Walaupun kebanyakan pemimpin UMNO-BN memperlekeh dan menganggap manifesto itu tidak realistik atau seperti ‘menanam tebu di bibir’, realitinya rakyat sudah lama tahu hati budi dan perangai jahat UMNO-BN.
Kelebihan manifesto itu yang pentingnya ia dirangka bagi menjamin keadilan, kesejahteraan dan kesaksamaan rakyat.
Kalangan pemimpin PR memang sudah menjangka komen sedemikian akan dikeluarkan dan media arus perdana kawalan UMNO-BN terutama Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 pasti akan menyiarkan komen pedas segelintir mereka yang seolah dipaksa supaya tidak menyokong manifesto berkenaan.
Setakat ini rakyat belum tahu apa kelebihan pada manifesto BN, tetapi yang pasti memang ‘tanam tebu di bibir’ yang boleh membuatkan hutang negara bertambah dan semakin berleluasa rasuah, salah guna kuasa dan memperkayakan kroni.
Rakyat mahu ubah
Kebanyakan rakyat mahu memberi sokongan untuk memberi peluang PR daripada mengekalkan BN yang sudah lama bermaharajalela melakukan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
Jika rakyat Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah (dan Perak pada 2008 sebelum kuasa dirampas secara haram oleh UMNO-BN) berani menukar kerajaan yang ditadbir BN, tidak ada sebab bagi rakyat negeri lain untuk mengikuti langkah sama bagi menjamin sebuah kerajaan yang lebih berintegriti, bersih, adil dan tidak salah guna kuasa.
Kecemerlangan yang dicapai empat negeri berkenaan, tidak ada alasan lagi bagi rakyat Malaysia merasa takut, ragu dan bimbang untuk melakukan perubahan sama supaya negara boleh diterajui dengan lebih baik tanpa penyelewengan, salah guna kuasa dan korup kepada kepemimpinan parti dalam PR iaitu PKR, DAP dan PAS.
Tidak mungkin masih ada lagi rakyat yang meragui kemampuan pemimpin PR kerana empat negeri yang diperintah pemimpin daripada parti komponen PR berjaya ditadbir dengan baik dan cemerlang serta memberi banyak manfaat kepada rakyat
Kejayaan Kelantan sebagai teladan
PAS yang menerajui Kelantan sejak 22 tahun ini terbukti mampu mentadbir negeri dengan amanah, tidak melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Begitu juga Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, masing-masing diterajui DAP, PKR dan PAS.
Rekod kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, selama 22 tahun gagal ditandingi pemimpin lain di negara ini dan jauh panggang daripada api jika dibandingkan dengan pemimpin BN termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang paling lama memerintah serta Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana pentadbiran mereka bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa.
Setakat ini tidak ada pemimpin seperti Tuan Guru Nik Aziz yang begitu hebat daripada segi integriti berbanding negeri yang diperintah UMNO-BN yang hanya pandai menambahkan hutang, bukannya mengurangkan hutang. Malah kerajaan negeri yang ditadbir PR sekarang terpaksa menyelesaikan hutang yang ditinggalkan menteri besar dan ketua menteri BN sebelum ini.
Ramai penyokong BN mengatakan tidak mungkin Najib yang bijak ekonomi akan menyebabkan negara muflis. Apa tidaknya selama Najib mentadbir negara kini hutang negara sudah mencecah lebih RM500 bilion dan rezab Bank Negara juga semakin susut.
Tidak mungkin rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang sanggup membiarkan negara dan negeri terus diperintah BN yang mana pemimpin hanya tahu berbelanja boros bukannya tahu berjimat demi faedah rakyat.
Guan Eng membuktikan peluang saksama untungkan Melayu
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dianggap seorang pemimpin yang hebat terutama cekap dan telus mentadbir negeri Pulau Mutiara itu.
Guan Eng berani mengakui kesilapan dan kelemahan serta memahami keperluan orang Melayu di Pulau Pinang. Kerana itulah teras pembangunan beliau ialah memastikan hapusnya kemiskinan tegar di negeri itu yang selama ini dibiar melarat oleh UMNO dan rakan komponen BN. Kerana itu juga Guan Eng menambah peruntukan bagi memajukan syiar Islam dan menyediakan perumahan rakyat di negeri itu.
Kerana itu jugalah, UMNO melalui media massa yang mereka kuasai hanya mampu menabur fitnah terhadap Guan Eng, DAP dan PR di Pulau Pinang. Memang resmi orang berniat jahat; apabila tak mampu berhujah, dia hanya menipu, berbohong dan menuduh orang lain.
Kedah ditadbir penuh hemah
Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak juga seorang pemimpin yang bersih, tidak rasuah dan salah guna kuasa, sebaliknya mementingkan nasib rakyat walaupun dia sering difitnah UMNO-BN dengan pelbagai penyelewengan, termasuk isu pembalakan.
Kedah yang ditinggalkan BN dengan hutang sebanyak RM2,095 bilion pada 2008 dan pertambahan hutang selepas itu sebahagian besarnya adalah untuk pembesaran Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan pengurusan bekalan air terawat untuk rakyat.
Ini bermakna hutang yang dibuat itu bukan untuk projek mewah, hiburan atau membeli cincin dan beg tangan isteri pemimpin negeri. tetapi betul-betul untuk faedah rakyat.
Dalam masa lima tahun pentadbiran PR di Kedah jumlah pelaburan ke KHTP adalah sebanyak RM10.8 bilion berbanding dalam mtempoh sama ketika zaman BN cuma RM4.7 bilion.
Selangor terus cemerlang di bawah PR
Begitu juga dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang cekap melakukan perancangan hinggakan ekonomi Selangor begitu membanggakan dan dinikmati rakyat.
Kerajaan PR Selangor berjaya menyumbang 30 peratus pelaburan di Malaysia, melepasi sasaran purata pelaburan negeri itu bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012.
Pencapaian memberangsangkan ini sekaligus mencatatkan rekod tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan nilai melebihi RM10.5 bilion melibatkan 211 projek perkilangan yang telah diluluskan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor menjadi negeri tertinggi menerima pelaburan dengan jumlah keseluruhan RM48.53 bilion dalam tempoh tersebut.
PR sedia tadbir Malaysia
Semua empat negeri yang diperintah PR menunjukkan kemampuan yang membanggakan sehingga mendapat pujian dalam laporan Ketua Audit Negara hampair setiap tahun sejak memerintah.
Justeru, dakwaan BN kononnya manifesto PR itu tidak munasabah dan boleh menyebabkan negara muflis tidak boleh diterima, sebaliknya jika rakyat membiarkan negara terus diterajui BN akan mencepatkan negara muflis kerana dalam masa empat tahun saja Najib mentadbir, hutang negara sudah mencecah lebih RM500 bilion.
Bayangkan jika rakyat memberi peluang lagi kepada BN, hutang negara mungkin mencecah berlipat kali ganda dan membolehkan negara muflis. Bila itu berlaku, habislah kehidupan seharian rakyat kerana kenaikan gaji dibeku, harga barang naik, ekonomi merosot, menyebabkan sengsara hidup.
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini juga sudah merayu supaya rakyat memberi peluang kepada PR memerintah negara bagi membuktikan model pemerintahan kerajaan yang adil berlandaskan nilai Islam dapat dilakukan.
BN yang sudah memerintah lebih 55 tahun tidak wajar lagi terus diberi peluang kerana dalam tempoh yang begitu parti itu gagal memajukan Malaysia, sekurang-kurangnya setanding dengan Korea Selatan.
Rakyat sedia terima PR sebagai kerajaan baru
Ramai yang menyambut baik manifesto rakyat itu dan mereka mahu menjadi realiti apabila PR memerintah nanti demi meringankan beban rakyat.
Ramai menyokong janji menghapuskan tol, menurunkan harga petroleum, kereta, hapuskan PTPTN, saman AES, caj elektrik dan air lebih rendah selain beberapa tawaran membantu ekonomi rakyat.
Ini tidak termasuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan baru di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. memperkenal gaji minima RM1,100 sebulan, melatih sejuta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran, membina lima universiti dan 25 sekolah vokasional, Tabung inovasi IKS RM500 juta, menyelaras cukai rakyat- kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.
Menyediakan pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya, tambah bilangan bas, merangka untuk membina sistem keretapi laju antara bandar.
Menerusi empat teras utama manifesto itu, PR memastikan setiap isi rumah akan membawa pulang pendapatan isi rumah RM4,000 sebulan.
PR juga komited memastikan harga minyak diturunkan, caj elektrik lebih rendah, caj air lebih rendah, penghapusan tol, cukai eksais dan harga kereta serendah RM25,000 sebuah.
(Bagaimanapun PR mengakui ‘terlepas pandang’ isu tuntutan bayaran royalti minyak untuk negeri pengeluar minyak yang didapati tidak dimasukkan dalam manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ versi cetak. Semakan ke atas manifesto versi digital yang dimuatkan di laman Pakatan Rakyat mendapati ia memuatkan janji untuk “menaikkan royalti kepada negeri pengeluar minyak dan gas dari 5 peratus ke 20 peratus”.)
Apapun pilihan sudah terlalu jelas. Sama ada terus dengan UMNO-BN yang korup dan semakin tidak peduli rakyat (kecuali untuk memberi habuan BR1M sekali dua kali seumur hidup) atau PR yang benar-benar komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengembalikan harga diri dan maruah rakyat. – Roketkini.com