RASUAH : SABARLAH TUN, SAMPAI TIKET NO BERAPA, NANTI KITA PANGGIL LAH. BUAT MASA INI ELOK LAH PAKAT PAKAT DULU SAPA NAK DOK BILIK SEBELAH.


 Oleh: Helmi Mohd Foad


Kenyataan bernada sindiran Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pihak berkuasa menahan reman semua individu bergelar Tun jika mereka enggan mendedahkan hasil kekayaan mereka menunjukkan kesombongan sikap beliau.


Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berkata, perkara itu memandangkan pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat rakan baiknya Tun Daim Zainuddin berkaitan kes pengubahan wang haram.


"Tetapi jika jujurlah kata-kata Tun Dr Mahathir sekiranya dia mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu.


"Umum mengetahui kekayaan anak-anak beliau dan sewajarnya SPRM memulakan siasatan dari mana datangnya kekayaan jika benar-benar Tun Dr Mahathir mahu siasatan ke atas golongan yang memiliki Tun ini dimulakan," kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di aplikasi X semalam.


Shamsul berkata semua orang termasuk mereka yang mempunyai gelaran Tun tidak berada di atas undang-undang.


"Maka siasatlah harta-harta orang yang berpangkat Tun, bermula dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya.


"Tun, cakap siang pandang-pandang. Cakap malam, dengar-dengar. Saya yakin Tun berani disiasat," katanya.


Jelas beliau umum mengetahui mengapa Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian kerana beliau sememangnya tidak senang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 lagi.


"Ini kerana keengganan Datuk Seri Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-98 yang mengakibatkan pemecatan beliau dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini


"Kita juga perlu menyiasat semula kes-kes penyelewengan dana dan kerugian Perwaja Steel, projek hidroelektrik Bakun, MISC, PKFZ, Maminco dan kes-kes melibatkan anak-anak dan cucu-cucunya," kata Shamsul.


Terdahulu bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu dipetik sebagai berkata mereka yang berpangkat Tun bukan sahaja perlu disiasat.


"Mereka perlu ditahan reman sehingga mereka mendedahkan punca kekayaan mereka. Jika tidak, ia bermaksud mereka menyembunyikan sesuatu," ujarnya.


Laporan media sebelum ini menyebut SPRM bertindak menyita Menara Ilham di Kuala Lumpur susulan siasatan terhadap bekas menteri kanan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Penduduk Kg Setia Jaya kekal hingga proses penempatan baharu selesai


 Oleh: Helmi Mohd Foad



Penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak boleh menarik boleh nafas lega apabila pihak TAR Education Foundation tiada halangan untuk mereka kekal tinggal di situ sehingga proses penempatan baharu diselesaikan.



Perkara itu merupakan antara persetujuan yang dicapai dalam perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bersama wakil TAR Education Foundation di pejabatnya di Putrajaya hari ini.



Dr Zaliha berkata secara keseluruhannya, beliau mendapati perbincangan tersebut merupakan satu perbincangan yang positif.



"Saya yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.



"Berdasarkan hasil perbincangan tersebut, pihak TAR Education Foundation secara prinsipnya tiada halangan untuk membenarkan penduduk untuk terus berada di Kampung Setia Jaya sementara isu penempatan penduduk diselesaikan," kata beliau dalam kenyataan selepas pertemuan tersebut.



Dr Zaliha berkata perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan solusi yang terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut.

"Perbincangan susulan akan diadakan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.



Perjumpaan selama hampir sejam itu di antara TAR Education Foundation diwakili oleh Tan Sri Lim Keng Cheng dan Datuk Seri Yew Teong Look.



Turut hadir Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.



Sebelum ini media melaporkan seramai 512 penduduk kampung tersebut diberi notis untuk berpindah dalam tempoh 18 bulan selepas mendapat perintah mahkamah pada bulan lalu.



Kes perpindahan penduduk kampung Setia Jaya dijadikan isu besar oleh lidah rasmi Pas, Harakah.



Dipropagandakan kononnya Kerajaan Perpaduan menggadaikan tanah yang sekian lama diduduki oleh orang Melayu sejak era Perdana Menteri Tun Razak itu kepada pemaju Cina.



Sedangkan urusan notis mengosongkan tapak tersebut telah bermula sejak era pemerintahan kerajaan PN. Tiada seorang pun pemimpin PN yang memperjuangkan nasib penduduk Setia Jaya pada tahun 2022.

 


Persepsi tumbang kerajaan: PN hentikan mimpi, rakyat sudah muak


Oleh: Abdullah Zaid


Menjengah setahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan, ura-ura Perdana Menteri baharu akan mengambil alih kuasa masih dimainkan pembangkang biarpun penuh kekaburan.


Malah, apa yang lebih parah lagi tarikh dakwaan Kerajaan Pusat akan bertukar tangan silih berganti meskipun beberapa kali tarikh yang digembar-gembur itu meleset.


Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Terengganu (AMK) Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin menyarankan agar mainan persepsi yang diapi apikan oleh laskar siber PN segera dihentikan.

Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin

Katanya, sekiranya blok pembangkang masih lagi bermain dengan naratif menumbangkan kerajaan, dibimbangi mereka pula yang akan ditolak rakyat yang telah muak dengan propaganda tidak menjadi kenyataan.


"Saya lihat soal hendak menumbangkan kerajaan ini, pembangkang sepatutnya perlu berasa lebih bimbang dengan permainan itu (berulang ulang).


"Kerana mereka (kelak) bukan sahaja hilang sokongan rakyat tetapi pimpinan (Ahli Parlimen) mereka sendiri juga mula tidak percaya kepada parti sendiri dan mula menyokong kerajaan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Jelasnya, dengan sokongan kukuh daripada 19 gabungan parti, usaha menumbangkang Kerajaan Perpaduan memiliki peluang amat tipis sekali.


"Hal ini sesuai dengan kenyataan Premier Sarawak, Abang Johari sendiri memberi jaminan untuk teguh di belakang Kerajaan Perpaduan, jadi mana mungkin usaha peralihan boleh berlaku," ujarnya.


Justeru, sayap pemuda KEADILAN Terengganu itu menyarankan rakyat tidak lagi terlena dengan dakyah pembangkang yang cuba mempengaruhi mereka berkenaan isu Perdana Menteri baharu.


"Masyarakat mahupun pengguna media sosial perlu pastikan maklumat yang disampaikan kepada mereka benar-benar sahih


"Tugas kita (Kerajaan Perpaduan) juga mestilah menangkis segala dakwaan tersebut agar rakyat tidak terkesan dan percaya secara bulat-bulat," katanya lagi.


Minggu lalu, laskar siber PN mendakwa kerajaan akan bertukar tangan pada hujung tahun ini.


Tarikh terbaharu itu diramal selepas tarikh Pilihan Raya Negeri berlalu dan ramalan pertukaran kerajaan pada bulan Oktober 2023 tidak menjadi kenyataan.


Namun tarikh baharu ini juga mengarut kerana tahun 2023 hanya berbaki 3 hari dan tiada apa yang terjadi.