KUALA LUMPUR 05 OKT : Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah individu yang tepat untuk dihakimi dalam tindakan penyuraian perhimpunan BERSIH 2.0 di sekitar Hospital Tung Shin (HTS) dan Hospital Bersalin Cina (CMH) di Jalan Pudu pada 9 Julai lalu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang bertindak di luar garis panduan operasi polis (SOP) pada operasi tersebut adalah suatu yang tidak wajar.
"Walaupun tindakan polis itu satu benda yang salah, tetapi mereka hanya melakukan arahan atas provokasi dan arahan pihak atasan iaitu Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara."
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media ringkas di lobi Parlimen bagi mengulas tindakan KDN ke atas anggota polis yang menyalahi SOP ketika menjalankan tugas.
Berita Harian dalam keluarannya hari ini melaporkan bahawa KDN akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di luar garis panduan operasi polis (SOP) dalam operasi penyuraian perhimpunan BERSIH lalu.
Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam dilaporkan berkata wujud tindakan tidak beretika dan di luar garis SOP oleh anggotanya dalam menangani orang ramai yang menyertai perhimpunan yang secara salah menggunakan premis hospital berkenaan.
“Susulan daripada laporan hasil siasatan ini, KDN akan merujuk senarai kakitangan berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” jelas Mahmood Adam.
Mengulas lanjut isu ini, Mahfuz dengan tegas berpendapat bahawa kerajaan berlaku tidak adil dengan meletakan seluruh kesalahan ke atas anggota bawahan sedangkan pemimpin dan golongan tertinggi terlepas dan cuci tangan.
"Pemimpin cuci tangan, ini suatu penganiayaan kepada anggota polis yang pada akhirnya anggota polis takut untuk menjalankan tugas mereka kerana khuatir akan melakukan kesilapan" jelas Mahfuz.