Perlumbaan untuk mendapatkan otak yang geliga


Perlumbaan untuk mendapatkan otak yang geliga

Di dalam banyak tajuk-tujuk berita perniagaan hari ini, tajuk ini menarik perhatian saya. Ini adalah kerana perbezaan yang boleh berlaku di dalam mana-mana organisasi berdasarkan kaedah mereka memilih bakat.

Jika kita berbual-bual dengan tokey-tokey perniagaan, saya percaya isu utama yang mereka hadapi ialah mencari ahli pasukan yang bergeliga. Ini adalah kerana ramai anak-anak kita yang bergeliga sudah memilih padang yang lain sebagai tempat mereka bermain.

Ada banyak sebab aliran keluar otak-otak yang bergeliga ke negara-negara luar. Di antaranya ialah:

1. Potensi pendapatan yang lebih tinggi. Sebagai contoh, dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang sama, seseorang yang ada bakat boleh menggandakan pendapatannya dengan menyeberangi Tambak Johor. Malah, gaji nominal di sana mungkin lebih tinggi berbanding dengan apa yang mereka dapati di sini. Semasa saya menjadi Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit dahulu, di antara tekanan yang dihadapi oleh firma-firma perakaunan di Malaysia ialah peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara, walau pun di dalam kumpulan firma yang sama. Lagi jatuh nilai duit kita, bukan sahaja harga barangan naik tetapi bakat kita juga boleh naik kapalterbang ke luar negara dan tak pulang-pulang.

2. Sentiasa dihalau ke supaya keluar. Oleh kerana ramai orang di dalam masyarakat berpandangan bahawa kualiti seseorang itu adalah berdasarkan warna kulit yang menyelaputi otak, bukannya kegeligaan otak itu sendiri, mereka akan menghalau otak-otak itu supaya keluar negara apabila ada perbezaan pandangan atau pun isu-isu ketidakadilan di bincangkan. Entah dari mana datangnya ajaran bahawa manusia itu benar-benar memiliki sesuatu sehingga boleh menghalau orang lain keluar walaupun mereka diajar di dalam agama bahawa segala sesuatu termasuk tanah air adalah milik Allah. Apabila sentiasa dihalau, adalah yang akhirnya menyahut seruan berkenaan.

3. Ada juga bakat yang bergeliga keluar kerana mengenangkan nasib anak cucu mereka. Dengan apa yang sedang berlaku di sini, mereka tak nampak jalan bahawa keadaan akan bertambah baik. Pencuri diarak sebagai hero, kangkung dilantik sebagai penasihat, orang yang tak pernah berniaga menetapkan polisi ke atas orang yang berniaga dan macam-macam hal lagi. Oleh kerana otak dan bakat yang mereka ada dinilai tinggi di banyak lagi muka bumi Allah ini, mereka mencari peluang untuk membina kehidupan di tempat yang mana anak cucu mereka berpeluang untuk hidup di dalam kehidupan yang dianggap lebih baik.

Semalam ada seorang menteri yang melawat negara ini. Dia asalnya dilahirkan di kepulauan Borneo. Saya senyum sahaja melibat beliau disambut baik di sini. Sama seperti Nadiem Makarim di negara sebelah, mereka mungkin tidak akan diberi peluang di dalam masyarakat yang sibuk bertanya siapa pasangan hidup mereka. Fahamlah siapa yang faham Description: 🤗

Negara-negara yang mengimpot bakat tidak perlu melabur di dalam pendidikan bakat-bakat yang berkenaan. Pilih sahaja yang paling hebat. Jika kena bayar pun, tak apa. Sudah tentu mereka memilih yang terbaik. Sebaliknya, bakat-bakat berkenaan tidak dinilai sedemikian di dalam masyarakat yang tidak mementingkan merit atau pun memilih bakat berdasarkan perkara yang tidak berkenaan seperti warna kulit dan juga agama. Jadi, faktor penarik dan pendorong ini bergabung untuk menjadikan padang di luar nampak lebih cantik.

Pilihan kita di dalam meletakkan apa yang penting akan menentukan samada kita akan menjadi masyarakat yang menarik bakat atau sebaliknya. Bergantung kepada semangat dan emosi sahaja belum tentu menjadi formula yang berjaya. Tapi, bagi seseorang yang tak ada apa yang nak ditawarkan, semangat dan emosilah dijaja sebagai resepi kejayaan. Bagi otak yang bergeliga dan memahami, ada yang cepat-cepat keluar sebelum lebih ramai lagi orang yang entah apa-apa dinaikkan untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal masyarakat.