1MDB TETAP PERLUKAN SURUHANJAYA DIRAJA, NAJIB DAN JHO LOW MESTI DIJADIKAN SAKSI WAJIB



Walaupun seperti ada percubaan untuk mengalih perhatian dengan membesar-besarkan isu Lim Guan Eng dan tanah Taman Manggis serta larangan ceramah Dr Zakir Naik, batu besar yang menjadi masalah kepada semua rakyat Malaysia  sekarang tidak lain ialah 1MDB.

Kita tidak harus terperangkap dengan isu-isu lain yang mungkin sengaja diada-adakan untuk mengalih perhatian dan mengurangkan tumpuan terhadap 1MDB.
Dulu Najib Razak dan 1MDB sendiri menjanjikan laporan audit menyeluruh mengenai syarikat itu akan menjawab segala-galanya. Malangnya apabila laporan audit  disiapkan, ia kemudian diletakkan di bawah  OSA atau Akta Rahsia Rasmi yang menyebabkan ia menjadi rahsia kepada semua rakyat daripada membaca dan mengetahuinya.

Lalu, pertanyaan ramai termasuk makcik Felda ialah mengapa dijadikan rahsia rasmi negara jika tidak ada perkara yang mahu dilindungkan?
Sudah lupakah janji sebelum ini yang meminta semua orang menunggu laporan audit sambil mengatakan laporan audit  1MDB akan menjawab segala-galanya?

Disebabkan laporan audit telah diOSAkan, lantas menyebabkan Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen tidak mampu menjawab banyak perkara tentang 1MDB ini.

Selain itu, terdapat pula beberapa saksi penting yang menurut Tony Pua ditolak untuk dipanggil memberi keterangan oleh Hasan Ariffin, Pengerusi baru jawatankuasa tersebut yang dilantik menggantikan Nur Jazlan yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri di tengah-tengah kemelut 1MDB pada 28 Julai 2015 yang lalu.

Antara saksi yang tidak dipanggil itu ialah wakil Bank Negara, Jho Low, salah seorang bekas CEO 1MDB, Hazeem Abdul Rahman dan sudah tentu Najib sendiri yang tandatangannya semua orang tahu adalah "nyawa"  kepada perjalanan syarikat pelaburan itu.

Malah, seperti yang disebut juga oleh Tony Pua sebelum ini, untuk mendesak agar bekas Pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh memberi keterangannya pun hanya menjadi kenyataan setelah beberapa kali desakan dilakukan.

Maka itulah sebabnya laporan PAC banyak cacat celanya dan kecuali pemakan dedak yang berpuas hati dengannya.

Itulah juga yang antara punca menyebabkan kedudukan Aabar Investment PJS Ltd, syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island misalnya, terus menjadi misteri berpanjangan meskipun telah menerima sebanyak AS$3.51 bilion atau lebih kurang RM14,000 juta secara keseluruhan sebagai sekuriti deposit daripada 1MDB.

Dalam kenyataan terbaru kepada London Stock Exchange, IPIC atau International Petroleum Investment Company menafikan Aabar Investment PJS Ltd itu adalah anak syarikat kumpulan mereka atau ada menerima sebarang pembayaran  daripadanya serta menanggung liabitinya.

Makna mudahnya, syarikat itu tidak ada kena mengena dengan IPIC yang ada perjanjian perniagaan dengan 1MDB.

Jadi, kepada siapa sebetulnya duit 1MDB sebanyak itu telah disalurkan dan ke mana akhirnya wang RM14,000 juta tersebut pergi?
Dalam hal ini, oleh kerana beberapa saksi penting tidak dipanggil, laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen bukan saja tidak menjawab banyak persoalan, malah disebabkan seluruh dunia turut bercakap mengenainya dan media antarabangsa juga tidak henti-henti mendedahkannya, ia secara tidak langsung mendedahkan lebih banyak misteri 1MDB.

Perjalanan masa juga bakal menyaksikan banyak lagi perkara berkaitan Aabar Investment PJS Ltd, Jho Low, Khadeem Al Qubaishi dan Mohamed Badawy Al Husseiney akan terdedah kepada kita semua.

Laporan PAC sebenarnya telah gagal sama sekali. Tiada kebenaran yang diserlahkan, selain mahu  menjadikan bekas CEOnya, Shahrol Azral sebagai kambing hitam untuk menutup segala kecurangan 1MDB.

Paling wajar untuk dilakukan sekarang ialah dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Raja-Raja dan Parlimen untuk menyiasat 1MDB secara menyeluruh dan saksi-saksi penting seperti Najib dan Jho Low mesti serta wajib dipanggil untuk memberi keterangannya.

Tanpa memanggil mereka itu umpama memesan kari kepala ikan tetapi tiada kepala ikan yang dihidangkan dalam pinggan.

Begitu juga dengan wakil daripada Bank Negara dan segala dokumen transaksi kewangan 1MDB di luar negara mesti diusahakan sedaya upaya untuk diperolehi.

Sessi pendengaran Suruhanjaya Diraja itu pula mestilah dibuat secara terbuka sebagaimana siasatan terhadap mata lebam Anwar Ibrahim dahulu.

Ketika itu, barulah boleh dipercayai segala-galanya akan terdedah.

Tetapi, sebagaimana pernah disebut oleh Zaid Ibrahim, yang paling berkesan sekali untuk mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB ini tidak lain ialah melalui pertukaran kerajaan dalam pilihanraya.

Oleh kerana skandal kewangan melibatkan 1MDB ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dunia moden, maka tidak dapat dielakkan "cagaran" untuk membersihkannya perlulah sebesar kerajaan BN juga. (SH 12/04/2016).

1MDB BAYAR BERBILION RINGGIT KEPADA SYARIKAT PALSU?

‘DI U.K, PM GUNA KLIP KERTAS DIAUDIT, DIHEBAHKAN KEPADA UMUM’

PRN SARAWAK: PAKATAN HARAPAN SATU LAWAN SATU HADAPI BN

PECAT HUSAM, ADUN WANITA PAS BAKAL SERTAI AMANAH?

Guan Eng sahut cabaran Rahman Dahlan debat di mana saja, termasuk di TV3

Penang Chief Minister Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR, 10  APRIL: Berani kerana benar. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menyahut cabaran menteri UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, untuk berdebat tentang tanah Taman Manggis.
“Saya terima cabaran (debat) itu. Dia yang cabar. Tarikh terpulang pada dia. Kalau debat di TV3 pun tak apa,” kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi, beliau berkata, beliau sedia menyahut cabaran Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang ada kaitan dengan penjualan tanah di Taman Manggis kepada pihak ketiga.
Rahman juga mendakwa kononnya tanah itu telah dijual secara tidak langsung melalui pegangan saham syarikat.
Bagaimanapun, dakwaan semberono Rahman dibidas Guan Eng yang merujuk kepada dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang tidak menunjukkan sebarang kewujudan pertukaran saham kepada pihak ketiga.
“Bolehkah kita terima wang tetapi tak ditukar milik? Jika Menteri mempunyai maklumat melibatkan penjualan tanah tersebut, mengapa nama pembeli tidak ditunjukkan.
“Apa yang cuba beliau sembunyikan? Bila kita tanya mengapa saham ditukar, dia pula kata bukan urusannya.
“Saya nak tegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga dapat maklumat dari KLIDC bahawa tiada saham dijual. Ia (tanah) milik KLIDC. Jika dia dakwa kata ada pertukaran, dia kena beri penjelasan.
“Saya rela berdepan dan berdebat dengan menteri berdasarkan segala maklumat mutakhir dan muktamad dari pihak berkenaan iaitu SSM dan KLIDC sendiri sebagai pemilik geran,” tegasnya.
Guan Eng memaklumkan bahawa segara urusan melibatkan urusan debat antara beliau dan menteri UMNO itu akan diuruskan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook merangkap Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan.
“Saya tunggu anda, Abdul Rahman!” katanya mengakhiri sidang media.- Roketkini.com

Apabila Pakatan Harapan tambah kerusi di Sarawak, ia adalah kemenangan rakyat Bumi Kenyalang, Malaysia


Lim Kit Siang
PETALING JAYA, 10 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menyeru seluruh rakyat negeri Sarawak supaya berganding bahu dan menggembleng tenaga bersama Pakatan Harapan untuk mencapai tiga objektif utama bagi menghadapi pilihanraya negeri Sarawak Ke-11.
Tiga objektif utama itu adalah kemenangan untuk Pakatan Harapan, kemenangan untuk Sarawak dan kemenangan untuk Malaysia.
“Dengan objektif ‘kemenangan untuk Pakatan Harapan’ saya tidak bermaksud bahawa Harapan akan menawan kerajaan negeri Sarawak.
“Apa yang dimaksudkan adalah Pakatan Harapan berjuang untuk PRN Sarawak dalam satu unit, dan memperbaiki prestasi pembangkang pada PRN Sarawak yang lalu,” katanya kepada hadirin dalam satu majlis pertemuan pemimpin DAP bersempena PRN Sarawak Ke-11 di sini hari ini.
Walaupun Barisan Nasional dilihat mampu mengekalkan pentadbiran di Sarawak, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, adalah penting untuk Pakatan Harapan dan DAP khususnya, mengekalkan prestasi sedia ada serta mendekati lebih ramai kaum Dayak di negeri itu.
“Terdapat dua bahagian dalam perjuangan untuk Sarawak, pertama ia adalah mengenai kemampuan kita (DAP) untuk mempertahankan 12 kerusi yang ada.
“Dan kedua, sama ada kita mampu untuk mencapai kejayaan besar di kawasan-kawasan yang majoritinya penduduk Dayak,” katanya.
Beliau menjelaskan, Sarawak amat memerlukan sebuah gabungan pembangkang yang kuat sebagai satu sistem semak dan imbang kepada pentadbiran negeri berkenaan yang bertujuan untuk membendung sebarang masalah melibatkan salah guna kuasa dan penyelewengan.
Justeru, menurut Kit Siang, rakyat negeri Sarawak perlu menafikan dua pertiga majoriti Barisan Nasional menerusi PRN Sarawak Ke-11 akan datang bagi memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menjadi sebuah gabungan pembangkang yang utuh serta menjaga kepentingan rakyat negeri berkenaan. – Roketkini.com

Najib, BN tak mampu bawa rakyat Malaysia ke tahap lebih tinggi



2016-04-10_15.51.07
SERDANG, 10 APRIL: Kerajaan pimpinan UMNO-Barisan Nasional bukan sahaja gagal membawa perkembangan positif kepada semua lapisan masyarakat, malah semakin membawa Malaysia ke arah pengunduran.
Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee, membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kononnya BN mampu membawa semua kaum termasuk minoriti ke tahap lebih tinggi.
“Kelemahan kerajaan BN terutamanya di bawah pentadbiran Najib telah mengakibatkan Malaysia kehilangan daya saing di arena antarabangsa.
“Contohnya, BN laksanakan cukai GST pada masa yang tidak sesuai, iaitu ketika masih ramai rakyat negara ini yang berpendapatan rendah. Ia menyebabkan ekonomi negara semakin meleset.
“Lagipun, hutang negara yang meningkat sehingga mencecah RM630.5 bilion sekarang membuktikan lagi kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib bahawa hanya BN yang mampu membawa semua kaum ke tahap lebih tinggi dengan menyediakan platform bersesuaian dengan kehendak mereka.
Menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai tidak berasas, Eddie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong mencabar Najib untuk menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) seluruh negara dari RM 720 ke RM1,500 seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.
“Saya yakin Najib tidak akan berani berbuat demikian kerana jumlah keluarga yang berada di bawah paras kemiskinan akan meningkat secara mendadak.
“Pembangkang bukan setakat cakap sahaja tetapi kami melakukan perubahan yang jelas terbukti di Selangor dan Pulau Pinang.
“Nampaknya PM dan BN yang banyak cakap tanpa sebarang bukti pencapaian,” tegasnya. – Roketkini.com

ALAHAIIIII.....1000 JE................





1,000 JE....

Semalam, Pas mengadakan perhimpunan awam membantah Dual Language Programme atau DLP di Padang Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Dilaporkan hanya hampir 1,000 orang yang menyertai perhimpunan aman tersebut.

Ehhh...1,000 saja?

Minggu lalu pula, sempena setahun perlaksanaan cukai GST, Pakatan Harapan telah mengadakan perhimpunan anti GST di Dataran Merdeka. 

Ramai yang menyebut kehadirannya ialah antara 2,000 hingga 3,000, tetapi Rafizi Ramli menjangkakan jumlah mencecah 5,000 orang.

Namun ketika itu, Pas mendabik dada mengatakan kehadiran yang rendah dalam demo anti GST itu ialah disebabkan mereka tidak menyertainya.
Kata Tuan Ibrahim Tuan Man, kehadiran yang rendah itu membuktikan Pas adalah kuat. 

Kalau Pas menyertainya, jumlah kehadiran lebih besar, kata beliau.

Tapi apa sudah jadi dengan perhimpunan anti DLP semalam?

Jika benar-benar kuat, kenapa 1,000 je?  Kenapa tidak 10,000 atau 20,000?

Tidakkah ini bermakna, jika pun Pas terlibat dalam perhimpunan anti GST minggu lalu, pertambahan kehadiran yang akan berlaku pun hanya 1,000 juga?

Adakah mungkin bertambah 10,000 atau 20,000 jika Pas menyertai perhimpunan anti GST minggu lalu?

Mungkinkah kemerosotan semangat berdemo ini antara bahana yang dialami oleh Pas kerana terlalu ingin "cium mulut" dengan Najib Razak? (SH 10/04/2016).


Ezam Dijangka Sertai PKR Dalam Masa Terdekat-SUARA TV

Ezam Dijangka Sertai PKR Dalam Masa Terdekat
wan azizah azmin ezam
KUALA LUMPUR 10 APRIL – Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan menyertai parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti.

Menurut sumber yang dihubungi SuaraTV berkata, Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu.

“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telahpun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.

“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” katanya sebentar tadi.

Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.

Namun sejak 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu juga, antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam parti yang ketika ini sedang didominasi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali

“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.

“Azmin telah mengunakan kesempatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukkan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya lagi.

Bekas Ketua Pemuda PKR itu meninggalkan parti pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Selepas tempoh beliau sebagai senator berakhir pada 2014, beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform.

Pihak kami masih sedang berusaha untuk menghubungi Ezam bagi mendapatkan maklumbalas berhubung perkara ini. – SuaraTV






KONTROVERSI- EZAM DIDATANGI SAIFUL UNTUK BERJUMPA.....DAN IANYA BERLALU BEGITU SEHINGGA EZAM MERAJUK GARA-GARA SIAPA LAMBAT ATAU CEPAT APABILA  BERBINCANG DENGAN ANWAR.


Anwar Terpenjara Kerana Dosa Ezam – Chegubard
wan azizah azmin ezam
KUALA LUMPUR – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menggesa bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor memberi penjelasan terbuka terlebih dahulu sebelum kembali menyertai parti Keadilan Rakyat (PKR).

Badrul atau dikenali sebagai Chegubard ketika dihubungi berkata, walaupun PKR ketika ini memerlukan ‘ikon’ baharu bagi mengantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun itu tidak bermaksud Ezam layak untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Saya tidak nafikan, PKR ketika ini memerlukan ‘ikon’ yang kuat untuk meneruskan perjuangan menentang UMNO/BN (Barisan Nasional) namun itu tidak bermaksud kami telah melupakan dosa beliau (Ezam) terhadap Anwar.

“Malah tindakannya yang meninggalkan parti (PKR) dan terlibat secara langsung dalam kes ‘fitnah liwat 2’ masih terkesan hingga kini, kita jangan lupa Anwar terpenjara disebabkan ‘dosa’ Ezam itu.

“”Malah saya dimaklumkan dia antara orang yang pergi berjumpa dengan saiful dan turut memainkan peranan tersebut,” katanya sebentar tadi.

Chegubard turut mengakui walaupun Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memerlukan ‘panglima perang’ untuk menghakis kekuatan politik Datuk Seri Azmin Ali, namun gerakan untuk membawa Ezam kembali ke dalam PKR adalah satu tindakan yang tidak kena.

“Saya tidak nafikan secara keseluruhan wujudnya permasalahan di dalam PKR antara kem Wan Azizah dan Azmin namun pada saya ia merupakan masalah dalaman parti.

“Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menerima Ezam begitu sahaja kerana pada saya apa yang penting dia perlu terangkan terlebih dahulu mengenai tindakan dan kerosakkan yang pernah dilakukan dahulu,” ujarnya lagi.

Terdahulu sumber SuaraTV mendedahkan, Ezam dijangka akan kembali menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik Wan Azizah sebagai presiden parti.

Malah sumber itu turut menjelaskan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu. – SuaraTV