NURUL IZZAH PROTES ANWAR?



Berita paling mengejutkan hari ini tentunya ialah tentang perletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan menolak perlantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang.

Dalam waktu yang sama, Nurul Izzah juga, atas sebarang kapasiti, turut melepaskan semua khidmatnya yang ada dengan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR dan penyokong kerajaan di Parlimen melalui kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dengan menang undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR bulan lalu dan baru diumumkan oleh Anwar semalam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Pulau Pinang, tindakannya meletakkan kedua-dua jawatan itu bukan saja mengejutkan, tetapi juga merupakan tamparan kepada bapanya yang kini merupakan Presiden PKR.

Apa lagi, Anwar kini hanya kira-kira setahun lebih saja lagi dijangka akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.

Dengan mengundurkan diri itu, apakah Nurul Izzah tidak mahu bersama-sama melihat kejayaan bapanya menduduki kerusi Perdana Menteri yang diidam-idamkan sejak 20 tahun lalu?

Lantaran itu, di merata-rata ruang perbualan, pelbagai tanggapan dan andaian sedang bertali arus berhubung  perletakan jawatannya secara mengejut itu.

Ada yang mengatakan ia bertujuan untuk mengelak tanggapan berlakunya amalan nepotisme yang sedang dimainkan oleh sesetengah pihak dalam PKR kebelakangan ini.

Bagaimanapun, perkara itu jika diteliti ternampak tidak munasabah kerana kedudukan ahli keluarga Anwar dalam PKR bukanlah perkara baru dan sudah pun diterima sebagai sesuatu yang normal sejak 1998 lagi.

Malah, kewujudan parti itu sendiri pada asalnya ialah untuk membela nasib Anwar yang dikatakan dianiaya oleh Tun Mahathir sehingga dipecat dan dipenjara pada 1998 dahulu dengan penglibatan Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah dalam PKR telah bermula sejak daripada awal lagi.

Makanya, mengapa baru sekarang ia harus menjadi isu yang sampai memerlukan Nurul Izzah meletakkan jawatannya?

Tetapi, jika diambil kira perkembangan semasa yang melibatkan tindakan keluar parti beberapa Ahli Parlimen UMNO beberapa hari lalu dan dalam masa yang sama mereka menzahirkan sokongan kepada Tun Mahathir, perletakan jawatan Nurul Izzah tidak mustahil merupakan suatu tindakan protes.

Pertama, beliau mungkin melakukan protes terhadap Tun Mahathir kerana merasakan ia adalah permainan yang sengaja dicipta untuk terus mengekalkan kuasa dan tidak mahu menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bapanya.

Tambahan lagi, bersama keluarnya UMNO beberapa Ahli Parlimen itu, terdedah wujudnya akuan bersumpah melibatkan 36 Ahli Parlimen BN menyokong kepimpinan Tun Mahathir, manakala dalam konteks lumpuhnya UMNO Sabah pula, Tun Mahathir sendiri mengakui bertemu mereka sebelum itu.

Dua hari lalu beliau mengecam mereka yang bertindak keluar UMNO dengan mengatakannya sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi.

Sebagai tanda protesnya kepada Tun Mahathir itu, maka Nurul Izzah melepaskan semua khidmatnya yang ada dengan kerajaan persekutuan.

Jawatan beliau di peringkat persekutuan ketika ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia atau TVET.

Kedua, Nurul Izzah juga barangkali  sedang melakukan protes terhadap Anwar sendiri yang dilihat agak perlahan, mendatar, tiada lagi semangat "lawan tetap lawan", malah masih menyatakan kesetiaan kepada Tun Mahathir, meskipun Perdana Menteri melalui gerakan politik yang nyata di depan mata sedang dalam proses mahu "menyembelih" masa depan bapanya.

Sebagai seorang yang diasuh secara semulajadi dengan semangat melawan sejak zaman remaja lagi dengan pelbagai episod percikan darah dan airmata, tidak dinafikan bahawa Nurul Izzah pasti paling kecewa jika buat kali kedua ini bapanya masih tewas lagi dalam pertarungan kuasa kepada Tun Mahathir.

Dalam erti kata lain, protes Nurul Izzah kali ini hanya mahukan Anwar bangun melawan dan menuntut haknya yang telah dipersetujui bersama Pakatan Harapan dalam perjuangan yang telah dilalui sejak lebih 20 tahun lamanya.

Sediakah Anwar akur dengan protes anaknya itu atau beliau sebenarnya ada percaturan lain untuk memastikan kejayaannya mencapai cita-cita menuju mercu kuasa yang diidam-idamkan selama ini? (ShahbudinHusin 17/12/2018)

KONTROVERSI IZZAH LEPAS JAWATAN: LATIFAH KOYA DIGESA TINGGALKAN PKR

IZZAH LETAK JAWATAN KERANA PERTAHANKAN PRINSIP

PELOMPAT PARTI LEBIH HINA DARIPADA PELACUR JALANAN, SUDAH TIBA MASANYA UNDANG2 ANTI LOMPAT PARTI PERLU DIKUATKUASAKAN



Episod keluar parti secara berkumpulan melibatkan pemimpin UMNO kebelakangan ini dan dijangka akan terus berlaku lagi adalah perbuatan yang paling hina lagi menjijikkan.

Ini kerana mereka keluar parti bukan kerana berbeza perjuangan, disisihkan atau alasan kononnya untuk memastikan kepentingan rakyat terbela, tetapi semata-mata kerana UMNO sudah tidak lagi berkuasa untuk memewahkan mereka dengan jawatan, kedudukan serta ganjaran.

Kalau hari ini UMNO masih berkuasa, pastilah pelompat-pelompat tersebut parti akan mengatakan UMNO adalah parti yang benar, ikhlas untuk rakyat, malah perjuangannya mendatangkan pahala hingga ke syurga.

Tetapi, disebabkan UMNO sudah hilang kuasa, timbullah kata-kata UMNO sudah tiada hala tuju, perjuangannya sudah tersasar, tidak sesuai dengan jiwa dan macam-macam lagi.

Meskipun semua yang keluar itu memilih untuk menjadi wakil Bebas buat sementara waktu, tetapi hampir pasti mereka akan menyertai Bersatu akhirnya,  parti pimpinan Tun Mahathir Mohamad yang pernah mereka caci, hina dan maki sesarat-saratnya sebelum ini.

Tidak cukup dengan Bersatu yang dicaci, dihina dan dimaki, Tun Mahathir sendiri sarat dengan cacian, hinaan serta maki hamun oleh mereka yang sama.

Hanya kira-kira tujuh bulan masa berlalu, setelah UMNO tiada kuasa dan Bersatu serta Tun Mahathir kini menjadi paling berkuasa, tanpa rasa malu dan maruah diri entah letak di mana, mereka kini mencemuh UMNO konon tiada lagi halatuju, sudah tersasar dan tidak lagi sesuai dengan jiwa serta perlu meninggalkan parti itu demi untuk menjamin kelangsungan menjaga rakyat dan pengundi.

Pooorahhhh....

Tidak lain alasan mereka keluar UMNO itu hanyalah kerana kepentingan diri sendiri semata-mata. Noktah.

Mereka sebenarnya adalah golongan yang kemaruk jawatan dan kedudukan kerana tidak sanggup menjadi pembangkang, selain sedar dengan cepat-cepat beralih parti, kalau pun tidak berpeluang menjadi menteri atau timbalan menteri, sekurang-kurangnya jawatan sebagai pengerusi agensi kerajaan ternampak ada peluang untuk diisi.

Kebetulan pula, Tun Mahathir semacam sengaja membiarkan banyak jawatan pengerusi agensi kerajaan terbiar kosong begitu saja tanpa mahu memenuhkannya dengan mereka yang berkelayakan daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah serta yang berjuang menumbangkan UMNO/BN sejak daripada awal lagi.

Jika benar mereka ada harga diri dan nilai moral sebagai pegangan jati diri, waima menjadi kerajaan atau pembangkang sekali pun, mereka wajib kekal bersama parti yang memberikan tiket bertanding dalam pilihanraya kepada mereka.

Rakyat tentu boleh faham jika parti yang disokong sudah bertukar daripada kerajaan kepada pembangkang. Mereka tidak mungkin meminta atau menuntut yang lebih-lebih kalau sudah berlaku pertukaran status.

Tambahan lagi, tugas wakil rakyat bukan semata-mata memberi sesuatu dalam bentuk kebendaan, tetapi kehadiran dalam susah dan senang bersama pengundi itulah yang lebih penting.

Andai kebendaan semata-mata yang diperlukan pengundi, sudah tentu  Pas atau DAP dan PKR ketika menjadi pembangkang dahulu, tidak mampu memenangi sebarang kerusi dalam pilihanraya.

Yang jelas tidak tahan dengan berubahnya status UMNO daripada kerajaan kepada pembangkang ialah wakil rakyat itu sendiri. Disebabkan terbiasa ada pejabat dan kereta percuma, elaun puluhan ribu sebulan dan cuti ke luar negara yang ditanggung kerajaan, mereka kini sengaja mencari alasan untuk kembali kepada penghidupan cara lama.

Apa lagi, maka melompat partilah caranya!!

Melompat atau meninggalkan parti bukan kerana dipecat atau disingkirkan dan bukan juga kerana berlaku perselisihan, tetapi hanya disebabkan parti lama sudah kehilangan kuasa, adalah perbuatan paling hina dari segi menjual maruah diri, malah lebih jijik berbanding pelacur kaki lima yang menjual diri mungkin hanya untuk sesuap nasi.

Sekurang-kurangnya pelacur hanya menjual diri untuk mengisi perut yang lapar, tetapi pelompat ini melacurkan perjuangan untuk memenuhi hawa nafsu mereka yang tidak bertepi.

Kalau ada maruah serta harga diri, mereka ini seharusnya meletakkan jawatan dan membiarkan pengundi memilih Ahli Parlimen atau wakil rakyat yang baru untuk menggantikan mereka.

Lagi pun, bukankah antara alasan keluar parti ialah kerana susahnya menjaga rakyat berikutan sudah bertukar daripada kerajaan kepada pembangkang?

Dengan meletakkan jawatan dan membiarkan pengundi memilih wakil rakyat baru, maka mereka dengan sendirinya akan terlepas daripada bebanan menjaga rakyat untuk tempoh yang seterusnya.

Namun, mengapa tiada yang mahu meletakkan jawatan?

Tidakkah ini bermakna yang dikejar sah hanya kepentingan untuk diri sendiri semata-mata?

Dalam hal ini, meskipun kita tahu Tun Mahathir tidak bersetuju dengannya, Pakatan Harapan mesti mengusulkan undang-undang anti lompat parti dikuatkuasakan dengan segera.

Alasan Tun Mahathir menolak undang-undang itu dengan hujah sistem demokrasi membenarkan sesiapa melompat parti, adalah hujah yang longgar serta boleh dipertikaikan.

Beliau harus mengutamakan keinginan untuk mewujudkan sistem politik yang sihat, berintergriti dan memberi lebih kebaikan kepada masa depan negara, berbanding memikirkan muslihat yang boleh menguntungkan kepentingan politiknya.

DAP dan PKR, dua parti yang paling banyak kerusi dalam Pakatan Harapan serta diketahui berjuang untuk politik nilai, kewibawaan dan intergriti, harus tidak jemu berusaha meyakinkan Tun Mahathir  berkenaan undang-undang anti lompat parti itu.

Tiada lompat parti adalah lebih baik untuk rakyat dan negara, malah pengundi lebih terjamin dan tidak akan dikhianati sesuka hati.

Cuma, bersekali dengan memperkenalkan undang-undang anti lompat itu, mereka yang berbuat demikian selain akan gugur statusnya sebagai wakil rakyat secara automatik, mereka mesti dibenarkan bertanding semula dalam pilihanraya kecil sama ada mewakili parti yang baru disertai atau sebagai calon Bebas.

Peraturan sekarang yang membenarkan sesiapa melompat parti, tetapi tidak boleh bertanding semula selama lima tahun jika meletakkan jawatan nampaknya tidak lagi relevan.

Bermakna, undang-undang anti lompat ini masih membenarkan untuk seseorang itu melompat menyertai parti lain, cuma dengan syarat kerusi mesti dikosongkan dan jika benar-benar handal sebagai wakil rakyat,  bertandinglah semula dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan berikutan kekosongan itu.

Oleh kerana sebelum ini alasan tidak boleh bertanding itulah yang sering dijadikan sandaran untuk mereka mengelak daripada meletakkan jawatan, maka pembatalan undang-undang berkenaan berserta syarat boleh bertanding semula akan menguji wibawa serta intergriti sebenar semua wakil rakyat yang kita panggil "Yang Berhormat" tetapi sebahagiannya berkelakuan lebih jijik daripada pelacur di jalanan. (ShahbudinHusin 15/12/2018)

‘Bagaimana kalau Najib Razak isi borang PPBM?’


Adakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan menyambut mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya beliau mengisi borang permohonan?

Persoalan itu diutarakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam responnya terhadap persoalan ditimbulkan Senator Razali Idris, pengerusi PPBM Terengganu

Razali dilaporkan media sebagai mendakwa DAP resah sekiranya lebih ramai bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai parti beliau, justeru menguatkan suara Melayu-Islam di Parlimen.

“Melompat parti setelah kehilangan kuasa adalah perbuatan politik yang tidak bermoral,” ujar Lip Eng dalam kenyataan hari ini.

Menegaskan bahawa keadaan politik semasa bukanlah pertembungan Melayu-Islam dengan kaum lain, Lip Eng memberi ingatan bagaimana UMNO telah membawa kehancuran dalam skandal-skandal 1MDB, Tabung Haji, Felda dan Felcra.

“Kita semua di pihak Pakatan Harapan, membina negara dan memperbaikinya untuk diwariskan kepada anak cucu.

“Saudara harus kenal betul siapakah sebenarnya rakan seperjuangan. DAP berdiri teguh bersama-sama PPBM ketika susah, dan akan terus bersama-sama mentadbir negara,” tegas beliau lagi.

Sekiranya UMNO menang PRU14 lalu, mereka yang kini membuat keputusan melompat pastinya akan membiarkan sahaja penindasan yang dilakukan terhadap PPBM dan pemimpinnya yang melawan kekuasaan mantan perdana menteri.

“Menerima ‘katak-katak’ ini adalah pengkhianatan kepada rakyat. Menerima orang yang lompat parti tidak harus dijadikan kebiasaan; apatah lagi diraikan,” tegas beliau.

UMNO MULA BERPECAH DUA?

APAKAH EPISOD 1998 AKAN BERULANG KEMBALI?



Di sebalik satu demi satu Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti di mana sehingga ini jumlahnya sudah mencecah 16 orang, dalam waktu yang sama disahkan seramai 36 Ahli Parlimen BN juga telah menandatangani akujanji menyokong kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin yang turut mengumumkan keluar daripada UMNO bersama lima yang lain semalam.

Kata Hamzah yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sokongan kepada Tun Mahathir itu bertujuan untuk memastikan kestabilan kerajaan dan bagi mengelakkan Parlimen digunakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Tidak sukar untuk memahami bahawa pihak yang dimaksudkan Hamzah yang dikatakan mungkin menggunakan Parlimen untuk menjatuhkan Tun Mahathir itu tidak lain tidak bukan ialah Anwar Ibrahim.

Anwar ketika ini berada dalam dua senario - pertama, sebagai pengganti yang sudah dipersetujui oleh Pakatan Harapan untuk mengambil alih kedudukan Tun Mahathir dalam tempoh kira-kira setahun setengah daripada sekarang dan kedua, beliau mungkin bekerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO yang pro kepada Zahid Hamidi untuk melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Jika penantian suatu penyeksaan dan ternampak tanda-tanda Tun Mahathir enggan menyerahkan jawatan, pilihan bagi Anwar ialah mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen bagi menyingkirkan Tun Mahathir.

Meskipun jika Ahli Parlimen PKR berpecah kerana kumpulan pro Azmin ketika ini dilihat sudah "jatuh cinta" kepada Tun Mahathir, tetapi dengan sokongan DAP dan Amanah, ditambah dengan kehadiran sokongan Ahli Parlimen UMNO serta daripada Sarawak, kebarangkalian untuk Anwar berjaya melakukan rampasan kuasa tidak boleh ditolak.

Tun Mahathir ternampak menyedari hakikat ini dan sebab itu usaha menarik Ahli Parlimen UMNO melompat parti giat diusahakan, selain melalui akujanji sokongan terhadapnya yang melibatkan 36 Ahli Parlimen BN itu.

Bermakna, dalam diam-diam sekarang, wujud perlumbaan kuasa antara Tun Mahathir dan Anwar.

Dalam hal ini, yang menarik sekali ialah Hamzah sekali lagi muncul sebagai watak yang dipergunakan untuk menghalang kemaraan Anwar.

Pada tahun 1998 dahulu, sebelum Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Hamzah merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam episod tersebut.

Melalui rakaman perbualan Anwar mengorat isterinya yang disebar-luaskan waktu itu, ia telah dijadikan sandaran untuk menunjukkan buruknya perangai beliau sebagai bakal pemimpin negara yang kemudian ditambah lagi dengan hebaran cerita serta pendakwaan berkaitan kes liwat terhadapnya.

Sejak tersingkirnya Anwar pada 1998 itu, Hamzah terus melonjak dalam politik sehingga berjaya menjadi menteri, walaupun beliau bukanlah pemimpin yang menonjol sangat ketokohannya.

Apakah kali ini Hamzah sekali lagi akan muncul sebagai watak untuk menghalang Anwar?

Tetapi, jika benar trendnya ke arah itu, mengapa Tun Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, walhal ia sudah dipersetujui dalam Pakatan Harapan?

Apakah kesalahan atau salah laku yang ada pada Anwar ketika ini?

Sampai bila pula Tun Mahathir mahu memegang jawatan Perdana Menteri, sedangkan usianya sudah melebihi 93 tahun dan beliau juga menyatakan hanya mahu memegang jawatan itu selama dua tahun saja?

Siapakah pilihan sebenar yang ada dalam hati Tun Mahathir yang mahu diserahkannya jawatan Perdana Menteri selepasnya? (ShahbudinHusin 15/12/2018)

KHAIRY GESA UMNO ADAKAH PEMILIHAN PRESIDEN BAHARU

TUN MAHATHIR PERLU HENTI KEGHAIRAHAN AHLI PARLIMEN UMNO MASUK BERSATU




Meskipun tindakan keluar UMNO oleh beberapa bekas pemimpinnya adalah pilihan mereka sendiri yang mungkin didorong oleh pelbagai sebab dan faktor, tetapi kemasukan mereka ke dalam Bersatu tidak sewajarnya dialu-alukan, apalagi dibentangkan dengan "karpet merah".

Di sebalik Bersatu mahu menjadi pengganti UMNO, yang dialu-alukan berpindah parti seharusnya ialah ahli di peringkat bawahan atau cawangan dan bukannya pemimpin atasan yang pernah mencaci dan memandang rendah parti itu dan Tun Mahathir Mohamad sendiri sebelum ini.

Yang jelasnya, pemimpin UMNO yang keluar parti dan memilih menyertai Bersatu itu bukanlah kerana mereka yakin dengan perjuangannya atau sebab bersetuju dengan Tun Mahathir, tetapi semata-mata kerana kepentingan peribadi yang disebabkan UMNO sudah tidak lagi berkuasa.

Kalau mereka yakin dengan Bersatu dan mempercayai perjuangan Tun Mahathir, sudah pasti sebelum pilihanraya umum dulu lagi mereka sudah meninggalkan UMNO.

Jika hari ini UMNO masih lagi berkuasa, sudah tentu juga caci maki mereka kekal berterusan terhadap Tun Mahathir dan yang dipuja dan dan disanjung tetaplah Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Alasan kononnya kemasukan ke dalam Bersatu untuk kepentingan rakyat tidak lebih sekadar pemanis mulut untuk menutup segala kepentingan diri mereka.

Selepas masuk ke dalam Bersatu dan berpelung berdamping rapat dengan Perdana Menteri, dengan kedudukan sebagai Ahli Parlimen, Adun atau bekas Ketua UMNO Bahagian, biasanya kecenderungan mereka seterusnya ialah melobi dan mencium tangan Tun Mahathir untuk tujuan memperolehi jawatan dan kedudukan dalam kerajaan.

Akhirnya, bukan saja pejuang-pejuang asal dalam Bersatu akan tenggelam dan ketinggalan, bahkan Bersatu akan dipenuhi dengan oleh "sampah sarap" daripada UMNO belaka.

Apakah keadaan itu yang Tun Mahathir mahukan berlaku kepada Bersatu?

Lagi pula, Pakatan Harapan sudah mempunyai majoriti yang agak selesa dalam Parlimen sekarang ini. Tanpa kemasukan Ahli Parlimen UMNO pun, kerajaan yang ada masih mampu berjalan dengan baik.

Selain bertentangan dengan kehendak rakyat yang telah menolak UMNO dalam pilihanraya umum lalu, penerimaan kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, dimulai dengan Mustapa Mohamad, kemudian Ahli Parlimen Bagan Serai dan semalam Ahli Parlimen Masjid Tanah menyerahkan borang keahlian, selepas ini mungkin disusuli pula oleh segerombolan bekas pemimpin dari Sabah dan Ahli Parlimen Semenanjung yang bermasalah, trend ini yang semacam dialu-alukan oleh Tun Mahathir sendiri hanya menyebabkan timbulnya cakap-cakap bahawa beliau ada maksud lain di sebaliknya.

Memandangkan kerajaan Pakatan Harapan sudah stabil dan telah ada persetujuan untuk beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, sebenarnya tiada keperluan sama sekali untuk membawa Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Untuk apa Tun Mahathir mahu menambahkan lagi jumlah Ahli Parlimen dalam Bersatu, sedangkan dalam setahun setengah lagi beliau mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar?

Dalam waktu yang sama, tindakan Tun Mahathir menerima dan menggalakkan kemasukan wakil-wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu juga bertentangan dengan kenyataannya sendiri yang pernah mengatakan bahawa kerajaan memerlukan pembangkang yang kuat bagi memastikannya dapat mentadbir kerajaan dengan betul.

Tun Mahathir menganggap pembangkang yang kuat ibarat cermin yang boleh menjadikan kita sentiasa dalam keadaan baik dan kemas setiap hari.

"Tak usah lama, cuba kita tak payah tengok cermin dalam tiga hari dan kemudian pergi bekerja seperti biasa, ketika itu tengoklah keadaan diri kita," demikian antara kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Tun Mahathir.

Oleh yang demikian, Tun Mahathir perlu menghentikan kemasukan Ahli Parlimen, Adun dan bekas pemimpin UMNO ke dalam Bersatu ini serta biarkan mereka berperanan sebagai pembangkang yang menyumbang ke arah kebaikan kepada kerajaan dan juga negara.

Bagi tujuan itu, Tun Mahathir bukan saja wajib mengeluarkan kenyataan yang tegas tidak akan menerima kemasukan mereka ke dalam Bersatu, bahkan sebaiknya juga tidak melayan sebarang permintaan mereka yang mahu berbuat demikian.

Kerajaan Pakatan Harapan, dengan sokongan rakyat yang telah membuat keputusan menolak UMNO dan BN mesti dikekalkan sehingga PRU14 akan datang. Ini adalah pilihan rakyat yang memberi undi kepada Pakatan Harapan.

Membawa lebih ramai bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu hanya memungkinkan Bersatu menjadi UMNO 2.0 dan bukan menjadikan Bersatu sebagai pengganti UMNO.

Dalam keadaan itu nanti, masihkah rakyat mahu terus memberi sokongan kepada Bersatu? (ShahbudinHusin 14/12/2018)