BAKAL PM MELANGKAUI ANWAR, LALUAN AZMIN TIDAK SEMUDAH DISANGKA



Entah bagaimana, mungkin secara kebetulan atau memang dirancang, bersekali dengan khabar angin mengenai konon rapuhnya kedudukan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, nama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut dicanangkan sebagai pengganti pilihan.

Dikhabarkan Tun Mahathir Mohamad sendiri lebih senang dengan Azmin dan memang mahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menggantikan tempatnya.

Dalam erti yang lain, walaupun sudah ada perjanjian dan dipersetujui dalam Pakatan Harapan bahawa Anwar adalah penggantinya, seolah-olah Tun Mahathir ketika ini tidak lagi ada perasaan terhadap Presiden PKR itu dan tidak mahu menunaikan janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui sebelum ini.

Beberapa pemimpin Bersatu dan pemain media sosial yang akrab dengan parti itu juga nampaknya tidak malu-malu menyebut Azmin adalah bakal Perdana Menteri ke-8 dan terang-terang telah mengenepikan Anwar.

Tidak dipastikan siapakah yang memula dan merangsang sebutan nama Azmin sebagai Perdana Menteri ke-8 itu,mtetapi yang nyata ia terus berlaku sehingga kini.

Keadaan itu, ditambah dengan tiada penafian khusus lagi tegas daripada Tun Mahathir sendiri, maka sebutan nama Azmin itu terus diperkatakan di merata-rata, malah makin diperbesar dari hari ke hari.

Keadaan ini jugalah yang kini dilihat meretakkan hubungan antara Tun Mahathir dan Anwar sejak akhir-akhir ini, meskipun sebelum pilihanraya lalu, Tun Mahathir terlihat begitu mengharapkan sokongan bekas timbalannya itu sanggup merendahkan dirinya menemui Anwar di mahkamah beberapa kali serta menghantar Tun Daim Zainuddin yang  terpaksa menghidupkan lesen guamannya, bagi membolehkan pergi ke penjara untuk melakukan rundingan seterusnya.

Mengapakah setelah berjaya memperolehi kuasa, semuanya nampak berbeza? 

Benarkah juga Azmin jadi pilihan Tun Mahathir dan bukan lagi Anwar?

Dalam hal ini, sesuatu yang harus diingat ialah proses memilih Perdana Menteri atau penggantinya adalah berbeza antara BN dengan Pakatan Harapan. 

Di dalam BN, sesiapa saja yang jadi Presiden UMNO, dia adalah Perdana Menteri dan sesiapa juga yang menduduki Timbalan Presiden UMNO, dia jugalah Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun banyak yang kecundang, tetapi daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri jugalah seseorang itu akhirnya akan menjadi Perdana Menteri.

Dalam konteks itu, Perdana Menteri boleh menggunakan kuasanya terhadap sesiapa yang disukainya untuk dijadikan Timbalan Perdana Menteri atau bakal penggantinya dengan cara memberi kedudukan yang baik-baik dalam kerajaan dan menunjukkan keakraban atau sokongan supaya orang berkenaan menang dalam pertandingan dan boleh menjadi Timbalan Presiden UMNO.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO antara Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan antara Tun Ghafar Baba dengan Musa Hitam, perkara itu jelas telah berlaku di mana Tun Mahathir yang menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu telah berjaya membuatkan calon kesukaannya menang dalam kedua-dua pertandingan tersebut.

Musa Hitam dua kali berjaya mengalahkan Tengku Razaleigh kerana sokongan terbuka yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir, begitu juga Tun Ghafar berjaya menewaskan Musa Hitam berikutan kenyataan Tun Mahathir yang menyebut kedudukan Tun Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri akan terus kekal, meskipun kiranya tidak berjaya mengalahkan Musa Hitam.

Kemudian, ketika Anwar mahu mencabar Ghafar Baba pada 1993, disebabkan Tun Mahathir memberikan Anwar jawatan sebagai Menteri Kewangan serta dalam masa yang sama menampakkan kecondongannya lebih menyayangi Anwar sebagai bakal penggantinya, maka dengan mudah Tun Ghafar pula dapat diketepikan.

Begitulah realitinya dalam UMNO. Tetapi keadaannya berbeza dengan Pakatan Harapan. Pemilihan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pengganti Perdana Menteri mesti dirundingkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dianggotai para pemimpin kanan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Berdasarkan keputusan sebelum PRU14, keputusan yang dipersetujui ialah Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar adalah bakal Perdana Menteri ke-8 setelah dua tahun Tun Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri ke-7.

Sehingga ini, kedudukan ini adalah kekal dan tidak berubah. Bermakna, Anwar masih merupakan calon yang dipersetujui untuk menggantikan Tun Mahathir.

Dalam hal ini, katalah jika Tun Mahathir benar-benar berhasrat mahu menjadikan Azmin sebagai penggantinya dan menolak Anwar, beliau mesti membawa perkara itu dalam Majlis Presiden untuk dipersetujui terlebih dahulu.

Tun Mahathir tidak boleh sesuka hati meletakkan nama Azmin sebagaimana ketika beliau ada banyak kebebasan sewaktu menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN dahulu.

Dalam Majlis Presiden pula, selain ada Tun Mahathir, Anwar dan Dr. Wan Azizah, ia juga dianggotai oleh Lim Kit Siang, Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan lain-lain, termasuk Azmin sendiri sebagai Timbalan Presiden PKR.

Dengan kapasiti keanggotaan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang sedemikian itu, mampukah Azmin mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti untuk melangkaui Anwar bagi merampas takhta sebagai Perdana Menteri ke-8? (ShahbudinHusin 23/12/2018).

PM ialah Mahathir , tetapi yang disalahkan Anwar


KONSPIRASI JATUHKAN ANWAR KALI 2 ?

Mahu tidak mahu saya terpaksa menulis hakikatnya yang berlaku dlm keluarga PH bahawa konspirasi untuk menidakkan Anwar menjadi PM ke 8 benar-benar berlaku di kalangan pasukan PH sendiri.

Mulanya saya hairan, kenapa sebahagian mereka terutama di kalangan ahli-ahli  Amanah yang lahir atas sokongan Rafizi beralih arah. Menyokong Azmin Ali yg tidak mahukan mereka? Malah keceluparan mulut Rafizi... dosa tersebut dilemparkan kpd Anwar yg selama ini duduk di dlm penjara.

Selain ahli Bersatu...ramai ahli2 Amanah tidak mahukan Anwar menjadi PM. Alasan mereka Anwar tidak boleh dipercayai. Saya tanya tak boleh percaya kerana apa? Tiada jawapan. Bila tiada dalil atau fakta...bagi saya mereka hanya terikut ikut dengan emosi... jika ada hujah senang dihujahkan tapi ramai ahli 'anti Anwar' bicara dengan saya sekadar memberitahu....'tidak boleh dipercayai'.

Hingga baru-baru ini saya berbicara dgn seorang rakan FB ( bukan ahli sekadar pengundi ), dia memberitahu dia tidak mahu Anwar menjadi PM... kononnya Anwar akan memberi hak sama rata kpd mana-mana agama yang ingin dianuti oleh rakyat Malaysia. Maksudnya org Melayu boleh menjadi menjadi Kristian dan sebagainya.

Wah, saya kata dasyat sungguh konspirasi utk menjatuhkan Anwar buat kali kedua ini. Macam Anwar ini tidak beragama dibuat mereka. Sedangkan jika bicara soal peribadi dibandingkan keluarga Tun dan Anwar...saya lebih yakin pegangan agama keluarga Anwar. Saya berjanji dgn rakan tersebut suatu hari nanti saya akn bawa dia bertemu Anwar Ibrahim sendiri utk bertanya sendiri dan hanya dgr kata-kata dari konspirator.

Saya hairan bila Azmin Ali yg beberapa kali 'curang' kpd perintah Presiden tiba-tiba menjadi insan yg diimpikan menjadi PM negara. Sedangkan ahli-ahli Amanah tahu... Azmin tidak mesra dgn pemimpin-pemimpin  Amanah malah lebih mahukan PAS berbanding Amanah dlm PH. Dendam apa yg sebilangan ahli Amanah beria ria mahukan Azmin sebagai calon PM.. saya tidak mengerti? Kita semua tahu hubungan Anwar dgn pemimpin luar negara sgt baik... jauh ketokohan berbanding Azmin.

Di laman sosial saya sgt hairan apabila netizen menghentam Anwar Ibrahim selepas PH memerintah. Anwar mungkir janji, kata hari ini menang tol hapus, kata hari ini menang minyak turun... itu kata-kata Anwar pada PRU ke 13 ( 2013 ). Cuma saya ingin bertanya yg jadi PM sekarang siapa? Kalian suruh dia gugurkan Moorthy pun dia tidak peduli...

Saya sendiri sewaktu ke pejabat TPM dapatkan pengesahan berbunyi... " Pak Sheikh takkan lawan Mahathir. Kita tunggu 2 tahun. Biar Mahathir tadbir ikut cara dia. Kita hormati beliau. Itu kata Pak Sheikh..". Kadang-kadang saya kesian dgn Anwar... dia diam dia dipersalahkan tentang janji2 PH.... bila dia bersuara netizen suruh dia diam sebab Anwar bukan PM.

Apa yang menjadi PM skg ini Mahathir. Tapi yg dicemuh Anwar. Seolah olah Anwar yg menguruskan negara. Tiada langsung pujian utk Anwar yg meminta Menteri Pendidikan lakukan sesuatu kpd bayaran PTPTN kerana ia antara janji kerajaan.

Dlm Anwar mengambil pendirian tidak mahu menganggu pentadbiran Tun... dia semakin teruk dihentam seolah olah ada konspirasi dari luar PKR dan dlm PKR utk menolak Anwar sebagai PM ke 8.

Tun sibuk mencanangkan Najib bersalah. Sedangkan dendam peribadinya utk menjatuhkan Najib telah ditunaikan oleh rakyat Malaysia. Tun patut move on utk memastikan Malaysia Baru seperti dikatakan Lim Kit Siang ( maksud LKS bukan Malaysia Malaysian ) dpt berjalan dgn lancar.

Selepas itu Tun sibuk membina kekuatannya sendiri ( yg ahli Amanah tidak faham kelicikkan Tun ) dgn menerima dan mengampunkan musuh2 politiknya dgn membawa selagi boleh ahli Parlimen UMNO ke dlm Bersatu.

Untuk apa? Sedangkan pemimpin2 yg dibawa masuk itu 200 hari yg lalu menyerang PH sebagai musuh mereka. Kini tanpa bersusah payah dosa2 mereka ( terutama salah laku ) diampunkan dan diangkat menjadi pemimpin.

Lebih teruk daripada itu saya hairan mengapa 'peminat Azmin' samada dari PKR atau Amanah tidak menyerang Tun seperti menyerang Anwar kerana kedegilan Tun utk terus mempertahankan Moorthy sebagai Menteri Kabinetnya.
Sedangkan Moorthy telah mengguris hati ramai org Melayu. Tun dgn angkuh mengatakan " Rakyat berhak bersuara tetapi dia yg menentukan...". Sdgkan yg menaikkan dia semula sebagai PM adalah rakyat.

Inilah isu yg menghairankan saya. Yg menjadi PM adalah Tun. Yg dimaki Anwar Ibrahim. Bagi saya yg menghina Anwar itu kebanyakkan hanya ikut ikutan sahaja. Sebab '50 dalil' kedua belum dibuktikan kpd saya utk saya mempercayainya.

Sedangkan ramai yg sangsi tentang benarkah kekayaan Tun seperti diumumkan. Kerana Tun selepas menjadi PM ke 4... masih bermewah mewahan ke sana sini dgn jet peribadi. Anak2 Tun pula semuanya jutawan dan billionaire.

Bercerita mengenai jet peribadi... di sini saya melihat ketidak adilan dan konspirasi kedua itu benar-benar berlaku. Ketika Anwar mengikuti Wan Azizah dgn menaiki jet kerajaan... dia dicemuh begitu teruk. Tapi bila Tun menggunakan jet kerajaan ke Sarawak atas urusan parti... tiada siapa mahu bersuara.

Saya bukan mencari salah Tun tetapi sebagai penulis dan pemerhati politik... apa yg ingin saya rungkaikan konspirasi menidakkan Anwar menjadi PM ke 8 sudah berlaku dgn begitu agresif. Jika tidak masakan 'kelembapan' ekonomi negara, Anwar yg hanya Ahli Parlimen Port Dickson disalahkan. Sedangkan PM Negara Tun Mahathir dan Menteri Ekonomi adalah Azmin Ali.

Populariti Anwar dilemahkan. Konon tanpa Tun PH tidak menang. Sedangkan jika kita dpt menghalusi politik... bagi saya Anwar dipergunakan. Hakikatnya Tun menghadap Anwar di mahkamah utk melahirkan cita2 utk bergabung bagi menumbangkan BN. Kita mesti ingat ketika Anwar di luar penjara PR menawan 5 negeri. Malah PRU 13 undian secara keseluruhan 51% rakyat Malaysia memilih PR ketika itu.

Kini populariti Tun sedang dicipta. Saya seperti dlm penulisan yg lalu mengakui kehebatan atau kelicikkan Tun berpolitik. Cuma akhir2 ini seolah ada konspirasi terancang sdg berjalan dgn membina populariti Tun dan melemahkan populariti Anwar.

Tular di laman sosial buku Rick Smolan menyifatkan Tun Mahathir sebagai 'the most political savvy on earth' atau "seorang yang amat celik politik di atas muka bumi ini!". Buku Prof. Kisho The Philosophy of Symbiosis menyifatkan Tun M sebagai "arkitek terhebat yang LEBIH HEBAT daripada dirinya!". Ini semua bagi membina populariti semata mata.

Saya percaya teori Azmin Ali PM dan Timbalan PM Mukhriz ia bukan khayalan tetapi ia adalah impian. Apabila Tun menghimpunkan bekas ahli dan pemimpin UMNO bersamanya... saya melihat Tun sudah tidak memperdulikan nasib PH. Sedangkan penambahan ahli PKR dan DAP agak perlahan. Parti Amanah adalah antara parti komponen PH yg sgt perlahan penyertaan ahlinya. Berbanding Bersatu yg beribu ribu memohon keahlian.

Kata hati saya... Tun sedang membina empayar baru. PH akan kembali berdepan soal-soal  korupsi dan ekstrimis Melayu. Malaysia Baru yg kita impikan hanya tinggal mimpi.




Kenyataan Akhbar

Foto Amiruddin Ahmad.



Kenyataan Akhbar
Sokongan terhadap perlantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang
Kami ketua-ketua cabang yang menghadiri mesyuarat tertutup bersama YB Hajjah Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini bagi membincangkan kesepakatan dan hala tuju Keadilan Pahang telah bersetuju beberapa perkara seperti di bawah
2. Kami menyokong sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim untuk melantik YB Hajjah Fuziah Salleh selaku Pengerusi MPN Pahang yang baru. Ia dibuat selaras dengan perlembagaan Keadilan yang telah dipatuhi sepenuhnya oleh Presiden Keadilan
3. Kami juga sebulat suara bersetuju untuk memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada Pengerusi MPN yang dilantik di dalam usaha untuk memastikan Keadilan terus menjadi parti utama dan tonggak kepada Pakatan Harapan Pahang di dalam usaha untuk memenangi Pahang pada PRU15 akan datang. Antara agenda bertindak yang dirancang termasuklah pengukuhan dan kesepaduan cabang-cabang Keadilan di Pahang, perlaksanaan program-program kerajaan persekutuan di peringkat akar umbi dan meningkatkan tahap kerjasama parti-parti komponen PH. Kami percaya YB Hajjah Fuziah Saleh adalah individu yang tepat dan mempunyai ketokohan untuk mengetuai misi untuk PH menawan Pahang pada PRU15 yang akan datang
4. Kami juga berpendapat Agenda Reformasi Keadilan dan PH hanya akan dapat dilaksanakan secara tuntas dan holistik dengan mengangkat Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 selaras dengan perjanjian di dalam Majlis Presiden PH
5. Kami juga ingin merakam ucapan terima kasih terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pimpinan Keadilan sesi yang lalu yang diterajui oleh Dato Seri Fauzi bin Abdul Rahman dan berharap beliau akan terus memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada saf kepimpinan baru Keadilan Pahang

MEMUNGKIRI JANJI KEPADA ANWAR HANYA MENCEMAR NAMA TUN M SEBAGAI NEGARAWAN



Janji wajib ditepati dan di dalam Islam, mereka yang mungkir janji tergolong sebagai munafik.

Dalam pepatah Melayu pula selalu disebut - lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Bermakna, dalam apa keadaan sekali pun, janji mesti ditepati dan bukan untuk dikhianati.

Dalam carta politik negara sekarang ini, janji yang paling ditunggu oleh rakyat ialah janji manifesto pilihanraya dan janji untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Mahathir Mohamad.

Tidak dinafikan juga, kedua-dua janji itulah yang turut menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya umum yang lalu.

Oleh kerana sekarang ini Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan dan Tun Mahathir kembali menduduki kerusi Perdana Menteri, ertinya kini adalah fasa untuk menunaikan kedua-dua janji tersebut.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, janji 100 hari dalam manifesto lalu masih banyak yang belum ditunaikan. Janji manifesto yang lain juga dikhabarkan berdepan hal yang sama.

Alasan yang biasa kita dengar ialah kerana kerajaan berdepan kekangan kewangan dan Pakatan Harapan tidak menyangka beban kewangan yang ditinggalkan Najib Razak adalah terlalu besar serta di luar jangkaan.

Sementara mungkin ada yang bersetuju dengan hujah-hujah kerajaan itu, tidak dinafikan kegagalan menunaikan janji manifesto telah mencalarkan sedikit sebanyak keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan, apatah lagi Tun Mahathir adalah ketua kerajaan yang berpengalaman membawa kecemerlangan kepada negara selama 22 tahun sebelum ini.

Bagi kebanyakan rakyat, janji tetap janji dan kalau terpaksa merangkak sekali pun, ia mesti dipenuhi.

Dalam hal ini, jika menjelang PRU15 nanti masih banyak lagi janji manifesto yang tidak dipenuhi, sukar untuk menjangka sama ada Pakatan Harapan ini mampu terus menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya.

Serentak dengan kegagalan menunaikan banyak janji manifesto itu, entah bagaimana dalam masa yang sama bercambah pula perkhabaran yang semakin meluas hari demi hari kononnya janji mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 juga bakal dimungkiri sama.

Ia bukan saja terlihat melalui banyak kenyataan Tun Mahathir sendiri yang agak kabur mengenai kedudukan penggantinya itu, dalam waktu yang sama usaha-usaha menonjolkan Azmin Ali seperti bergerak seiring dengannya.

Walaupun selalu mengatakan Anwar adalah penggantinya dan beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, Tun Mahathir seringkali menggunakan perkataan “mungkin” apabila merujuk tempoh masanya menerajui negara ini.

“Mungkin kurang dua tahun dan mungkin juga lebih daripada dua tahun,” kata Tun Mahathir dalam beberapa kenyataan yang pernah diluahkannya.

Kenapakah Tun Mahathir tidak mahu berterus-terang dan bertegas bahawa tempohnya menerajui negara hanya selama dua tahun saja dan selepas itu akan menyerahkan kepada Anwar sebagaimana yang dipersetujui bersama Pakatan Harapan sebelum PRU14 lalu?

Sehingga ke hari ini, setelah tujun bulan berlalu, meskipun Anwar masih dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, kedudukannya jelas masih kabur dan tidak menentu.

Ia selain kerana Tun Mahathir tidak mahu bersikap jujur dan masih menunjukkan kekaburan serta dalam masa yang sama banyak menampakkan kelebihan kepada Azmin dan kemnya, yang ternampak jelas juga beliau semakin cuba memperkukuhkan kedudukannya melalui tindakan membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Jika Tun Mahathir dapat menampakkan pendiriannya yang betul-betul jelas ke arah mahu menyerahkan kuasa dalam tempoh tidak lebih dua tahun sepertimana dijanjikan, rasanya tidak mungkin Anwar melakukan tindakan yang seolah-olah memperlihatkan sikapnya yang tidak sabar mahu mengambil alih kuasa.

Tetapi, oleh kerana Tun Mahathir lebih dulu menunjukkan sikap yang meragukan, maka tidak boleh dipersalahkan kepada Anwar yang dilihat tidak sabar itu.

Anwar hakikatnya hanya bertindak balas untuk melindungi dirinya terhadap apa yang Tun Mahathir lakukan dan bagi memastikan janji peralihan kuasa yang sudah sama-sama dipersetujui benar-benar dipatuhi.

Begitu juga dengan tindakan Rafizi Ramli mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, niatnya hanya bertujuan memastikan Anwar tidak tergugat sebagai pengganti Tun Mahathir.

Janji peralihan kuasa, setelah Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, kalau masih juga cuba dimungkiri, ia hanya akan mencemarkan nama beliau sebagai seorang negarawan saja.

Selepas berjaya menyingkirkan Najib dan dalam usia 93 tahun sekarang ini, tetapi jika masih mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun, apa lagi sebenarnya yang Tun Mahathir kejar dalam sisa-sisa hidupnya? (ShahbudinHusin 21/12/2018)

PRK CAMERON HIGHLANDS: JANGAN CUBA RASUAH PEGUNDI SEKALI LAGI

INILAH MASANYA TUN M WAJIB MEMBUKTIKAN KATA-KATANYA DENGAN PERBUATAN



Benarkah Tun Mahathir Mohamad tidak suka majoriti dua pertiga?

Benarkah juga beliau mahu pembangkang yang kuat untuk mengimbangi kerajaan yang dipimpinnya?

Jika begitu, bolehkah Tun Mahathir segera membuat pengumuman bahawa Pakatan Harapan dan Bersatu tidak akan menerima kemasukan mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti baru-baru ini?

Mereka yang keluar UMNO itu, biarkan saja mereka jadi Ahli Parlimen Bebas sehingga habis penggal ini.

Seterusnya, jika benar juga tidak suka majoriti dua pertiga dan mahu pembangkang yang kuat sepertimana yang diucapkannya itu, bolehkah Tun Mahathir dengan segera membentangkan undang-undang anti lompat parti di Parlimen?

Undang-undang berkenaan bukan saja pastinya akan mendapat sokongan daripada PKR dan DAP jika dibentangkan di Parlimen, malah pembangkang seperti UMNO dan Pas tentu tiada halangan sama untuk menyokong perlaksanaannya.

Oleh itu, tidak guna sekadar berkata saja tidak suka majoriti dua pertiga dan mahu pembangkang yang kuat semata-mata, tetapi tidak berani membuktikannya dengan tindakan atau melalui kuasa yang ada, malah berdalih kononnya demokrasi membenarkan lompat parti dan sebagainya.

Tindakan itu pula mudah saja - pertama, keluarkan kenyataan tidak akan menerima kemasukan mereka yang mahu melompat dan kedua, segerakan perbentangan undang-undang anti lompat parti di Parlimen.

Demi semangat Malaysia Baru, Tun Mahathir tiada pilihan lagi, inilah masanya beliau wajib membuktikan segala kata-katanya itu dengan tindakan serta perbuatan yang nyata. (ShahbudinHusin 20/12/2018).

ZAHID BERUNDUR, UMNO MASIH TIADA HALA TUJU

KEPUASAN HATI RAKYAT KE ATAS PM JATUH – RAFIZI

BN SEMAKIN GENTING, MELAYU BERSATU DI DALAM PH

JANGAN PANDANG MUDAH PESANAN RAFIZI



Walaupun terdengar ada yang kurang senang dengan warkah bertajuk "Pesanan Kepada PH" yang ditulis oleh Rafizi Ramli, termasuk mengaitkan dengan kekalahannya kepada Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini, semua pihak dalam Pakatan Harapan seharusnya berlapang dada menerima apa yang ditulisnya itu.

Beberapa dapatan beliau termasuk mengenai kegelisahan rakyat terhadap kos sara hidup,  janji manifesto yang belum ditunaikan dan rating Tun Mahathir Mohamad yang menurun sebanyak 20 peratus sejak Jun lalu, sebenarnya adalah realiti yang boleh didengar di mana-mana saja ketika ini.

Dengan mempersembahkan semua hakikat itu, di sebalik mungkin ada pemimpin Pakatan Harapan yang lain sama menyedarinya tetapi tidak berani memperkatakannya kerana masing-masing sudah ada jawatan dan kedudukan yang mahu dijaga atau barangkali juga tidak sedar berkenaan dengannya kerana sibuk dengan urusan kerajaan, tindakan Rafizi bolehlah juga diberikan pujian.

Tulisan beliau adalah untuk kebaikan Pakatan Harapan dan bagaimana mereka boleh menjadikannya sebagai panduan untuk memperbaiki lagi kerajaan yang ada.

Pakatan Harapan tidak boleh lagi seperti era BN dahulu yang memandang sepi semua dapatan tidak memihak kepadanya, apa lagi jika didapati mengaitkan dengan penurunan prestasi atau rating Najib Razak.

Tetapi, akibat daripada semua itu, lihatlah apa yang berlaku kepada BN yang mana akhirnya pemimpin mereka sendiri ketika ini seperti tidak dapat menerima realiti sudah ditolak rakyat.

Semua teguran dan dapatan Rafizi ini harus diambil positif jika tidak mahu yang berlaku kepada BN berulang kembali menimpa Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan bukanlah kebal dan Tun Mahathir juga tidaklah maksum. Meskipun  agak cemerlang ketika 22 tahun membangunkan negara sebelum ini, realitinya kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri ketika ini adalah berbeza dengan ketika bersama UMNO dan BN dahulu.

Dua faktor kegelisahan rakyat iaitu kos sara hidup yang dijanji akan diturunkan tetapi belum nampak bayangnya lagi serta janji-janji manifesto PRU14 yang masih banyak tersangkut adalah sesuatu yang harus diakui. 

Alasan beban hutang yang ditinggalkan pentadbiran Najib dahulu tidak seharusnya dijadikan sandaran selama-lamanya untuk melengah-lengah atau tidak melaksanakan janji yang telah dilafazkan sebelum rakyat membuang undi itu.

Kekangan yang dihadapi seharusnya menjadikan kerajaan lebih kreatif dan berusaha keras dalam menjalankan tugas. Rakyat mahukan hasil, bukan alasan.

Oleh itu, pesanan Rafizi  mestilah diterima dan dihadam dengan hati yang terbuka, terutama berkaitan rating Tun Mahathir yang menurun sebanyak 20 peratus. Jika dengan masa berlalu seterusnya masih banyak lagi janji gagal ditunaikan, tidak mustahil rating Tun Mahathir akan terus menurun lagi dan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan turut sama tidak diyakini.

PRU14 menunjukkan kematangan rakyat dalam memilih kerajaan. BN yang ketika itu diselubungi imej buruk Najib telah ditolak oleh rakyat kerana mereka sedar jika kerajaan sama dikekalkan lagi, keadaan negara pasti akan bertambah buruk, meskipun jasanya selama 61 tahun amat dihargai.

Episod menukar kerajaan sudah pun selesai. Rakyat, tidak kira penyokong Pakatan Harapan, penyokong BN atau berkecuali, ketika ini sama-sama sedang memerhati dan meneliti prestasi kerajaan yang ada ini.

Yang demikian, apa juga pandangan, lebih-lebih lagi yang negatif, tidak memihak atau yang menyebabkan sakit telinga mendengarnya, jangan sesekali dibuang ke tepi begitu saja.

Ia harus diterima dengan hati yang terbuka. Selagi ada yang sudi menegur dan mendedahkan keburukan, lebih-lebih lagi jika dalam kalangan Pakatan Harapan sendiri, itu tandanya mereka masih ada keikhlasan dan rasa sayang kepada kerajaan ini.

Berbanding dengan mereka yang hanya tahu memuji dan melambung yang baik-baik saja, golongan ini bukan sekadar belum tentu ada kejujurannya, yang terselindung di sebaliknya semua itu sebenarnya hanyalah ganjaran, kontrak, jawatan serta kedudukan untuk diri sendiri semata-mata.

Lebih ramai yang tidak takut bersuara seperti Rafizi, seharusnya lebih dialu-alukan dalam era Malaysia Baru ini. (ShahbudinHusin 20/12/2018)