PELUANG KEDUA BAGI PAKATAN HARAPAN



Selepas kemenangan besar dalam Pilihanraya Negeri Melaka pada Oktober 2021 dan Pilihanraya Negeri Johor, Mac 2022 keyakinan begitu tinggi di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Umno untuk meraih kemenangan mutlak dalam Pilihanraya Umum ke-15.


Tetapi di hujung bulan Jun 2022, Umno mula mengalami retak yang menanti pecah. Ia bermula dengan pemecatan Tajuddin Abdul Rahman dari jawatan Majlis Tertinggi Umno. Pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu menghancurkan reputasi Zahid Hamidi, Presiden Umno sama sekali. Terlalu banyak rahsia di dalam kelambu Umno diburaikan oleh bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu.


Mengikut hukum fizik Newton, universe ataupun alam jagat mempunyai satu pusat graviti sahaja. Jika ada dua pusat graviti semua planet di universe ini akan berantukan, berlanggar sesama sendiri. Kemusnahan akan terjadi selepas itu. Tetapi kini Umno mempunyai dua pusat graviti. Satu di PWTC dan satu lagi di Putrajaya.


Umno sudah pecah sekarang. Umno bukan lagi satu kekuatan politik yang padu dan ampuh. Presiden Umno, Zahid Hamidi sudah hilang apa jua integriti yang ada sebagai seorang pemimpin politik akibat daripada pendedahan demi pendedahan dari rakan politik Perak yang berkubu di Pasir Salak bersejarah.


Najib Razak pula bekas Perdana Menteri dan “de facto” pemimpin Umno yang ingin membuat “coming back” menjadi bos di Putrajaya sekali lagi sudah menjadi liabiliti kepada Umno. Najib mungkin berjaya melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan pelbagai permohonan interlokutori tetapi Najib sudah gagal untuk mendapatkan kercayaan rakyat lagi. Tiada rakyat di sesebuah negara yang berdaulat dan bermaruah mahukan pemimpin yang boleh disifatkan “seperti tikus untuk memperbaiki labu”.


Jadi kini Umno hanya tinggal Ismail Sabri Yaakob saja lagi. Hanya Ismail Sabri yang boleh diharap untuk menjadi “poster boy” bagi Umno dan Barisan Nasional dalam PRU-15 akan datang. Tetapi Tajuddin Abdul Rahman juga yang telah mendedahkan bahawa Ismail Sabri tak termakan dengan “gula-gula” poster boy yang ditawar oleh Ahli Parlimen Bagan Datok kepada Ahli Parlimen Bera. Lebih-lebih lagi ada precedent atau duluan di mana pernah berlaku “lain di order, lain pula yang diterima” dalam babak lucu pemilihan Menteri Besar Johor Mac 2022 yang lalu.


Setakat hari ini, esok lusa belum tahu, tetapi demi bersangka baik bahawa masih  ada orang baik-baik dalam Umno, maka kelihatannya, imej Ismail Sabri Yaakob masih kelihatan bersih jika dibandingkan dengan “watak-watak dalam kluster mahkamah”. Mungkin sebab itu Pakatan Harapan sudi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri YB dari Bera itu. Satu lagi yang orang ramai nampaknya merestui bahawa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak mahu “kacau” dan tidak mahu “campur tangan” dalam urusan mahkamah terhadap tokoh-tokoh berprofail tinggi dalam “kluster mahkamah” dari Umno itu.


Hal itu terjadi bukan secara kebetulan walaupun Ismail Sabri Yaakob profesyen awalnya sebelum terjun ke dunia politik adalah seorang peguambela dan peguamcara yang bertauliah. Benar beliau mempunyai tradisi menghormati kebebasan badan kehakiman tetapi realiti kini ialah wujud syarat nyata bertulis di dalam MoU bahawa Kerajaan pimpinan Ismail  Sabri mesti menjamin kebebasan kehakiman. Demikian antara syarat yang dikenakan oleh Pakatan Harapan terhadap kerajaan sekarang. Patut kita tabik dan salute kepada PH dalam pendiriannya yang berprinsip ini.


Ramai yang masih sayang dengan Perdana Menteri “Keluarga Malaysia” yang suka pakai baju fesyen-fesyen modern sewaktu harga siling ayam naik dari RM8.90 sekilo menjadi RM9.40 dan subsidi minyak botol dihapuskan mulai esok 1 Julai 2022. Mungkin Perdana Menteri anak rakyat biasa dari Lubuk Kawah Temerloh yang kaya dengan tradisi revolusioner kembali kepada jiwa marhaennya dengan menjenguk ke tingkap di Tingkat 5 Putrajaya, melihat ke bawah kalau-kalau esok rakyat sudah turun protes di jalan-jalan raya.

Ismail Sabri Yaakob bukannya seorang Perdana Menteri yang kuat, stabil dan popular.Beliau adalah Perdana Menteri “itik patah kaki”. Tempoh hayat politiknya sudah tertulis di dinding Putrajaya dan di PWTC. Dia nombor tiga dalam hiraki Umno. Nombor satu ada kes mahkamah. Orang nombor  dua hanya seorang Adun bukannya ahli parlimen. Sedangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan nyata bertulis hitam putih, bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat.


Kerajaan Ismail Sabri ini adalah kerajaan “Rojak Asma”. Di dalamnya ada tahu, ada timun, ada tempeh dan ada mee kuning, sekadar menyebut beberapa ramuannya. Umno bukan dominan di dalam Kerajaan di Putrajaya sekarang. Musuh ketat Umno iaitu Bersatu ada ramai menteri di dalam Kabinet Ismail Sabri. Jika menteri-menteri Umno tarik sokongan dan meletak jawatan, berdentum kerajaan YB Bera ini tumbang.Begitu juga jika Parti Persatu tarikh sokongan, Ismail Sabri juga akan mencatatkan dalam “Guiness’s World of Record” menjadi Perdana Menteri terpendek usia pentadbiran kerajaan “Keluarga Malaysia”nya. Lebih singkat berbanding YB Pagoh menjadi Perdana Menteri.


Sekarang ruang terbuka kepada parti-parti politik pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk mengatur langkah, antaranya seperti berikut:-

Pertama, PH jadi penonton sahaja, bersorak-sorai ketawa terbahak-bahak melihat “circus dalam Umno”;


Kedua, mengambil inisiatif mengembleng kekuatan positif yang masih ada di kalangan parti-parti pembangkang dengan menyaring dan menyisih elemen-elemen negatif di kalangan mereka, demi membina kerjasama pilihanraya (electoral understanding); dan


Ketiga, PH kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka. Kemukakan buah  fikiran, idea, cadangan dan agenda perubahan yang tulen, bukan retorik.

Percayalah kepada rakyat. Mereka mahukan perubahan dan harapan yang menjamin nasib masa depan mereka, anak-cucu mereka. Mungkin sekarang ini terbuka peluang kedua bagi Pakatan Harapan untuk mendapatkan semula mandat untuk menyelamatkan rakyat dan Malaysia tercinta.


Hassan Abdul Karim 

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Khamis 30 Jun 2022


No comments: