Melihat kemelut dalam UMNO yang terus berpanjangan dan tidak berkesudahan sehingga sekarang, mahu tidak mahu harus diakui bahawa hanya ada satu jawapan sebagai jalan penyelesaiannya.
Ia tidak lain ialah dengan membenarkan pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum Parlimen mahu dibubarkan dan PRU15 ingin dilangsungkan.
Setidak-tidaknya, dengan pemilihan parti diadakan terlebih dahulu, pemimpin yang menerajui parti nanti sudah beroleh mandat daripada ahli-ahli UMNO terlebih dahulu sebelum mengharapkan mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan.
Mandat pemilihan 2018 sudah dikira tidak laku lagi untuk mendepani PRU15 kerana ketika itu UMNO adalah pembangkang, selain kluster mahkamah juga belum timbul lagi ketika itu.
Tetapi, dengan banyak perubahan telah berlaku sejak 2018, baik dalam UMNO atau kerajaan, UMNO perlukan wajah baru bagi menghadapi PRU15 akan datang ini.
Membenarkan PRU15 diadakan terlebih dahulu dan selepas itu baru diadakan pemilihan parti sebagaimana keinginan pimpinan UMNO sedia ada, ia sama sekali bukan langkah yang munasabah kerana ia bererti membiarkan krisis dalam parti tidak diberi jalan penyelesaian.
Krisis itu telah berlaku sekarang, akan berlaku sebelum PRU iaitu ketika pemilihan calon, sewaktu kempen dan selepas keputusan PRU15 diketahui, tidak kira sama BN kalah atau beroleh kemenangan.
Mampukah UMNO dan BN beroleh kemenangan dan menarik hati pengundi dalam semua keadaan seperti itu, apatah lagi serang-menyerang sesama sendiri makin galak berlaku secara terbuka?
Namun, dengan pemilihan parti diadakan terlebih dahulu, kalau pun semua masalah di atas tidak mampu diatasi, sekurang-kurangnya ia dapat diminimakan.
Ini kerana melalui pemilihan parti yang diadakan terlebih dahulu dan Perdana Menteri diberi sokongan untuk mengetuai UMNO, isu dua nakhoda antara pemimpin yang mengetuai parti dan kerajaan tidak lagi berbangkit.
Sebagainana sering kita dengar kebelakangan ini, antara hujah puak pro kluster mahkamah dalam menyokong keperluan PRU15 diadakan segera ialah kerana kononnya untuk mewujudkan pembahagian tugas yang mampu membentuk kestabilan – Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO menjaga parti dan Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri pula mengurus kerajaan atau negara.
Soalnya, adakah keadaan yang sedia terbahagi dalam mengurus parti dan kerajaan seperti sekarang ini telah melahirkan kestabilan?
Hakikatnya, kewujudan dua nakhoda itu lebih mewujudkan ketidakstabilan dan huru-hara, bukan saja dalam parti, tetapi juga dalam kerajaan.
Konsep seorang menjaga parti dan seorang yang lain mengurus negara bukanlah amalan politik yang baik dalam erti kata untuk mewujudkan kestabilan yang sebenar.
Lagi pula, ia tidak pernah berlaku dalam sistem politik negara kita sejak merdeka lagi kerana kita sejak dulu menekankan konsep parti menguasai kerajaan.
Di negara lain, seperti Indonesia misalnya, memang berlaku keadaan seperti itu di mana ketua parti tidak semestinya merupakan Presiden negaranya, namun amalan itu sudah lama diterima dan mereka telah dapat memahaminya.
Berbeza dengan negara kita, kalau tiba-tiba mahu dipraktikkan amalan tersebut, itu pun semata-mata kerana Presiden UMNO ada kes mahkamah, tetapi masih bernafsu untuk mengetuai parti, sudah pasti banyak masalah akan timbul.
Apakah jika Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, beliau mahu melepaskan jawatan Presiden UMNO kepada pemimpin lain sebagai memenuhi pembahagian tugas itu?
Semua Perdana Menteri daripada UMNO sebelum ini adalah juga Presiden UMNO, malah ketika era PH pun, Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri adalah merupakan pengerusi gabungan tersebut.
Tetapi, apa jawatan politik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekarang?
Presiden UMNO bukan, Pengerusi BN juga bukan dan inilah antara punca ketidakstabilan, kekacauan dan huru-hara terus berlaku tanpa ada kesudahannya.
Ketika saya berbual-bual dengan beberapa pemimpin veteran UMNO baru-baru ini, semua mereka dengan penuh pengharapan berdoa agar pindaan perlembagaan parti yang dibuat baru-baru ini yang boleh ditafsirkan hanya untuk memenuhi nafsu kluster mahkamah, akan ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan atau RoS.
Itu saja harapan dan jalan penyelesaian yang tinggal, kata mereka. – ShahbudinHusin 30/06/2022.