DARIPADA SHAHRIZAT, SERIBU KALI LEBIH BAIK AZALINA


 Entah kenapa, tiba-tiba saja nama Shahruzat Jalil ditonjolkan semula untuk memimpin Wanita UMNO bagi menggantikan ketua sedia ada, Noraini Ahmad.

Sementara ramai yang bersedia melihatnya bertanding semula sebagai laluan memimpin pergerakan itu, tidak kurang pula yang mendesak agar Noraini mengundurkan diri.

Maksudnya, mereka mahu Shahrizat menang percuma saja.

Ehh..ehh…banyak cantik?

Kenapa Shahrizat cuba ditonjolkan semula, apakah ini menunjukkan Wanita UMNO tiada pemimpin lain yang berkelayakan?

Tidak sedarkan Wanita UMNO bahawa Shahrizat yang berundur sebaik UMNO hilang kuasa pada 2018 lalu bukanlah pemimpin yang bagus sangat, malah terbeban dengan isu lembu NFC yang menjadi salah satu sebab UMNO jadi kebencian ramai ketika itu?

Kenapalah pemimpin sebegitu mahu diangkat semula?

Lagi pula, membawa kembali Shahrizat yang sudah berundur untuk memimpin semula Wanita UMNO adalah langkah ke belakang yang tidak langsung menunjukkan suatu pembaharuan.

Tidak bolehkah ditonjolkan daripada kalangan barisan kepimpinan Wanita UMNO sendiri jika benar Noraini tidak begitu berdaya dan mahu ditukar?

Mengapa mesti dikorek daripada tong kitar semula?

Setakat ini pemimpin kitar semula yang tidak dipertikai dan diterima ramai hanyalah Tun Mahathir Mohamad ketika beliau dinamakan semula sebagai calon Perdana Menteri bagi tujuan menyingkirkan Najib Razak pada 2018 dahulu.

Adakah Wanita UMNO berasakan Shahrizat setanding dengan kehebatan dan keupayaan Tun Mahathir?

Dalam hal ini, jika pun dalam barisan kepimpinan Wanita UMNO tiada yang dirasakan cukup menonjol untuk diangkat bagi berlawan dengan Noraini bagi memimpin pergerakan itu, kenapa tidak ditonjolkan saja Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang ini?

Beliau bukan saja hebat sebagai menteri dalam kemampuan berhujah dengan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan di Parlimen pada Disember lalu, malah pernah cemerlang ketika mengetuai Pergerakan Puteri UMNO sebelum ini.

Daripada Shahrizat, seribu kali Azalina lebih baik lagi.

Noraini bukan lagi menteri dan Shahrizat pula menteri pencen, setidak-tidaknya dengan Azalina yang masih berjawatan menteri, Wanita UMNO lebih mudah untuk diperkasakan jika berada di bawah kepimpinannya. – ShahbudinHusin 13/02/2023.



No comments: