matematik British, Betrand Russell mengenai peranan bahasa dalam ilmu.
Seperti ahli falsafah lain, Russell menganggap bidang matematik sebagai cabang kepada bidang falsafah. Dalam buku Principia Mathmatica yang ditulis bersama Alfred North Whitehead, Russell menghujahkan bahawa bahasa bukanlah asas yang penting untuk bidang falsafah (termasuk matematik). Baginya bahasa adalah tidak lebih daripada alat atau pangantar yang bersifat lutsinar (transparent).
Maknanya soal bahasa apa pun yang digunakan untuk berhujah atau untuk merakam dan menyebarkan ilmu bukanlah penting. Apa yang penting ialah bagaimana tradisi keilmuan dipupuk dan diadun oleh mereka yang berkuasa. Sekadar mendirikan lebih banyak universiti dan IPTA lain bagi menempatkan pertambahan pelajar disebabkan pertambahan penduduk, sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN dalam tempoh 50 tahun lalu tidak akan mewujudkan budaya ilmuan di kalangan rakyat.
Suka atau tidak kerajaan Umno-BN perlu akur kepada hakikat ini. Mereka boleh menghantar manusia pertama ke planet Marikh sekalipun menerusi teknologi yang dibina oleh bangsa lain dan pemimpin politik terlibat boleh merasa bangga kerana kononnya instrumental dalam projek berkenaan, tetapi ia tidak akan memberi apa-apa kesan dalam membentuk tradisi ilmu melainkan sorak-sorai yang bersifat sementara.
Hujah yang buat oleh Russell bukan ikut sedap mulut tetapi berdasarkan penyelidikan dan pengalaman dan pembuktian orang lain di masa lalu.
Tengok sahaja Albert Einstein dan Erwin Schrodinger yang menuntut bidang fizik dalam bahasa Jerman. Ramai yang tahu siapa Einstein tetapi tidak ramai yang tahu Schrodinger yang melakukan eksperimen minda dengan memasukkan seekor kucing ke dalam kotak yang mempunyai alat yang boleh membunuh kucing tersebut. Dari eksperimen ini Schrodinger menyumbangkan persamaan gelombang (wave equation) yang kemudiannya dijadikan asas kepada Copenhagen Interpretation of Quantum Mechanics.
Seperti mereka berdua, ramai daripada ahli fizik dan matematik terkemuka dunia, tidak mempelajari sains dan mathematik, walaupun di peringkat universiti dalam bahasa Inggeris.
Einstein, penerima anugerah Nobel (Fizik, 1921) dan dinamakan oleh majalah Time (1999) sebagai Person of the Century mempelajari bidang itu dalam bahasa Jerman di Eidgenössische Technische Hochschule Zürich juga dikenali sebagai Swiss Federal Institute of Technology.
Walaupun nama beliau sering dikaitkan dengan budaya popular, namun kertas-kertas awal beliau mengenai fizik termasuk teori asas relativiti yang kesemuanya ditulis dalam bahasa Jerman memaksa dunia sains menganggap sains fizik (mekanik) yang diasaskan oleh ahli fizik dan ahli matematik Inggeris, Isaac Newton sebagai sudah lapuk dan tidak lagi relevan.
Jika di Malaysia dan dalam skop pemikiran dan budaya Melayu yang dibentuk oleh Umno, tokoh seperti Newton sudah tentu mendapat gelaran setidak-tidaknya Bapa Sains Malaysia. Namun dunia sains tidaklah begitu mendewa-dewakan Newton dan di England jasa dan sumbangannya dalam dunia sains diabadikan menerusi sebuah tugu di Trinity College, University of Cambridge dan pusara di Westminster Abbey (yang menempatkan Parlimen Great Britain).
Ironisnya, buku tulisan Newton yang meletakkannya sebagai pengasas sains mekanik dan fizik klasik, Philosophiæ Naturalis Principia Mathematica (diterbitkan pada tahun 1687) dan buku-buku selanjutnya adalah semuanya dalam bahasa Latin.
Walaupun bahasa Latin merupakan bahasa kuno tetapi dasar pendidikan British pada satu ketika dulu mahukan bangsa Inggeris mempelajari bahasa Latin bagi pengukuhan minda dan budaya ilmu. Permohonan Allahyarham Tun Razak untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di University of London pernah ditolak walaupun biasiswanya telah diluluskan oleh kerajaan British Malaya yang memerintah ketika itu hanya kerana beliau tidak mempunyai kelayakan asas dalam bahasa Latin.
Oleh kerana minatnya begitu mendalam terhadap jurusan undang-undang dan azamnya untuk belajar di University of London begitu kuat, maka Abdul Razak sanggup menghabiskan masa hujung minggu dan hampir semua masa lapang yang dimilikinya untuk berulang-alik dari Raub ke Kuala Lipis hanya semata-mata untuk belajar bahasa tersebut dari Pegawai Daerah Kuala Lipis yang mahir bahasa tersebut.
Berbalik soal sains dan matematik, jika kita melihat satu bidang sahaja, iaitu fizik (kerana sains fizik paling memerlukan pengetahuan matematik yang menyeluruh termasuk pengetahun bidang kimia sebagaimana yang diperlukan dalam fizik nukliar).
Daripada sejumlah 132 orang penerima Anugerah Nobel dalam bidang ini sejak 1901 sehingga 2007, hanya 40 orang sahaja dari Amerika Syarikat, 28 dari United Kingdom dan seorang dari India (Chandrasekhara Venkata Raman penemu Raman Effect yang mempelajari Fizik di Presidency College, Madras dalam bahasa Inggeris) dan seorang dari Pakistan (Abdus Salam kerana sumbangannya dalam konsep matematik Electro-Weak Theory yang menuntut Fizik dalam bahasa Inggeris di St. John’s College, Cambridge.) Selebihnya, 62 orang saintis yang menerima anugerah ini menuntut Fizik (dari sekolah rendah hingga ke peringkat ijazah asas dan juga ijazah lanjutan termasuk ijazah doktor falsafah) atau membentangkan kertas-kertas mengenai penemuan mereka dalam bahasa ibunda masing-masing.
Antara yang paling terkemuka dan dikenali umum ialah Wilhem Rontgen, penerima 1901 (x-ray); Max Planck, penerima 1918 (tenaga quanta); Albert Einstein, penerima 1921 (Fizik Teoritikal, penjelasan kesan fotoelektrik), Erwin Schrodinger (rakyat Austria), penerima 1933 (penemuan bentuk produktif teori atom); Wolfgang Pauli (rakyat Austria), penerima 1945, Rudolf Massbauer, penerima 1961 (penemuan kesan Mossbauer); dan beberapa orang lagi warga Jerman yang menerima anugerah tersebut, membentangkan kertas penemuan masing-masing dalam bahasa Jerman.
Hendrik Lorentz, penerima tahun 1902 (penyelidikan mengenai pengaruh magnetism ke atas fenomena radiasi); Johannes Van de Waals, penerima 1910 (sumbangan terhadap persamaan matematik bagi bentuk gas dan cecair); Fritz Zernike, penerima tahun 1953 (penjelasan terhadap pembezaan fasa dan penciptaan mikroskop pembezaan fasa) membentangkan kertas masing-masing dalam bahasa Belanda.
Pierre dan Marie Curie, penerima tahun 1903 (penyelidikan fenomena radiasi yang ditemui oleh Henri Baquerel), Henri Bequerel juga penerima tahun 1903, (radioaktivi serentak), Pierre Raymond de Brogile, penerima tahun 1929 (penemuan sifat gelombang electron), Louis Felix Neel, penerima tahun 1970 (penemuan yang menghasilkan aplikasi penting bidang fizik bentuk padu), Pierre-Gilles de Gennes, penerima 1991 (penyelidikan terhadap cecair hablur dan polimer) serta berapa orang lagi penerima bidang ini dari warga Perancis membentangkan kertas mereka dalam bahasa Perancis.
Selain daripada itu, Guglielmo Marconi, penerima tahun 1909 (kemajuan telegraphy tanpa wayar) dan Enrico Fermi, penerima tahun 1938 (penemuan kewujudan unsur radioaktif baru terhasil dari sinaran) membentangkan penemuan mereka dalam bahasa Itali; Niel Bohr, penerima tahun 1922 (struktor atom dan radiasi dari atom) mengemukakan penemuannya dalam bahasa Denmark; Karl Siegbahn, penerima tahun 1924 (penyelidikan spektroskopi x-ray), dalam bahasa Sweden; Hideki Yusawa, penerima 1949 (ramalan kewujudan pi-meson dalam atom), Sin-Itoro Tomonaga, penerima tahun 1965 (elektrodinamik kuantum), walaupun membentangkan kertas mereka dalan bahasa Inggeris tetapi menuntut Fizik dalam bahasa Jepun di universiti-universiti di Jepun.
Chen Ning Yang dan Tsung-Dao Lee, penerima bersama tahun 1957 (penyelidikan hukum parity), membentangkan kertas mereka dalam bahasa Inggeris tetapi mempelajari Fizik peringkah ijazah sarjana muda dan sarjana di universiti-universiti di China dan kemudian melanjutkan pelajaran dan menulis thesis Ph.D. dalam bahasa Inggeris di Universiti of Chicago, Amerika Syarikat.
Pavel Alekseyevich Cerenkov, penerima tahun 1958 (penermuan kesan Cerenkov-Vavilov) dan Aleksandr Prokhorov, penerima tahun 1964 (sumbangan asas dalam elektronik kuantum) mempelajari Fizik dan membentangkan kertas masing-masing dalam bahasa Russia.
Ivan Giaever, penerima tahun 1973 (fenomena penerowongan elektron dalam pengalir super) mempelajari bidang kejuteraan mekanikal dalam bahawa Norway sebelum melanjutkan pelajaran ke Kanada.
Berdasarkan hakikat ini, tidak ada helah mengapa kerajaan Umno-BN perlu menggubal dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan kita boleh sahaja mempelajarinya dalam Bahasa Melayu.
Apakah pemimpin Umno terlupa bahawa pengasas algebra yang menjadi asas kepada semua cabang ilmu sains dan matematik adalah seorang ahli matematik Parsi, Muhammed ibn Musa al-Khowarizmi yang tak tahu berbahasa Inggeris dan buku Hisab al-jabr w'al muqabalah yang tanpanya tidak mungkin ada Einstein dan lebih 100 penerima Anugerah Nobel bidang Fizik juga tidak ditulis dalam bahasa Inggeris.
Apa lagi alasan yang perlu diberikan oleh Umno-BN bagi mempertahankan keputusan ini?