Felda Pinjam RM6 Bilion Dari KWSP, Pusat Dituntut Beri Penjelasan





KUALA LUMPUR 24 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dituntut memberi penjelasan segera mengenai tindakan Felda memohon pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan bukti itu yang terkandung dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Rancangan Felda Nitar 2, Mersing Johor.

Hal ini membayangkan Felda kini berhadapan dengan krisis kewangan dan ini adalah sesuatu yang malang untuk sebuah agensi kerajaan Persekutuan yang dibawahnya bernaung ratusan ribu generasi peneroka.

“Sebelum ini Datuk Ahmad Maslan berkata Felda memiliki kewangan yang kukuh, jika betul apa tujuan pinjaman ini kerana bebanan akhir akan ditanggung peneroka,” katanya.

“ (Jadi) untuk apa wang RM6 bilion ini dipinjamkan? Bagi tujuan apa? Kerajaan mesti membuat penjelasan segera kerana ia memberi implikasi sangat buruk kepada pengurusan Felda keseluruhannya,” katanya lagi pada sidang media di sini.

Menurut Mazlan, pada era pemerintahan Najib ketika ini dapat dilihat jelas kawalan kewangan Felda begitu meragukan dan pemborosan berlaku tanpa dikawal.

Antaranya pelaburan Felda dalam syarikat Twin Rivers Technology US Inc. (TRT US) pada tahun 2007 berjumlah RM270 juta.

Kedua, pelaburan Felda melalui Felda Globbbal Ventures Sdn Bhd berjumlah RM500 juta di Cincinnati dan Boston.

Tidak cukup dengan itu katanya, Felda membayar faedah persaraan yang terlalu tinggi kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Nor berjumlah RM84,923.

Malah, Felda juga membayar elaun yang tinggi kepada Ahli Lembaga Pengarah Felda jutaan ringgit pada setiap tahun.

Jelas Mazlan lagi,adalah begitu memalukan apabila Felda yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk mengangkat martabat Melayu-yang kini diterajui anaknya, berhadapan dalam situasi getir.

Ia ditambah dengan kepimpinan korup di bawah teraju Tan Sri Isa Samad.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Felda membuat pinjaman daripada KWSP.

Pada 2010, agensi itu telah meminjam RM3 bilion dari KWSP dengan melancarkan program yang dinamakan 'Felda Global Venture' untuk memacu agensi itu menjadi pemain dalam industri perladangan dunia.

Peruntukan RM 3 bilion diperuntukkan termasuk dipinjam dari KWSP.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuat pengakuan di dalam Dewan Rakyat bahawa rizab tunai Felda menjunam daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM 1.35 bilion pada 2009.

“Felda mesti diselamatkan daripada ‘makhluk perosak’ yang sedang mengagihkan projek berbilion ringgit kepada kroni. Ubah sekarang, selamatkan Felda,” kata Mazlan.

No comments: