Keberkesanan perlindungan terhadap golongan rentan di Kelantan mencetuskan persoalan apabila lebih 1,000 kes membabitkan ibu tunggal, balu dan wanita warga emas di Kelantan dipercayai diperalat warga asing untuk mendaftarkan kenderaan atas nama mereka sejak 2025.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah kes di Kelantan itu tinggi berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya, antara taktik digunakan ialah mendekati ibu tunggal, balu dan wanita berusia dengan janji perkahwinan atau peluang perniagaan sebelum mensyaratkan kereta atau motosikal didaftarkan menggunakan nama mereka.
Situasi mengundang tanda tanya memandangkan Kerajaan Kelantan sendiri mempunyai portfolio khusus Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, selain dasar berkaitan wanita, warga emas dan keluarga yang disenaraikan dalam dasar rasmi negeri.
JPJ mendedahkan bantuan kewangan sahaja tidak menutup satu lagi bentuk kerentanan iaitu manipulasi identiti dan hubungan peribadi yang memerlukan pendidikan, pencegahan serta pengesanan lebih bersasar terhadap wanita berisiko.

Muhammad Kifli berkata, wanita berusia sekitar 60 hingga 70 tahun perlu lebih berhati-hati apabila didekati warga asing dalam lingkungan usia 30-an yang menawarkan janji perkahwinan.
“Jangan biarkan diri dimanipulasi dengan janji manis. Jika kenderaan kemudiannya digunakan untuk kegiatan jenayah, nama anda boleh terpalit dan perkara ini boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri,” katanya.
Beliau menambah kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama wanita tempatan boleh menyebabkan pemilik berdaftar berdepan masalah undang-undang sekiranya kenderaan terbabit terlibat kemalangan atau digunakan dalam kegiatan jenayah.
Dalam masa sama, JPJ turut mengesan warga asing termasuk pelarian Rohingya menggunakan nama rakyat tempatan untuk membeli dan mendaftarkan motosikal serta kenderaan lain.
Beliau menegaskan JPJ bersedia memohon tindakan mahkamah lebih tegas terhadap warga asing yang berulang kali melakukan kesalahan sedemikian, termasuk hukuman penjara.

No comments:
Post a Comment