Bahasa
Azmin tidak tersekat lagi, Anwar perlu kompromi, kata sumber PKR
Oleh Zulkifli Sulong, Pengarang Analisis dan Rencana
May 22, 2014
Penyandang
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali hampir pasti berjaya mengekalkan kedudukan jawatannya dan menewaskan dua pencabar lain.
Gambar fail The Malaysian Insider. Dengan hampir 90% cabang
PKR sudah selesai membuang undi masing-masing, usaha untuk menyekat
kemaraan Mohamed Azmin Ali daripada menjadi timbalan presiden PKR untuk
penggal seterusnya sudah hampir pasti tidak akan berjaya.
Namun, pucuk pimpinan PKR dijangka berjaya menghantar mesej kepada
Azmin "anda tidak mendapat sokongan penuh sebagai timbalan presiden PKR,
jadi bersikaplah secara wajar".
Oleh itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berkompromi
dengan Azmin jika beliau terpaksa masuk ke penjara sekali lagi dan
meninggalkan PKR diuruskan isteri dan orang kepercayaannya.
Inilah analisis mereka yang terlibat secara langsung dalam pemilihan PKR kali ini namun tidak mahu nama mereka disiarkan.
Pada awalnya, pemimpin kanan PKR yang berlindung di belakang Anwar
menjadikan misi mereka adalah menyekat kemaraan Azmin selaku timbalan
presiden.
Ini kerana, Azmin didakwa terlalu ego dan tidak lagi menghormati Anwar
selaku pemimpin utama PKR dan sanggup mempertikaikan peranan Anwar dan
keluarganya.
Dalam masa yang sama, mereka juga tidak boleh menerima Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menduduki kerusi nombor dua parti
itu. Atas sebab itulah Datuk Saifuddin Nasution Ismail diletakkan
sebagai calon.
Namun selepas pemilihan hampir selesai, Azmin terus berada di depan
dengan mendapat undi terbanyak meninggalkan Khalid di tempat kedua dan
Saifudin ketiga di kalangan tiga calon yang bertanding jawatan timbalan
presiden.
Keputusan sehingga 11 Mei dikeluarkan PKR menyaksikan penyandang, Azmin
mendapat 12,250 undi manakala Khalid memperolehi 8,123 undi dan
Saifuddin pula 6,997 menjadikan Azmin hanya mendapat sokongan tidak
sampai 45% untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, keputusan tersebut masih tidak rasmi memandangkan keputusan 27 cabang dibatalkan sebelum ini.
"Memang Khalid dan Saifudin masih mempunyai peluang untuk menang namun
saya jangkakan Azmin akan menang tipis sebagai timbalan presiden," kata
sumber yang terlibat secara langsung dalam pemilihan PKR itu.
Ketika Azmin berada didepan, regu Saifudin iaitu Nurul Izzah Anwar dan
Rafizi Ramli mendahului calon-calon lain untuk jawatan naib-naib
presiden.
Ini bermakna, Azmin walaupun menang untuk jawatan timbalan presiden
bakal tersepit di tengah-tengah antara presiden yang dimenangi tanpa
bertanding oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan para naib presiden.
Namun, penyokong Azmin mempunyai kedudukan yang baik untuk ketua wanita
melalui Zuraidah Kamarudin dan ketua angkatan muda melalui Amirudin
Shaari.
"Saifudin berdepan dengan dua tokoh yang mempunyai sumber kewangan yang
banyak di samping mempunyai rangkaian yang kukuh seperti Azmin,
manakala Khalid yang terkenal kerana kedudukannya selaku menteri besar,"
katanya.
Mereka pula, katanya, bergerak dengan sistem 'cai' iaitu senarai
pemimpin yang perlu mereka pilih sedang Saifudin tidak mempunyai
rangkaian yang baik di peringkat bawah di samping kekurangan wang.
"Nampaknya ahli sangat terpengaruh dengan 'sistem cai' yang digerakkan
oleh kedua-dua tokoh ini menyebabkan calon alternatif yang kita
kemukakan Datuk Saifudin (Nasution), tidak mendapat undi akar umbi.
"Sebenarnya kami boleh menggunakan kuasa yang ada untuk menyekat Azmin
tetapi ia akan memberikan implikasi tidak baik kepada Anwar selaku
pemimpin yang hendak diletakkan di kerusi perdana menteri," katanya
kepada The Malaysian Insider.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul
semalam mengumumkan pemilihan di 35 bahagian terpaksa diadakan semula
dengan 22 daripadanya akan mengadakan pemilihan di semua peringkat.
Ia berdasarkan pelbagai perkara yang kebanyakannya adalah kerana kekecohan dalam pemilihan mereka.
Pengerusi Lembaga Displin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong juga memaklumkan,
15 ahli PKR diambil tindakan disiplin dengan empat daripadanya dipecat
manakala selebihnya digantung kerana salah laku sepanjang pemilihan kali
ini. – 22 Mei, 2014.