Negara Bakal Jimat Lebih Wang Dengan Bajet Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR 05 OKT : Pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan bahawa belanjawan 2012 mereka yang memperuntukan RM220 bilion adalah lebih baik daripada apa yang bakal dibentangkan oleh Barisan Nasional.

Ini kerana defisit 4.4 peratus di dalam bajet Pakatan jauh lebih rendah daripada apa yang bakal ditawarkan oleh kerajaan persekutuan, kata Jawatankuasa khas Belanjawan Pakatan Rakyat Rafizi Ramli.

"Kalau Barisan Nasional hanya mampu mengumumkan belanjawan RM14 - 15 billion lebih tinggi daripada angka yang dikemukan oleh kita, adalah tidak munasabah bagi Barisan Nasional untuk mempersoalkan sama ada kita mampu atau tidak lunaskan janji RM220 billion ini, kerana sudah tentu kita mampu, belanjawan kita lebih baik."

Merujuk kepada rekod belanjawan BN selama ini, Rafizi meramalkan Barisan Nasional tidak mampu mengurangkan kadar defisit lebih rendah daripada 4.4 peratus.

Perbezaan jurang defisit ini memungkin kerajaan persekutuan mengumukan belanjawan jauh lebih besar sehingga mencecah RM235 billion berbanding RM220 billion yang dikemukan oleh Pakatan.

"Berdasarkan kutipan cukai yang agak baik kebelakangan ini, mereka (BN) merasakan ada tambahan pendapatan kerajaan untuk tahun hadapan, sebab itu mereka begitu yakin untuk mengumumkan belanjawan mencecah lebih RM230 billion," katanya dalam satu sidang media di Bilik Taklimat Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa perbezaan unjuran pendapatan antara Pakatan dan BN ialah pada dasar dividen Petronas. Dividen Petronas adalah sebahagian daripada keuntungan syarikat itu yang diberi kepada kerajaan.

"Kutipan cukai dengan petumbuhan yang agak sihat menyaksikan jumlah pendapatan keseluruhan sekitar RM 181 billion.

"Bezanya ialah RM181 billion yang kita unjurkan itu adalah berdasarkan kepada maksima RM26 billion dividen yang kita akan kenakan ke -atas petronas, ini lebih rendah daripada BN yang selama ini mengenakan RM30 billion.

Rafizi menjelaskan pendekatan BN yang mengenakan dividen yang tinggi sehingga RM30 billion menyebabkan kadar pelaburan semula Petronas merosot.

Pendekatan yang dibawa Pakatan dengan mengenakan dividen yang lebih rendah mampu membantu Petronas dan menarik syarikat-syarikat minyak seluruh dunia dalam mencari rezab pelaburan baru dengan melaburkan sekurang-kurangnya 60 peratus dari keuntungannya.

Pakatan juga memperuntukan subsidi sebanyak RM22 bilion untuk dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini.

Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

No comments: