Rekod pendapatan pelaburan RM4.64 bilion yang dicatatkan Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2025 disifatkan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sebagai perkembangan positif, namun institusi itu diingatkan supaya tidak berasa selesa sehingga mengetepikan aspek tatakelola dan amanah pendeposit.
WADAH dalam kenyataan berkata jumlah tersebut merupakan pendapatan pelaburan tertinggi yang pernah dicatatkan TH dan mencerminkan hasil daripada strategi pelaburan yang lebih berdisiplin, pengurusan risiko berterusan serta usaha memperkukuh tatakelola institusi.
Menurut badan itu, pencapaian berkenaan turut memberi gambaran bahawa usaha reformasi dan penambahbaikan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu mula menunjukkan hasil.
WADAH turut mengambil maklum penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat bahawa portfolio pelaburan TH diurus secara berhemat, patuh syariah dan berpandukan kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA).
Kerangka berkenaan, katanya, membolehkan portfolio TH dipelbagaikan mengikut kelas aset, sektor dan pasaran, selain memberi perhatian kepada pengurusan risiko bagi melindungi modal pendeposit.
Aspek lain yang diberi keutamaan termasuk pengurusan aset dan liabiliti, kecairan serta pemilihan aset yang mempunyai asas kukuh dan aliran tunai mampan.
Dari sudut kedudukan kewangan, WADAH berkata TH merekodkan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion bagi tahun kewangan 2025.
Agihan keuntungan
Pada masa sama, kadar agihan keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, membabitkan agihan RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit.
Namun, WADAH mengingatkan prestasi kewangan yang baik tidak seharusnya menyebabkan momentum reformasi diperlahankan.
Sebaliknya, badan itu berkata kekuatan tatakelola, disiplin pelaburan, pematuhan syariah dan pengurusan risiko perlu terus diperkukuh bagi memastikan keyakinan pendeposit dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
WADAH turut mengingatkan supaya pengalaman lalu serta dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji terus dijadikan pedoman untuk menutup ruang kelemahan dan memastikan setiap keputusan berkaitan dana umat dibuat dengan integriti, kompetensi serta akauntabiliti.
Dalam masa sama, WADAH menghargai usaha TH mengekalkan mandat asal institusi itu, termasuk membantu umat Islam membuat persediaan untuk menunaikan ibadah haji.
Menurutnya, keupayaan mengekalkan Kos Haji pada kadar RM33,300 bagi empat musim berturut-turut dari 2024 hingga 2027 turut memperlihatkan kepentingan pengurusan kewangan yang mampan dalam menyokong kepentingan jemaah.
WADAH menegaskan kejayaan TH tidak wajar diukur berdasarkan prestasi kewangan semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan tatakelola, keselamatan simpanan, pematuhan syariah, mutu perkhidmatan dan keyakinan berterusan pendeposit.
WADAH turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan seluruh warga TH atas pencapaian tersebut, selain berharap prestasi berkenaan dapat dipertahankan serta dipertingkatkan secara mampan.
“Prestasi yang kukuh mesti disokong oleh tatakelola yang kukuh, kerana amanah umat tidak boleh dikompromi,” kata Setiausaha Agung WADAH, Azizuddin Ahmad.

No comments:
Post a Comment