Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah memfailkan saman fitnah terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo.
Ia ekoran kenyataan Papagomo yang dimuatnaik menerusi saluran Youtube dan TikTok dan tersebar di platform media sosial lain, lapor NST.
Papagomo telah melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saman tersebut telah difailkan pada 26 Disember di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Salinan saman telah pun diberikan kepada Papagomo semalam.
“Plaintif menuntut ganti rugi untuk fitnah lisan, gantirugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan gantirugi khas.
“Plaintif turut memohon arahan injunksi untuk mencegah defendan membuat kenyataan fitnah, secara peribadi atau menerusi pihak lain dan menerbitkannya,” kata peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin.
Terdahulu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Papagomo dalam satu klip video.
Razarudin dilapor mengesahkan pihak PDRM sudah merakam keterangan Papagomo berhubung kes itu di Balai Polis Setapak, di sini pada 19 Disember lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.