IGP Razarudin Saman Papagomo RM3 Juta

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kanan) memfailkan saman terhadap blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memfailkan saman terhadap blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Saman berkenaan difailkan berhubung kenyataan Papagomo yang melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam, Raam Kumar berkata, notis tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi, di sini kelmarin dan sudah diserah kepada Papagomo yang dinamakan sebagai defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.

“Plaintif turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan, sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu,” katanya.

Sementara itu, Razarudin ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Papagomo dalam satu klip video.

Susulan itu, Razarudin mengesahkan PDRM sudah merakam keterangan Papagomo berhubung kes itu di Balai Polis Setapak, di sini 19 Disember lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.